#4914: Pelacur Memberi Minum Anjing Mendapat Keampunan Allah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Benarkah terdapat hadith pelacur memberi minum anjing lalu dia mendapat keampunan Allah SWT? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, pelacur ialah perempuan sundal (yang melacurkan diri), perempuan jalang.[1] Pelacur merujuk kepada lelaki atau wanita yang melakukan hubungan seksual secara sukarela bagi imbuhan wang. Sekiranya secara paksaan, ia ditakrifkan sebagai rogol. Bagi wanita yang menjalin hubungan seksual dengan pasangan terhad, satu atau dua sahaja bagi imbuhan wang, perlakuan ini dikenali sebagai perempuan simpanan. Bagi lelaki yang menjalin hubungan seksual dengan pasangan terhad, satu atau dua sahaja bagi imbuhan wang, perlakuan ini dikenali sebagai gigolo.

Pelacur biasanya terdedah kepada penyakit kelamin dan cenderung mendapat penyakit barah pangkal rahim. Barah pangkal rahim ini dipercayai disebabkan oleh Virus Papilloma Manusia [Human Papilloma Virus (HPV)] yang sering terdapat pada sel pangkal rahim apabila mereka didapati mempunyai perubahan pra-barah atau barah.[2]

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa benar, terdapatnya hadith sahih yang menceritakan berkenaan kisah seorang pelacur yang mendapat keampunan Allah disebabkan oleh perbuatannya memberi minum seekor anjing yang kehausan.

Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah R.A, daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda:

غُفِرَ لِامْرَأَةٍ مُومِسَةٍ، مَرَّتْ بِكَلْبٍ عَلَى رَأْسِ رَكِيٍّ يَلْهَثُ، قَالَ: كَادَ يَقْتُلُهُ العَطَشُ، فَنَزَعَتْ خُفَّهَا، فَأَوْثَقَتْهُ بِخِمَارِهَا، فَنَزَعَتْ لَهُ مِنَ الْمَاءِ، فَغُفِرَ لَهَا بِذَلِكَ

Maksudnya: “Diampunkan dosa seorang pelacur yang lalu berhampiran seekor anjing berdekatan telaga sambil ia menjelirkan lidahnya.” Baginda bersabda: “Hampir-hampir ia mati kerana rasa haus, lalu wanita itu menanggalkan seliparnya dan mengikatnya dengan selendangnya lantas mengambil air untuk anjing tersebut, maka pelacur itu diampuni kerana perkara tersebut.”

Riwayat al-Bukhari (3321)

Hadith ini menggambarkan kepada kita betapa luasnya rahmat Allah SWT kepada para hamba-Nya sekalipun kepada seorang pendosa yang dipandang hina di mata manusia. Betapa luasnya peluang yang diberikan bagi mencari dan mendapat keampunan-NYA. Lalu dengan keampunan tersebut seseorang pendosa boleh memperoleh dan memasuki syurga-Nya.

Selain daripada itu, hadith ini juga mengandungi tuntutan untuk berbuat baik kepada haiwan. Ini kerana, Islam merupakan agama rahmat iaitu memberi rahmat kepada seluruh alam termasuklah haiwan dan tumbuhan, sehinggakan apabila kita ingin melakukan penyembelihan, kita disunatkan mengasah pisau yang ingin digunakan agar haiwan tersebut dapat dikurangkan rasa sakitnya ketika sembelihan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

 

Nota kaki:

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=pelacur. Diakses pada 2 Disember 2023.

[2] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Pelacuran. Diakses pada 2 Disember 2023.