Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa maksud larangan jual beli pada satu barangan sebanyak dua kali?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Daripada Abu Hurairah R.A, katanya:
نَهَى رَسُولُ الله -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- عنْ بَيْعَتَينِ فِي بَيعَةٍ
Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang dua penjualan dalam satu transaksi.”
Riwayat Ahmad (9764), al-Nasa’ie (7/295), al-Tirmizi (1231), Abu Daud (3460) dan Ibn Hibban (1109)
Para ulama berbeza pendapat mengenai maksud ‘بَيْعَتَينِ فِي بَيعَةٍ’ (dua penjualan dalam satu transaksi). Mazhab Hanbali menjelaskan, bahawa yang dimaksudkan adalah salah satu daripada dua pelaku jual beli memberikan syarat suatu akad lain pada akad yang pertama, seperti pinjaman dan bagi hasil, jual beli, sewa menyewa, syirkah serta jenis transaksi yang lain seperti ucapan seorang penjual kepada si pembeli: Aku menjual kepadamu barang ini sekian dengan syarat engkau menyewakan rumahmu kepadaku sekian, serta transaksi sejenisnya. Syarat ini menurut mazhab Hanbali membatalkan akad dari dasarnya.
Sebahagian ulama menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan ‘بَيْعَتَينِ فِي بَيعَةٍ’ iaitu seorang pembeli berkata, “Aku menjual barang ini kepadamu dengan dua ribu secara tangguh, dan seribu secara tunai. Maka mana sahaja yang engkau kehendaki, maka engkau bebas mengambilnya.”
Adapun Ibn al-Qayyim, beliau berkata: ‘بَيْعَتَينِ فِي بَيعَةٍ’ iaitu seseorang menjual barang perniagaan dengan harga seratus secara bertangguh, kemudian dibeli kembali oleh si penjual dari si pembeli dengan harga lapan puluh secara tunai. Di sini seorang penjual telah menjual barang perniagaannya dengan dua bentuk penjualan dalam satu transaksi. Apabila seseorang mengambil dengan nilai harga yang lebih secara bertangguh, maka dia telah mengambil riba dan apabila mengambil yang lebih murah, iaitu tunai, maka ia mengambil yang lebih sedikit dan ini termasuk hal yang lebih besar, yang membawa kepada riba.
Inilah sebagaimana dijelaskan oleh Syeikh Abdullah al-Bassam dalam Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 4/265-267)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ
Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”