Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh jelaskan tentang insurans perniagaan?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Insurans adalah akad yang mengharuskan salah satu pihak, iaitu penjamin (syarikat insurans) yang akan membayar kepada pihak lain (terjamin/peserta insurans) pampasan material yang disepakati yang diberikan ketika berlaku suatu perkara yang berbahaya dan adanya kerugian yang nyata dalam akad tersebut. Hal seperti ini sebagai bentuk daripada pampasan dari insurans yang dibayar oleh pihak terjamin (peserta) sesuai dengan yang dinyatakan oleh akad insurans tersebut. Dengan demikian, dua pelaku akad tersebut ialah:
- Pihak penjamin: syarikat atau pejabat
- Pihak terjamin: peserta yang membayar insurans
Berkenaan isu ini, Syeikh Muhammad bin Ibrahim Alu Syaikh Rahimahullah, mantan Mufti Besar Arab Saudi berkata:
Insurans bertentangan dengan Syariat Islam, kerana ia mencakupi perkara-perkara berikut:
- Penipuan, ketidaktahuan dan kerugian, di mana ia termasuk ke dalam memakan harta orang lain secara batil.
- Ada kemiripan dengan perjudian (maisir) di mana ia menuntut adanya unsur taruhan (nasib).
Secara umum, sesiapa sahaja yang menganalisa akad ini, maka ia akan mendapatinya tidak sesuai sama sekali dengan akad-akad hukum Syariat. Kesepakatan kedua belah pihak tidak dapat dijadikan landasan pengesahan hukum, tetapi yang dijadikan landasan hukum adalah kesepakatan kedua belah pihak dengan syarat apabila jenis muamalah yang ada berdiri atas dasar keadilan yang sah.
Keputusan Hai’ah Kibar Ulama’ menyebut, antaranya: “Akad insurans adalah sebahagian daripada jenis akad berupa pampasan kewangan yang bersifat sosial, yang mencakupi unsur penipuan yang keji. Rasulullah SAW telah melarang jual beli secara menipu.”
Inilah sebagaimana dijelaskan oleh Syeikh Abdullah al-Bassam dalam Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 4/265-267)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ
Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”