Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah di sana orang yang dihalang daripada meminum dari telaga Rasulullah SAW?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Firman Allah SWT:
إِنَّآ أَعْطَيْنَـٰكَ ٱلْكَوْثَرَ ١ فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَٱنْحَرْ ٢ إِنَّ شَانِئَكَ هُوَ ٱلْأَبْتَرُ
Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat). Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, Dia lah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya).
(Surah al-Kauthar: 1-3)
Menjawab persoalan di atas, kami katakan, benar. Hal ini disebut dalam hadith daripada Anas, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:
لَيَرِدَنَّ عَلَيَّ نَاسٌ مِنْ أَصْحَابِي الحَوْضَ، حَتَّى عَرَفْتُهُمْ اخْتُلِجُوا دُونِي، فَأَقُولُ: أَصْحَابِي، فَيَقُولُ: لاَ تَدْرِي مَا أَحْدَثُوا بَعْدَكَ.
Maksudnya: “Sesungguhnya sejumlah orang daripada para sahabatku pasti datang kepadaku di telaga Kauthar, hingga setelah aku mengenali mereka, mereka ditarik daripadaku, lalu aku bersabda: ‘Para sahabatku!’ Maka (Allah) berfirman: ‘Engkau tidak tahu apakah perkara baharu yang dilakukan (yang menyalahi syariat) oleh mereka selepas kewafatanmu.’”
Riwayat al-Bukhari (6582)
Daripada Abu Hurairah: bahawa beliau menyampaikan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
يَرِدُ عَلَيَّ يَوْمَ القِيَامَةِ رَهْطٌ مِنْ أَصْحَابِي، فَيُحَلَّئُونَ عَنِ الحَوْضِ، فَأَقُولُ: يَا رَبِّ أَصْحَابِي، فَيَقُولُ: إِنَّكَ لاَ عِلْمَ لَكَ بِمَا أَحْدَثُوا بَعْدَكَ، إِنَّهُمُ ارْتَدُّوا عَلَى أَدْبَارِهِمْ القَهْقَرَى.
Maksudnya: “Pada Hari Kiamat nanti, akan datang kepadaku sejumlah orang daripada sahabatku, lalu mereka diusir dari Telaga, maka aku pun bersabda: “Wahai Tuhanku, mereka adalah para sahabatku.” Maka Dia berfirman: “Sesungguhnya engkau tidak tahu apakah perkara baharu yang dilakukan (yang menyalahi syariat) oleh mereka selepas kewafatanmu. Sesungguhnya mereka telah murtad.”
Riwayat al-Bukhari (6585)
Semoga Allah SWT selamatkan kita dari menyimpang daripada ajaran Rasulullah SAW yang sebenar, titah perintahnya dan larangannya. Seterusnya kita sentiasa mematuhi dan mentaati titah perintah Rasulullah SAW dan beramal dengannya di samping mencintai Rasulullah SAW dengan sesungguh-sungguhnya.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ
Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”