#4933: Kisah Umrah al-Qadha’

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, bagaimana Nabi SAW melaksanakan umrah al-qadha?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

الْعُمْرَةُ إِلَى الْعُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا

Maksudnya: “Ibadah umrah kepada umrah berikutnya adalah kaffarah (penghapusan dosa) di antara kedua-duanya.”

Riwayat Bukhari (1773) dan Muslim (1449)

Daripada Umar R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

 تَابِعُوا بَيْنَ الْحَجِّ وَالْعُمْرَةِ فَإِنَّ الْمُتَابَعَةَ بَيْنَهُمَا تَنْفِي الْفَقْرَ وَالذُّنُوبَ كَمَا يَنْفِي الْكِيرُ خَبَثَ الْحَدِيدِ ‏

Maksudnya: “Iringilah haji dengan umrah, kerana mengiringi haji dengan umrah dapat menghilangkan dosa dan kefakiran, sebagaimana alat peniup api dapat menghilangkan karat besi.”[1]

Riwayat al-Tirmizi (810), al-Nasa’i (2631), Ibn Majah (2887), Ahmad (167) dan Ibn Hibban (3693). Syeikh Ahmad Syakir menilai sanadnya sebagai sahih (Lihat Takhrij al-Musnad, 5/244).

Dalam kitab kami, Garis Masa Hayat al-Rasul SAW (hlm. 172), kami nyatakan:

Ketika Nabi SAW ingin mengerjakan umrah pada bulan Zulkaedah tahun keenam Hijrah, penduduk Makkah telah menolak untuk memberi keizinan kepada Baginda bagi memasuki Makkah sehinggalah terjadinya peristiwa Perjanjian Hudaibiyah. Di antara isi kandungannya ialah Baginda dan kaum Muslimin hendaklah pulang dan tidak memasuki Makkah pada tahun tersebut tetapi mereka akan memasuki Makkah untuk menunaikan umrah pada tahun berikutnya. Apabila sudah berlalunya setahun daripada peristiwa umrah Hudaibiyah tersebut, Nabi SAW telah keluar bersama-sama mereka yang telah melakukan perjalanan dalam umrah Hudaibiyah dahulu bagi menggantikan semula umrah mereka. Dari situlah, umrah ini dinamakan sebagai Umrah Qadha’ kerana ia merupakan umrah qadha’ (ganti) bagi umrah Hudaibiyah yang dipanggil juga sebagai ‘Umrah al-Sulh (عُمْرة الصلح) kerana ia seiring dengan peristiwa Perjanjian Hudaibiyah, atau dipanggil juga sebagai ‘Umrah al-Qisas (عُمْرة القصاص) berdasarkan ayat ini yang diturunkan mengenainya:

 الشَّهْرُ الْحَرَامُ بِالشَّهْرِ الْحَرَامِ وَالْحُرُمَاتُ قِصَاصٌ

Maksudnya: “(Mencabuli) bulan yang dihormati itu ialah dengan (sebab membalas pencabulan dalam) bulan yang dihormati; dan tiap-tiap perkara yang dihormati itu (jika dicabuli), ada balasannya yang seimbang.”

(Surah al-Baqarah: 194)

Jumlah mereka yang keluar bersama Nabi SAW dalam umrah tersebut adalah seramai 2000 orang, tidak termasuk wanita dan kanak-kanak. Baginda telah melantik ‘Uwaif Abu Ruhm al-Ghifari untuk memangku urusan Baginda di Madinah. Baginda telah membawa bersamanya sebanyak 60 ekor unta sebagai haiwan hadyu (الهدي) dan telah menugaskan kepada Najiyah bin Jundub al-Aslami untuk mengendalikan haiwan-haiwan tersebut. Baginda juga memerintahkan kepada para sahabatnya untuk menggantikan haiwan hadyu yang disembelih pada tahun Hudaibiyah dahulu dengan membawanya dalam umrah qadha’ ini. Apabila tiba di Zulhulaifah, Nabi SAW telah berniat ihram bagi umrah dan melaungkan talbiyah bersama-sama kaum Muslimin.

Semasa keluar, Baginda SAW membawa bersamanya senjata sebagai langkah berjaga-jaga jika orang-orang Quraisy melakukan pengkhianatan. Apabila tiba di suatu kawasan yang dipanggil Ya’juj, Baginda menyimpan semua senjata yang dimiliki seperti panah, tombak dan lain-lain. Kemudian Baginda mengarahkan Aus bin Khauli al-Ansari bersama-sama 200 orang lelaki untuk tinggal di situ (bagi menjaga senjata-senjata tersebut), lalu kaum Muslimin masuk ke Makkah hanya dengan membawa pedang-pedang yang bersarung di sisi mereka. Apabila Baginda dan kaum Muslimin sampai di Mar al-Zahran (satu wadi yang berhampiran Makkah), sekumpulan orang Quraisy datang menemuinya dan mereka terkejut serta takut apabila melihat bersamanya senjata. Lalu mereka bergegas pergi berjumpa kaum mereka dan memberitahu berkenaan perkara itu. Maka kaum Quraisy pun berasa takut akan perkara tersebut. Lalu Nabi SAW pun mengkhabarkan kepada mereka bahawa Baginda tidak akan masuk ke al-Haram Makkah dengan membawa senjata.

Kemudian Baginda meneruskan perjalanannya — dan ketika itu Baginda sedang menunggang untanya yang bernama al-Qaswa’ — sehinggalah Baginda memasuki Makkah. Setelah itu, Baginda melakukan istilam kepada Hajarul Aswad dengan tongkatnya dan mengarahkan para sahabatnya untuk mempercepatkan langkah (berlari-lari anak) pada tiga pusingan tawaf yang pertama bagi menzahirkan kekuatan orang Islam kerana telah tersebar khabar angin dalam kalangan kaum musyrikin bahawa orang-orang Islam telah menjadi lemah dan tidak mampu melakukan tawaf di sekeliling Kaabah serta menunaikan manasik umrah. Orang-orang musyrikin berkata: “Pada hari ini, kaum yang sudah menjadi lemah kerana demam Yathrib akan melakukan tawaf di Kaabah.” Maka Rasulullah SAW dan kaum Muslimin melakukan al-Ramal (berlari-lari anak) pada tiga pusingan tawaf yang pertama. Ketika mana orang musyrikin melihat perbuatan kaum Muslimin itu, mereka berkata: “Inilah mereka yang kamu dakwa sudah menjadi lemah kerana demam Yathrib itu, sebaliknya ternyata mereka lebih kuat daripada golongan ini dan itu.” Ibn Abbas berkata: “Tidak ada yang menghalangi Baginda daripada memerintahkan mereka untuk melakukan al-Ramal (berlari-lari anak) dalam semua pusingan tawaf melainkan kerana kasih sayang Baginda ke atas mereka.” Baginda juga memakai rida’nya (pakaian atas ihram) dan mendedahkan bahu sebelah kanannya, dan kaum Muslimin turut melakukan perkara itu.

Maka kaum Muslimin telah menyempurnakan tawaf mereka di Kaabah dalam keadaan aman, mereka mencukur dan menggunting rambut mereka sebagaimana  yang dilihat oleh Baginda SAW dalam mimpinya.

Umrah Qadha’ ini dikira salah satu daripada empat umrah yang dilakukan  oleh Nabi SAW. Hal ini berdasarkan riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:

 اعْتَمَرَ النبيُّ ﷺ أَرْبَعًا: عُمْرَةً مِنَ الحُدَيْبِيَةِ، وَعُمْرَةَ القَضَاءِ فِي ذِي الْقَعدَةِ مِن قَابِلٍ، وَعُمْرَةَ الثَّالِثَةِ مِنَ َالْجِعْرَانَةِ، وَالرَّابِعَةُ الَّتِي مَعَ حَجَّتِهِ

Maksudnya: “Nabi SAW melakukan umrah sebanyak empat kali iaitu umrah dari Hudaibiyah, umrah qadha’ pada bulan Zulkaedah tahun berikutnya, umrah kali ketiga dari Ji‘ranah (atau Ji‘irranah) dan umrah kali keempat yang dilakukan bersama hajinya.”

[Riwayat Ahmad (2211); Abu Dawud (1993); al-Tirmizi (816); Ibn Majah (3003); Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij al-Musnad (2211) menilai sanadnya sebagai sahih mengikut syarat Imam al-Bukhari dan Muslim.]

Umrah Qadha’ yang dilakukan pada waktu tersebut sangat memberi kesan yang mendalam kepada kaum Quraisy. Orang-orang musyrikin Quraisy yang menyaksikan peristiwa umrah tersebut akan turut menyaksikan kekuatan dan kehebatan kaum Muslimin, sehinggakan Khalid bin al-Walid yang berada dalam kalangan musyrikin Quraisy (ketika itu) menyebutkan: “Sesungguhnya telah jelas kepada setiap orang yang berakal bahawa Muhammad bukanlah seorang ahli sihir mahupun seorang penyair, tetapi perkataannya adalah daripada kalam Tuhan sekalian alam. Justeru, ia adalah hak setiap orang yang berakal untuk mengikutinya.” (Lihat al-Rasul al-Qa’id, hlm. 314).

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ عُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Nota kaki:

[1] Imam al-Tibi berkata: “Kemampuan keduanya (haji dan umrah) untuk menghilangkan kemiskinan adalah sepertimana kemampuan amalan bersedekah dalam menambah harta.” (Lihat Faidh al-Qadir, 3/225)