#4926: Dajjal Menyerupai Ibn Qattan

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Dajjal menyerupai Ibn Qattan dan siapakah Ibn Qattan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kata Dajjal (دجال) berasal dari kata dajala, artinya, menutupi (sesuatu). Kamus Lisan al-’Arab mengemukakan beberapa pendapat mengapa disebut Dajjal.

  • Kerana ia adalah pembohong yang menutupi kebenaran dengan kepalsuan.
  • Kerana menutupi bumi dengan bilangannya yang besar.
  • Kerana ia menutupi manusia dengan kekafiran.
  • Kerana ia tersebar dan menutupi seluruh muka bumi.

Dajjal dari sudut bahasa bermaksud menutup akan sesuatu. Ini kerana, Dajjal antara sifatnya adalah al-Kazib (pendusta) dan pendustaan adalah menyembunyikan atau menutupi akan sesuatu. Selain itu,  jjal juga bermaksud menyembunyikan kebenaran dan membuat tipudaya terhadap manusia serta menampakkan kecantikan pada perkara yang bathil. Dajjal juga datang dalam sighah (lafaz) mubalaghah (melampau) iaitu “فَعَّال” kerana Dajjal ini banyak melakukan pendustaan dan tipudaya.

Manakala dari sudut istilah pula, Dajjal boleh dikenali dengan beberapa sifat yang dikhabarkan oleh Baginda SAW melalui hadith-hadithnya. Antaranya ialah:

  • Seorang manusia.
  • Rambutnya kerinting dan kusut masai.
  • Sebelah daripada matanya buta.
  • Tertulis pada dahinya كفر (kufur) atau كافر (kafir).

Menjawab persoalan di atas, kami katakan benar. Hal ini berdasarkan hadith Ibn Umar R.Anhuma, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

بَيْنَا أَنَا نَائِمٌ رَأَيْتُنِي أَطُوفُ بِالكَعْبَةِ، فَإِذَا رَجُلٌ آدَمُ، سَبْطُ الشَّعَرِ، بَيْنَ رَجُلَيْنِ، يَنْطُفُ رَأْسُهُ مَاءً، فَقُلْتُ: مَنْ هَذَا؟ قَالُوا: ابْنُ مَرْيَمَ، فَذَهَبْتُ أَلْتَفِتُ فَإِذَا رَجُلٌ أَحْمَرُ جَسِيمٌ، جَعْدُ الرَّأْسِ، أَعْوَرُ العَيْنِ اليُمْنَى، كَأَنَّ عَيْنَهُ عِنَبَةٌ طَافِيَةٌ، قُلْتُ: مَنْ هَذَا؟ قَالُوا: هَذَا الدَّجَّالُ. أَقْرَبُ النَّاسِ بِهِ شَبَهًا ابْنُ قَطَنٍ». وَابْنُ قَطَنٍ رَجُلٌ مِنْ بَنِي المـُصْطَلِقِ مِنْ خُزَاعَةَ.

Maksudnya: “Ketika aku sedang tidur, aku melihat (di dalam mimpi) bahawa diriku sedang melakukan tawaf di sekitar Kaabah. Tiba-tiba (aku melihat) seorang lelaki yang berkulit sawo matang, berambut lurus, berada di tengah-tengah antara dua orang lelaki, dalam keadaan rambutnya menitiskan air, lalu aku bertanya: ‘Siapakah dia?’ Mereka menjawab: ‘Anak lelaki kepada Maryam.’ Kemudian aku pergi dan aku menoleh, tiba-tiba ada seorang lelaki berkulit kemerah-merahan, bertubuh gemuk, berambut keriting, dan mata kanannya buta seakan-akan matanya itu seperti anggur yang tersembul, (lalu) aku bertanya: ‘Siapakah dia?’ Mereka menjawab: ‘Itu ialah Dajjal.’ Manusia yang paling mirip dengannya ialah Ibn Qatan.” Dan Ibn Qatan ialah seorang lelaki dari Bani Mustaliq dari puak Khuza‘ah.

Riwayat al-Bukhari (7026)

Nama sebenar Ibn Qattan ialah Abd al-‘Uzza bin Qathan bin Amr al- Khuza’i. Ada yang mengatakan bahawa beliau berasal daripada kalangan Bani Musthaliq dari suku Khuza’ah. Ibunya bernama Halah binti Khuwailid. Ibnu Qathan tidak memiliki pertalian sahabat dengan Rasulullah SAW kerana dia telah meninggal pada zaman jahiliah. Adapun tambahan riwayat yang mengatakan bahawa dia pernah bertanya kepada Nabi SAW, “Apakah keserupaannya denganku itu membahayakan bagiku?” Lalu Nabi menjawab, “Tidak, engkau muslim sedang dia kafir” adalah tambahan yang da’if daripada riwayat al-Mas’udi yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, yang dicampur dengan hadis lain. (Lihat Ta’liq Ahmad Syakir atas Musnad Ahmad 15/30-31; al-lsobah fi Tamyiz al-Sahabah, 4/239, dan Fath al-Bari, 6/488 dan 13/101).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”