#4922: Berjalan di Atas Kulit Muka

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah tafsir sebenar, ayat yang menggambarkan seorang kafir di hari Akhirat berjalan di atas wajahnya sendiri, yakni menggunakan wajahnya sebagai kaki?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab persoalan ini, kami mulakan firman Allah SWT:

أَفَمَن يَمْشِي مُكِبًّا عَلَىٰ وَجْهِهِ أَهْدَىٰ أَمَّن يَمْشِي سَوِيًّا عَلَىٰ صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ

Maksudnya: Maka adakah orang yang berjalan (melalui jalan yang tidak betul, yang menyebabkan dia selalu jatuh) tersungkur di atas mukanya: boleh mendapat hidayah – atau orang yang berjalan tegak betul, melalui jalan yang lurus rata?

(Surah al-Mulk: 22)

Al-Syaukani berkata: Yakni orang kafir yang tenggelam dalam kemaksiatan di dunia, yang akan dibangkitkan Allah di hari Kiamat dengan terlungkup di atas mukanya. (Lihat Fath al-Qadir, 23/332)

Pertamanya, kami suka nyatakan keadaan kehidupan di akhirat tidak sama di dunia. Dengan sifat Allah yang Maha Berkuasa, boleh lakukan apa sahaja, bahkan balasan di akhirat sama ada baik atau buruk di luar jangkauan akalan manusia, tidak terperi berbanding di dunia. Begitulah hukuman azab di akhirat. Maka perkara seperti itu tidak mustahil bagi Allah untuk melakukannya kerana Dia Maha Berkuasa.

Sabda Rasulullah SAW sebagaimana riwayat Anas bin Malik R.A:

أَنَّ رَجُلًا قَالَ: يَا نَبِيَّ اللهِ، كَيْفَ يُحْشَرُ الكَافِرُ عَلَى وَجْهِهِ؟ قَالَ: أَلَيْسَ الَّذِي أَمْشَاهُ عَلَى الرِّجْلَيْنِ فِي الدُّنْيَا قَادِرًا عَلَى أَنْ يُمْشِيَهُ عَلَى وَجْهِهِ يَوْمَ القِيَامَةِ.

Maksudnya: Bahawa seorang lelaki bertanya: “Wahai Nabi Allah, bagaimanakah orang kafir boleh dibangkitkan di atas wajahnya?” Baginda bersabda: “Bukankah Allah SWT yang menjadikannya mampu berjalan dengan menggunakan kedua belah kakinya ketika di dunia. Justeru, Allah jualah yang berkuasa membuatnya berjalan di atas wajahnya pada Hari Kiamat.”

Riwayat al-Bukhari (6523)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”