#4904: Ditegah Meminta Jawatan

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Islam menegah seseorang meminta jawatan? Dan boleh nyatakannya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertama, jawatan itu adalah amanah. Daripada Abu Zar R.A, katanya:

قُلتُ: يا رَسولَ اللهِ، أَلا تَسْتَعْمِلُنِي؟ قالَ: فَضَرَبَ بيَدِهِ على مَنْكِبِي، ثُمَّ قالَ: يا أَبا ذَرٍّ، إنَّكَ ضَعِيفٌ، وإنَّها أَمانَةُ، وإنَّها يَومَ القِيامَةِ خِزْيٌ وَنَدامَةٌ، إلّا مَن أَخَذَها بحَقِّها، وَأَدّى الَّذِي عَلَيْه فِيهَا

Maksudnya: “Aku berkata kepada Rasulullah: Ya Rasululllah, tidakkah engkau melantikku menjawat jawatan?” Lalu Rasulullah menepuk belakangku sambil berkata: “Wahai Abu Zar, sesungguhnya engkau adalah lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah dan merupakan kehinaan dan penyesalan pada hari Kiamat nanti, kecuali bagi orang yang mendapatkannya dengan hak serta melaksanakannya dengan baik dan benar.”

Riwayat Muslim (1825)

Jelas di sini menunjukkan bahawa Rasulullah SAW cukup mahir dan bijak dalam meneliti kemampuan para sahabatnya dan memberikan tugas mengikut kelayakan dan kemampuan mereka. Jika tidak, maka Rasulullah SAW memperingatkan kepada mereka tentang amanah yang wajib dilaksanakan. Inilah rahmatnya Rasulullah SAW kepada umatnya.

Bagi menjawab persoalan di atas, Rasulullah SAW pernah bersabda kepada Abd al-Rahman bin Samurah R.A:

يَا عَبْدَ الرَّحْمَنِ بْنَ سَمُرَةَ، لاَ تَسْأَلِ الإِمَارَةَ فَإِنَّكَ إِنْ أُوتِيتَهَا عَنْ مَسْأَلَةٍ وُكِلْتَ إِلَيْهَا. وَإِنْ أُوتِيتَهَا مِنْ غَيْرِ مَسْأَلَةٍ أُعِنْتَ عَلَيْهَا. وَإِذَا حَلَفْتَ عَلَى يَمِينٍ، فَرَأَيْتَ غَيْرَهَا خَيْرًا مِنْهَا، فَكَفِّرْ عَنْ يَمِينِكَ وَأْتِ الَّذِي هُوَ خَيْرٌ.

Maksudnya: “Wahai ‘Abd al-Rahman bin Samurah, janganlah engkau meminta-minta jawatan kepimpinan, kerana sesungguhnya apabila engkau ditawarkan setelah memintanya, maka engkau akan dipertanggungjawabkan sendirian terhadapnya. Tetapi jika engkau ditawarkan jawatan kepimpinan itu tanpa memintanya, maka engkau akan dibantu padanya (oleh Allah). Dan apabila engkau telah bersumpah (untuk melakukan sesuatu) lalu engkau melihat ada pilihan yang lebih baik daripadanya, maka bayarlah kafarah pelanggaran sumpahmu dan lakukanlah pilihan yang lebih baik itu.”

Riwayat al-Bukhari (6622)

Sesungguhnya, apabila seseorang diberi jawatan, sedangkan dia tidak mampu dan tidak beramanah, maka tunggulah waktu, saat dan ketikanya berlaku Kiamat.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”