#4925: Manaqib Anas ibn al-Nadhar R.A

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan siapakah sahabat Nabi bernama Anas ibn al-Nadhar ini?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

مُّحَمَّدٌ رَّسُولُ اللَّهِ ۚ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ ۖ تَرَاهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّنَ اللَّهِ وَرِضْوَانًا ۖ سِيمَاهُمْ فِي وُجُوهِهِم مِّنْ أَثَرِ السُّجُودِ ۚ ذَٰلِكَ مَثَلُهُمْ فِي التَّوْرَاةِ ۚ وَمَثَلُهُمْ فِي الْإِنجِيلِ كَزَرْعٍ أَخْرَجَ شَطْأَهُ فَآزَرَهُ فَاسْتَغْلَظَ فَاسْتَوَىٰ عَلَىٰ سُوقِهِ يُعْجِبُ الزُّرَّاعَ لِيَغِيظَ بِهِمُ الْكُفَّارَ ۗ وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ مِنْهُم مَّغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا

Maksudnya: Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka – dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki – dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar.

(Surah al-Fath: 29)

Untuk melengkapkan jawapan ini, kami jelaskan dalam kitab kami Garis Masa Hayat al-Rasul SAW (hlm. 399-400):

Beliau ialah Anas bin al-Nadhr bin Dhamdham bin Zaid bin Haram bin Jundub bin ‘Amir bin Ghanm bin ‘Adi bin al-Najjar. Beliau ialah bapa saudara kepada Anas bin Malik. Beliau juga salah seorang yang menyertai peperangan Uhud dan syahid dalam peperangan tersebut. Tambahan lagi, beliau termasuk dalam kalangan orang-orang yang beriman, yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam). Di antara mereka yang meriwayatkan hadith daripadanya ialah Sa‘ad bin Muaz dan Anas bin Malik R.Anhum. (Lihat Ma‘rifah al-Sahabah, 1/230).

Diriwayatkan daripada Anas R.A, katanya:

غَابَ عَمِّي أَنَسُ بْنُ النَّضْرِ عَنْ قِتَالِ بَدْرٍ، فَقَالَ: «يَا رَسُولَ اللَّهِ غِبْتُ عَنْ أَوَّلِ قِتَالٍ قَاتَلْتَ الْمُشْرِكِينَ، لَئِنِ اللَّهُ أَشْهَدَنِي قِتَالَ الْمُشْرِكِينَ لَيَرَيَنَّ اللَّهُ مَا أَصْنَعُ»، فَلَمَّا كَانَ يَوْمُ أُحُدٍ، وَانْكَشَفَ الْمُسْلِمُونَ، قَالَ: «اللَّهُمَّ إِنِّي أَعْتَذِرُ إِلَيْكَ مِمَّا صَنَعَ هَؤُلاَءِ – يَعْنِي أَصْحَابَهُ – وَأَبْرَأُ إِلَيْكَ مِمَّا صَنَعَ هَؤُلاَءِ، – يَعْنِي المُشْرِكِينَ – ثُمَّ تَقَدَّمَ»، فَاسْتَقْبَلَهُ سَعْدُ بْنُ مُعَاذٍ، فَقَالَ: «يَا سَعْدُ بْنَ مُعَاذٍ، الجَنَّةَ وَرَبِّ النَّضْرِ إِنِّي أَجِدُ رِيحَهَا مِنْ دُونِ أُحُدٍ»، قَالَ سَعْدٌ: فَمَا اسْتَطَعْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا صَنَعَ، قَالَ أَنَسٌ: فَوَجَدْنَا بِهِ بِضْعًا وَثَمَانِينَ ضَرْبَةً بِالسَّيْفِ أَوْ طَعْنَةً بِرُمْحٍ، أَوْ رَمْيَةً بِسَهْمٍ وَوَجَدْنَاهُ قَدْ قُتِلَ وَقَدْ مَثَّلَ[1]  بِهِ الْمُشْرِكُونَ، فَمَا عَرَفَهُ أَحَدٌ إِلَّا أُخْتُهُ بِبَنَانِهِ قَالَ أَنَسٌ: ” كُنَّا نُرَى أَوْ نَظُنُّ أَنَّ هَذِهِ الآيَةَ نَزَلَتْ فِيهِ وَفِي أَشْبَاهِهِ: {مِنَ المُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ} [الأحزاب: 23] إِلَى آخِرِ الآيَةِ “

Maksudnya: “Bapa saudaraku (Anas bin al-Nadhr) tidak mengikuti perang Badar. Maka beliau (Anas bin al-Nadhr) berkata: “Wahai Rasulullah! Aku tidak sempat mengikutimu pada peperangan pertama menghadapi kaum Musyrikin. Seandainya Allah memberi kesempatan untuk aku menyertai peperangan melawan kaum Musyrikin nescaya pasti Allah akan melihat apa yang akan aku lakukan.” Ketika perang Uhud, kaum muslimin bertempiaran. Beliau (Anas bin al-Nadhr) berkata: “Ya Allah, aku memohon ampun atas apa yang yang dilakukan oleh mereka itu – yakni para sahabatnya – dan aku berlepas diri kepada-Mu daripada apa yang dilakukan oleh mereka itu – yakni kaum Musyrikin – .“ Kemudian dia maju. Setelah itu, Sa’ad bin Mu‘az bertemu dengannya, lalu (Anas bin al-Nadhr) berkata: “Wahai Sa‘ad! Aku inginkan syurga, demi Allah, aku benar-benar dapat mencium baunya dari arah bukit Uhud.” Sa‘ad berkata: “Aku tidak mampu, wahai Rasulullah, untuk melakukan seperti yang beliau lakukan.” Anas bin Malik (perawi) berkata: “Kami dapati pada dirinya ada lebih daripada 80 tetakan pedang, tusukan lembing, atau panahan anak panah. Kami dapati beliau telah disyahidkan dan dipotong-potong oleh kaum Musyrikin. Tidak ada seorang pun yang mengenalinya kecuali saudara perempuannya melalui jari-jemarinya.” Anas berkata: “Kami menganggap – atau menyangka — bahawa ayat ini turun mengenai dirinya,  dan orang-orang lain yang sepertinya: “مِنَ المُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ”(Maksudnya:  dalam kalangan orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah.)[Surah al-Ahzab : 23] hingga akhir ayat.”

Riwayat al-Bukhari (2805) dan Muslim (1903)

Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin dalam syarahnya menyebut, lafaz “aku benar-benar dapat mencium baunya dari arah bukit Uhud” merupakan ciuman bau yang hakiki, bukannya sekadar khayalan ataupun angan-angan. Ini merupakan karamah bagi Anas bin al-Nadhr R.A kerana beliau boleh mencium bau syurga sebelum beliau syahid. (Lihat Syarh Riyadh al-Solihin, 2/110).

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”

 

Nota kaki:

[1] Lafaz ‘مُثْلَةْ’ adalah memotong anggota-anggota badan seperti hidung, telinga dan sebagainya.