#4934: Makna Jadilah Hidup Kamu Seolah-Olah Asing di Dunia atau Orang Bermusafir

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Nabi SAW perintahkan kita hidup seperti orang asing atau bermusafir di dunia dan bagaimana pandangan ulama terhadap hadith ini?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Benar sekali, hadith ini adalah hadith yang sahih.

Daripada Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata: Rasulullah SAW telah memegang bahuku lantas bersabda:

كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيْبٌ أَوْ عَابِرُ سَبِيْلٍ. وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا يَقُوْلُ: إِذَا أَمْسَيْتَ فَلا تَنْتَظِرِ الصَّبَاحَ، وَإِذَا أَصْبَحْتَ فَلا تَنْتَظِرِ المَسَاءَ. وَخُذْ مِنْ صِحَّتِكَ لِمَرَضِكَ، وَمِنْ حَيَاتِكَ لمَوْتِكَ

Maksudnya: “Jadilah kamu di dunia ini seperti orang asing atau yang musafir.”  Ibn Umar R.Anhuma berkata: ” Apabila kamu berada di waktu petang, janganlah kamu tunggu sehingga ke pagi, dan jika kamu berada di waktu pagi janganlah ditunggu sehingga ke petang. Gunalah masa sihatmu sebelum masa sakitmu dan gunalah masa hidupmu sebelum waktu matimu.”

Riwayat al-Bukhari (4616)

Pandangan ulama’ adalah seperti berikut:

  • Abu al-Zinad berkata: “Makna hadis ini adalah menggesa supaya kita mengurangkan pergaulan, mengurangkan urusan yang lain dan zuhud di dunia.”
  • Ibn Rajab berkata: “Hadis ini merupakan dalil tentang memendekkan cita-cita di dunia. Ia juga sebagai dalil bahawa seorang Mukmin tidak patut menjadikan dunia sebagai tempat kekal dan tempat tinggalnya, sehingga dia merasa tenang di dunia. Tetapi, dia harus berada di dunia ini seolah-olah berada di atas ‘kenderaan’ dalam keadaan sentiasa bersiap sedia untuk bertolak.”
  • Syeikh Abd al-Wahab berkata: “Antara keistimewaan pada hadis ini ialah dibuat perumpamaan dengan perkara yang bersifat nyata. Ini bertujuan menggerakkan keupayaan akal, memberi kefahaman dan membangkitkan kebaikan tadabur serta cara yang cukup mudah memberi kepuasan kepada orang.”
  • Mustafa Dib al-Bugha berkata: “Ini adalah hadis yang agung dan banyak mengandungi faedah-faedah yang mulia serta mengumpulkan semua kebaikan dan nasihat. Usulnya adalah memendekkan angan-angan di dalam kehidupan dunia kerana seorang Mukmin itu hendaklah jangan menjadikan dunia sebagai negara tempat tinggal dan penempatan serta merasa tenang dengannya.” (Lihat al-Kafi, hlm. 413-415)

Kami menutup hadith ini dengan kenyataan kami seperti berikut:

Insan yang mengetahui hakikat kehidupan akan menjadikan dunia ini sebagai tempat persinggahan sementara sebelum tiba ke destinasi abadi. Mereka menjadikan dunia ini hanya sebagai wasilah (penghubung) dan bukannya ghayah (tujuan utama). Dengan menjadikan dunia ini sebagai wasilah, maka dunia ini akan berada di dalam genggamannya dan bukan di dalam hatinya.

Kehidupan ini juga umpama orang yang asing, jauh dari tempat asalnya. Dia akan sentiasa merindukan tempat asalnya iaitu di sisi Allah SWT. Maka, dia tidak akan selesa dan tenteram dalam kehidupan yang sedia ada ini meskipun dikurniakan dengan usia yang panjang, harta kekayaan dan anak-pinak kerana dia tahu bahawa dunia ini tidak akan kekal selama-lamanya. Firman Allah SWT:

أَرَضِيتُم بِالْحَيَاةِ الدُّنْيَا مِنَ الْآخِرَةِ ۚ فَمَا مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا فِي الْآخِرَةِ إِلَّا قَلِيلٌ

Maksudnya: Adakah kamu lebih suka dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak.

(Surah al-Taubah: 38)

Imam al-Hasan al-Basri pernah berkata: “Seorang Mukmin ibarat orang asing. Tidak merasa sedih dengan sedikitnya kekayaan di dunia, dan tidak berebut untuk mendapatkannya. Dia sibuk dengan urusannya, ketika orang lain sibuk dengan urusan masing-masing.” Begitu juga Ibn Rajab al-Hanbali juga pernah berkata: “Ketika mana Allah SWT menciptakan Adam AS dan isterinya, mereka tinggal di syurga kemudian Allah keluarkan mereka dan berjanji akan pulang semula (ke syurga) berserta keturunannya yang soleh. Maka seorang Mukmin itu pasti merindukan tempat asalnya (iaitu syurga) dan cintakan tempat asal sebahagian daripada iman.” (Lihat Jami’ al-Ulum wa al-Hikam, 2/379).

Justeru, bagi orang yang berjaya dan yang mengejar kejayaan selalu berpendapat bahawa waktu adalah pedang, memang benar kerana melewatkan waktu sedikit sahaja bererti kerugian yang akan didapati dengan berpedang pada kelemahan itu. Akhirnya mereka yang mengejar kejayaan akan tangkas merebut waktu. (Lihat al-Kafi, hlm. 418)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ أَعْمَارِنَا أَوَاخِرَهَا، وَخَيْرَ أَعْمَالِنَا خَوَاتِمَهَا، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِنَا يَوْمَ نَلْقَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umur kami adalah pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalan kami sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hari kami, adalah hari dimana kami berjumpa dengan-Mu kelak.”