#4921: Maksud Mustarih (مُسْتَرِيحٌ) dan Mustarah Minhu (مُسْتَرَاحٌ مِنْهُ)

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada dengar, bila ada seorang muslim meninggal dunia, Rasulullah SAW pernah berkata: Mustarih dan Mustarah minhu. Apa maksud tersebut dan tafsirannya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ۖ فَمَن زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ ۗ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ

Maksudnya: “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.”

(Surah Ali Imran: 185)

Ibn Kathir menyatakan: Iaitu di mana sahaja kamu berada, nescaya kematian akan mendatangi kamu. Maka, hendaklah kamu berada dalam ketaatan kepada Allah. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/197)

Menjawab persoalan di atas, sebuah hadith daripada Abu Qatadah bin Rib’I al-Ansari R.A, katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُرَّ عَلَيْهِ بِجِنَازَةٍ، فَقَالَ: «مُسْتَرِيحٌ وَمُسْتَرَاحٌ مِنْهُ» قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، مَا المُسْتَرِيحُ وَالمُسْتَرَاحُ مِنْهُ؟ قَالَ: «العَبْدُ الْمُؤْمِنُ يَسْتَرِيحُ مِنْ نَصَبِ الدُّنْيَا وَأَذَاهَا إِلَى رَحْمَةِ اللهِ، وَالعَبْدُ الفَاجِرُ يَسْتَرِيحُ مِنْهُ العِبَادُ وَالبِلاَدُ، وَالشَّجَرُ وَالدَّوَابُّ».

Maksudnya: Bahawa suatu ketika ada jenazah yang dibawa melewati Rasulullah SAW. Lalu Baginda bersabda: “Orang yang berehat dan orang lain berehat daripadanya.” Mereka (para sahabat) bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah maksud orang yang berehat dan orang lain berehat daripadanya?” Baginda menjawab, “Seorang hamba yang beriman akan berehat daripada kepenatan dunia dan kesusahannya menuju rahmat Allah SWT. Manakala hamba yang ingkar pula, yang mana orang lain, negeri, pokok-pokok dan binatang-binatang berehat daripadanya (kejahatannya).”

Riwayat al-Bukhari (6512)

Dalam bahasa mudah, mustarih (مُسْتَرِيحٌ) memberi maksud, orang yang mati dapat berehat dan tidak lagi letih untuk beramal siang dan malam, tetapi dapat pahala serta balasan daripada Tuhan. Maka jadilah noktah kematian itu sebagai mukadimah kerehatan baginya.

Sedangkan mustarah minhu (مُسْتَرَاحٌ مِنْهُ) pula, di mana boleh jadi kehidupannya menyusahkan orang lain, maka orang lain akan dapat berehat daripada kesusahannya. Sementelahan lagi, dia banyak menyakiti orang lain. Maka dengan sebab kematiannya, nescaya selamatlah orang lain dari ujian menimpa ke atas mereka dengan sebabnya.

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”

Riwayat Abu Daud (3201); al-Tirmizi (1024); al-Nasa’i (1986) dan Ibn Majah (1498)