#4908: Sikap Kepada Orang yang Salah yang Dihukum dengan Sebat

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana sikap kita sebagai seorang Muslim bila melihat orang yang dihukum dengan sebat sebagai contoh atas kesalahan jenayah dan bolehkah kita menghinanya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Tidak boleh sama sekali kita menghina seseorang, sementalahan lagi, hukuman telah dilaksanakan. Boleh jadi, Allah terima taubatnya, dan boleh jadi dia jauh lebih baik daripada kita.

Rasulullah SAW telah bersabda tentang seorang wanita penzina yang telah direjam di kota Madinah:

لَقَدْ تَابَتْ تَوْبةً لَوْ قُسِمَتْ بَيْن سبْعِينَ مِنْ أَهْلِ المدِينَةِ لوسعتهُمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya dia telah bertaubat dengan satu taubat yang jika dibahagikan kepada tujuh puluh orang penduduk Madinah akan meliputi semua mereka.”

Riwayat Muslim (1696)

Keduanya, Rasulullah SAW mencegah daripada menghina kesalahan tersebut. Daripada Abu Hurairah R.A, katanya:

أُتِيَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِرَجُلٍ قَدْ شَرِبَ، قَالَ: «اضْرِبُوهُ». قَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ: فَمِنَّا الضَّارِبُ بِيَدِهِ، وَالضَّارِبُ بِنَعْلِهِ، وَالضَّارِبُ بِثَوْبِهِ، فَلَمَّا انْصَرَفَ، قَالَ بَعْضُ القَوْمِ: أَخْزَاكَ اللَّهُ، قَالَ: «لاَ تَقُولُوا هَكَذَا، لاَ تُعِينُوا عَلَيْهِ الشَّيْطَانَ».

Maksudnya: Pernah seorang lelaki yang meminum arak dibawa kepada Nabi SAW. Baginda bersabda: “Pukullah dia (sebagai hukuman hudud).” Abu Hurairah berkata: Maka di antara kami ada yang memukulnya dengan tangan mereka, ada juga yang memukul dengan kasut mereka dan ada juga yang memukul dengan pakaian mereka. Setelah lelaki itu pergi, sebahagian orang berkata: “Semoga Allah menghinakan kamu.” Baginda bersabda: “Jangan kamu berkata sedemikian. Janganlah kamu membantu syaitan  dalam (menghinakan) saudara kamu (kerana ucapan itu akan menjadi penyambung kepada usaha syaitan untuk menghinakan seseorang apabila dia melakukan maksiat).”

Riwayat al-Bukhari (6777)

Kami teringat sebuah kata-kata hikmah, daripada Ibn Ata’illah al-Sakandari:

مَعْصِيَةٌ أَوْرَثَتْ ذُلًّا وَافْتِقَارًا خَيْرٌ مِنْ طَاعَةٍ أَوْرَثَتْ عِزًّا وَاسْتِكْبَارًا

Maksudnya: “Maksiat atau dosa yang memunculkan rasa rendah diri di hadapan Allah dan merasa membutuhkan rahmat Allah adalah lebih baik dibandingkan perbuatan baik dan taat tetapi membangkitkan rasa sombong, ujub dan besar diri.”

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا ظُلْمًا كَثِيرًا، ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ، فَاغْفِرْ لَنَا مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنَا، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah kami dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”