#4923: Al-Qiyafah Sebagai Bukti

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan maksud al-qiyafah dan benarkah orang yang memahami dalam ilmu seperti ini boleh dihujah pandangannya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, kami nyatakan, firman Allah SWT:

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.”

Surah al-Nahl: 43

Mengenai tafsir bagi ayat di atas, Abu Hayyan menukilkan daripada al-Zajjaj, katanya: “(Ahli Zikri) adalah umum pada setiap orang yang disandarkan dengannya ilmu.” (Lihat al-Bahr al-Muhit, 6/533).

Salah satu daripada kurniaan Allah SWT kepada manusia adalah penguasaan ilmu termasuklah ilmu qiyafah dengan maksud ilmu pembuktian untuk mensabitkan nasab berdasarkan persamaan di antara seorang dengan seorang yang lain. Dengan bahasa lain, ia ilmu untuk menentukan kemiripan genetik seseorang.

Dalam menjawab persoalan di atas, ia sebagai qarinah bukti yang kuat dan penyokong kepada bukti. Hal ini berdasarkan kepada dua hadith Nabi SAW:

Daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata:

إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَخَلَ عَلَيَّ مَسْرُورًا، تَبْرُقُ أَسَارِيرُ وَجْهِهِ، فَقَالَ: «أَلَمْ تَرَيْ أَنَّ مُجَزِّزًا نَظَرَ آنِفًا إِلَى زَيْدِ بْنِ حَارِثَةَ وَأُسَامَةَ بْنِ زَيْدٍ، فَقَالَ: «إِنَّ هَذِهِ الأَقْدَامَ بَعْضُهَا مِنْ بَعْضٍ».

Maksudnya: Sesunguhnya Rasulullah SAW datang menemuiku dalam keadaan gembira, tampak sinar kesenangan pada raut wajahnya. Lalu Baginda bersabda: “Tahukah engkau, bahawa Mujazziz (bin al-A‘war al-Mudliji) tadi melihat Zaid bin Harithah dan Usamah bin Zaid, lalu beliau mengatakan: ‘Sesungguhnya kaki-kaki ini sebahagiannya datang daripada bahagian yang lain (salah seorang pemilik kaki ini datang daripada nasab seorang lagi).’”

Riwayat al-Bukhari (6770)

Daripada Aisyah, beliau berkata:

دَخَلَ عَلَيَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ وَهُوَ مَسْرُورٌ، فَقَالَ: يَا عَائِشَةُ، أَلَمْ تَرَيْ أَنَّ مُجَزِّزًا المُدْلِجِيَّ دَخَلَ عَلَيَّ فَرَأَى أُسَامَةَ بْنَ زَيْدٍ وَزَيْدًا وَعَلَيْهِمَا قَطِيفَةٌ، قَدْ غَطَّيَا رُءُوسَهُمَا وَبَدَتْ أَقْدَامُهُمَا، فَقَالَ: إِنَّ هَذِهِ الأَقْدَامَ بَعْضُهَا مِنْ بَعْضٍ.

Pada suatu hari Rasulullah SAW datang menemuiku dalam keadaan gembira, lalu Baginda bersabda: “Wahai Aisyah, tahukah engkau bahawa Mujazziz al-Mudliji telah datang menemuiku, lalu beliau melihat Usamah bin Zaid dan Zaid, tatkala kepala kedua-duanya sedang ditutupi kain sedangkan kaki-kaki mereka terjulur keluar, lalu beliau mengatakan: Sesungguhnya kaki-kaki ini sebahagiannya adalah daripada bahagian yang lain(kerana serupa dari sudut bentuk dan ukuran).”

Riwayat al-Bukhari (6771)

Mujazziz al-Mudliji  ialah seorang yang mahir dalam ilmu penentuan nasab berdasarkan teknik qiyafah (memadankan antara kemiripan anggota badan).

Justeru, di sini menunjukkan Rasulullah SAW menerima pengakuan yang dibuat oleh Mujazziz al-Mudliji ini.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ فضْلِكَ وَرَحْمَتِكَ ، فَإِنَّهُ لا يَمْلِكُهَا إِلا أَنْتَ

Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu agar diberi kurniaan dan rahmat-Mu. Sesungguhnya tiada yang memilikinya kecuali-Mu.”