#4910: Manusia yang Paling Dibenci oleh Allah SWT

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Siapakah manusia yang paling dibenci oleh Allah SWT?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ

Maksudnya: Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.

(Surah al-Fatihah: 7)

Al-Syaukani berkata: ‘غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ’ yakni orang-orang Yahudi. ‘وَلَا الضَّالِّينَ’ yakni orang-orang Nasrani. Ini disebabkan kerana orang-orang Yahudi mengetahui kebenaran, akan tetapi memeranginya sehingga mereka berhak mendapat kemurkaan daripada Allah SWT. Sedangkan orang-orang Nasrani memerangi kebenaran disebabkan kejahilan yang ada pada mereka sehingga mereka berada dalam kesesatan yang nyata dalam masalah Nabi Isa. (Lihat Fath al-Qadir, 1/32)

Menjawab persoalan di atas, sebuah hadith daripada Ibn Abbas bahawa Nabi SAW bersabda:

أَبْغَضُ النَّاسِ إِلَى اللَّهِ ثَلاَثَةٌ: مُلْحِدٌ فِي الحَرَمِ، وَمُبْتَغٍ فِي الإِسْلاَمِ سُنَّةَ الجَاهِلِيَّةِ، وَمُطَّلِبُ دَمِ امْرِئٍ بِغَيْرِ حَقٍّ لِيُهَرِيقَ دَمَهُ.

Maksudnya: “Manusia yang paling dibenci oleh Allah ada tiga; Orang yang melakukan larangan (maksiat) di Tanah Haram, orang yang ingin melakukan budaya Jahiliyah dalam Islam, dan orang yang menuntut darah orang lain tanpa hak untuk dia menumpahkan darahnya.”

Riwayat al-Bukhari (6882)

Seboleh-bolehnya, hendaklah kita mengelakkan diri kita daripada termasuk dalam golongan yang dibenci oleh Allah SWT. Dan jadilah kita daripada golongan yang dicintai Allah SWT. Salah satu caranya dengan mengikuti Rasulullah SAW. Firman Allah SWT:

قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ ‎

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

(Surah Ali Imran: 31)

Ibn Kathir berkata: “Ayat pemutus bagi setiap orang yang mengaku mencintai Allah SWT tetapi tidak menempuhi jalan Muhammad SAW, bahawa dia ialah pembohong dalam pengakuan cintanya itu sehinggalah dia mengikuti syariat dan agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW dalam semua ucapan dan perbuatannya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 1/231)

Syeikh al-Maraghi menyebut bahawa ayat ini membawa maksud jika ada yang mendakwa bahawa dia mencintai Allah maka ikutlah Nabi SAW dalam segenap sudut. Ikutlah wahyu yang telah diturunkan kepada Baginda. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 3/140)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”