#4932: Bercita-cita Kebaikan

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah dibolehkan bagi kita bercita-cita kebaikan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Cita-cita adalah suatu tekad dan azam yang mulia dan dipuji. Sebaliknya sekadar bercita-cita tanpa apa-apa pelaksanaan biasanya dipanggil angan-angan.

Dalam isu bercita-cita, jika dia memang ingin melakukan kebaikan dan cita-citanya yang baik, maka ia dibolehkan. Bahkan di situ menjadi pemangkin untuk seseorang bercita-cita dengan cita-cita yang baik. Rasulullah SAW dan para sahabat penuh dengan cita-cita yang unggul dan baik.

Cukuplah kami kemukakan sebuah kisah Rasulullah SAW, sebagaimana riwayat Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَوْ كَانَ عِنْدِي أُحُدٌ ذَهَبًا لَأَحْبَبْتُ أَنْ لاَ يَأْتِيَ عَلَيَّ ثَلاَثٌ وَعِنْدِي مِنْهُ دِينَارٌ، لَيْسَ شَيْءٌ أَرْصُدُهُ فِي دَيْنٍ عَلَيَّ أَجِدُ مَنْ يَقْبَلُهُ.

Maksudnya: “Sekiranya aku mempunyai emas sebesar Bukit Uhud, nescaya aku suka bahawa tidak berlalu tiga hari sedangkan terdapat di sisiku satu dinar yang aku tidak menyimpannya untuk membayar hutangku serta aku mendapati ada orang yang berhak menerimanya.”

Riwayat al-Bukhari (7228)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ فضْلِكَ وَرَحْمَتِكَ ، فَإِنَّهُ لا يَمْلِكُهَا إِلا أَنْتَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu agar diberi kurniaan dan rahmat-Mu. Sesungguhnya tiada yang memilikinya kecuali-Mu.”