#4916: Hukum Jual Beli Tipu Daya dan Jenis Gharar

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh jelaskan jual beli yang dari jenis tipu daya? Dan apa jenis-jenis gharar dalam jual beli?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Daripada Abu Hurairah R.A, katanya:

نَهَى رَسُولُ الله -صلى الله عليه وسلم- عَن بيْعِ الحَصَاةِ، وَعَنْ بيْع الغَرَرِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang melakukan jual beli dengan batu kerikil dan jual beli dengan menipu.”

Riwayat Muslim (1513)

Imam al-Nawawi berkata: Larangan jual beli dengan cara menipu merupakan prinsip dasar daripada beberapa prinsip dalam masalah jual beli. Di dalamnya terdapat pelbagai masalah yang tidak terbatas, seperti menjual hamba sahaya yang melarikan diri daripada majikannya, menjual sesuatu yang tidak ada, tidak diketahui, sesuatu yang tidak dapat diserahterimakan, sesuatu yang belum menjadi kepemilikan penuh si penjual, menjual ikan di dalam air yang banyak, susu di dalam payu dara, janin di dalam perut, menjual salah satu daripada pelbagai baju dan seekor kambing daripada pelbagai kambing yang ada serta jenis jual beli yang lain. Semua itu batil, kerana ia merupakan penipuan yang besar tanpa keperluan.”

Syeikh al-Islam berkata: Adapun penipuan, maka prinsip dasarnya sesungguhnya Allah SWT mengharamkan di dalam al-Quran memakan harta orang lain secara batil. Ini mencakupi segala hal yang dimakan secara batil. Nabi SAW melarang jual beli dengan cara penipuan. Penipuan adalah jual beli yang tidak diketahui akibatnya. Antaranya:

  • Jual beli yang ada di dalam kandungan.
  • Jual beli sperma.
  • Jual beli barang yang tersimpan.
  • Jual beli dengan cara menyentuh dan mengenai sasaran dan beberapa jenis jual beli yang lain.

Jual beli secara penipuan ada tiga jenis:

  • Jual beli yang tidak ada, seperti jual beli janin.
  • Jual beli yang tidak dapat diserahterimakan seperti jual beli unta liar.
  • Jual beli yang tidak dapat diketahui sama sekali, atau jual beli yang tidak diketahui jenisnya dan ukurannya.

Inilah sebagaimana dijelaskan oleh Syeikh Abdullah al-Bassam dalam Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 4/265-267)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”