#4907: Kelebihan Memerdekakan Seorang Hamba

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, kelebihan memerdekakan seorang hamba? Dan adakah tawanan perang juga boleh dianggap sebagai hamba untuk ditebus dan dibebaskan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertama, Islam datang untuk memerdekakan hamba. Firman Allah SWT:

وَمَا أَدْرَاكَ مَا الْعَقَبَةُ (12) فَكُّ رَقَبَةٍ

Maksudnya: “Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui: apa dia amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan itu? (Di antara amal-amal itu – bagi orang yang mampu) ialah: memerdekakan hamba abdi.”

(Surah al-Balad: 12-23)

Rasulullah SAW sehari sebelum wafatnya telah memerdekakan semua hambanya.  (Lihat Garis Masa Hayat al-Rasul SAW, hlm. 232)

Adapun kelebihan memerdekakan seorang hamba, hadith Abu Hurairah R.A, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

مَنْ أَعْتَقَ رَقَبَةً مُسْلِمَةً، أَعْتَقَ اللَّهُ بِكُلِّ عُضْوٍ مِنْهُ عُضْوًا مِنَ النَّارِ، حَتَّى فَرْجَهُ بِفَرْجِهِ.

Maksudnya: “Sesiapa yang memerdekakan seorang hamba muslim, maka Allah akan membebaskannya daripada Neraka dengan setiap anggota tubuhnya, (termasuk) anggota kemaluannya dengan kemaluannya.”

Riwayat al-Bukhari (6715)

Kami berpendapat, dalam isu tawanan juga boleh dianggap sebagai hamba, lebih-lebih lagi dalam situasi dalam tawanan orang-orang Palestin yang dihukum dengan sejumlah yang amat panjang dalam penjara, serta dinafi haknya, bahkan dilayan lebih teruk daripada hamba. Maka, sebahagian ulama;’ menganggap wa fi al-riqab terpakai kepada mereka. Kami cenderung kepada pendapat ini kerana mungkin termasuk dalam qiyas aulawi yang membawa mereka ke arah kematian.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَنْجِ الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya:  “Ya Allah selamatkanlah orang-orang yang lemah dari kalangan orang-orang yang beriman.”

 Riwayat al-Bukhari (6393)

اللَّهُمَّ مُنْزِلَ الكِتَابِ، وَمُجْرِيَ السَّحَابِ، وَهَازِمَ الأَحْزَابِ، اهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ

Maksudnya: “Ya Allah yang menurunkan Kitab, yang menjalankan awan, yang menghancurkan pasukan musuh, kalahkan mereka dan bantulah kami menewaskan mereka.”

 Riwayat al-Bukhari (2965)