#4906: Nazar Puasa Termasuk Hari Raya

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bernazar dalam tempoh yang tertentu untuk berpuasa termasuk hari tersebut hari raya, apakah hukumnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan definisi nazar.

Nazar dari sudut bahasa membawa erti berjanji melakukan kebaikan atau kejahatan. Manakala dari sudut istilah, nazar ditakrifkan sebagai :

اِلْتِزَامُ قُربُةِ لَم تَتَعَيَّن فِي الشَّرْعِ، إِمَّا مُطْلَقًا، أَوْ مُعَلَّقًا عَلَى شَيْء

Maksudnya: Mewajibkan ke atas diri sendiri suatu perbuatan qurbah (ibadah yang mendekatkan diri dengan Allah) yang tidak diwajibkan oleh syara’ (ke atas dirinya), sama ada secara mutlak atau pun dengan menta’liqkan (iaitu mengaitkan) dengan suatu perkara. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘ie, 2/501)

Syarat nazar ialah dalam perkara yang mentaati kepada Allah seperti ibadat, puasa, zakat, haji, sedekah, infaq dan lain-lain.

Diriwayatkan daripada ‘Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia mentaatinya. Dan sesiapa yang bernazar untuk bermaksiat kepadanya maka janganlah dia bermaksiat kepadanya.”

Riwayat Al-Bukhari (6696)

Dalam menjawab persoalan di atas, apabila datang hari raya sama ada Aidil Adha atau Aidil Fitri, maka haram bagi kita untuk berpuasa. Justeru, dia boleh berpuasa pada hari yang lain, tetapi pada hari raya, tidak boleh berpuasa.

Keduanya, adapun nazar pada bulan Ramadhan untuk puasa dikira tidak terpakai kerana puasa pada bulan Ramadhan adalah fardhu atau wajib.

Menjawab persoalan di atas, hadith daripada Hakim bin Abu Hurrah al-Aslami katanya: Bahawa dia mendengar Abdullah bin Umar R.Anhuma ditanya mengenai seorang lelaki yang bernazar, bahawa tidak ada satu hari pun yang datang melainkan dia akan berpuasa, lalu kebetulan ia bertepatan dengan Hari Raya Korban atau Hari Raya Puasa. Setelah itu, dia menjawab:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ ، لَمْ يَكُنْ يَصُومُ يَوْمَ الأَضْحَى وَالفِطْرِ، وَلاَ يَرَى صِيَامَهُمَا.

Maksudnya: (Firman Allah SWT): “لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ” (Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik.”)[Surah al-Ahzab: 21]. Baginda tidak pernah berpuasa pada Hari Raya Korban dan Hari Raya Puasa. Serta baginda tidak berpendapat akan (bolehnya) berpuasa pada kedua-dua hari tersebut.”

Riwayat al-Bukhari (6705)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”