#4935: Kepentingan Mempelajari Ilmu Faraid

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah digalakkan kita belajar ilmu Faraid? Dan bagaimana prihatin Sahabat dan ulama’ berkenaan ilmu Faraid?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Nabi SAW menggesa dan memberi galakan kepada umat Islam agar mempelajari ilmu pusaka. Di samping itu, Baginda SAW juga memberi amaran agar umat Islam tidak mengabaikan ilmu ini.

Baginda SAW bersabda:

تُعَلِّمُوا الْفَرَائِضَ وَعَلِّمُوهَا النَّاسَ، فَإِنِّي امْرُؤٌ مَقْبُوضٌ وَإِنَّ هَذَا الْعِلْمَ سَيُقْبِضُ وَتُظْهَرُ الْفِتَنُ حَتَّى يَخْتَلِفُ الرَّجُلانِ فِي الْفَرِيْضَةِ فَلاَ يَجِدُونَ مِنْ يَفْصُلُ بَيْنَهُمَا

Maksudnya: “Pelajarilah ilmu faraid dan ajarkanlah kepada orang lain. Sesungguhnya aku akan mati, ilmu ini juga akan mati dan akan berlaku kacau-bilau sehingga apabila dua orang bertelingkah kerana harta pusaka, mereka tidak dapat menemui sesiapa yang
boleh menyelesaikan kes mereka.”

Riwayat al-Hakim (4/333)

Di dalam hadis yang lain, Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:

تَعَلَّمُوا الْفَرَائِضَ وَعَلِّمُوهَا فَإِنَّهُ نِصْفُ الْعِلْمِ وَهُوَ يُنْسَى وَهُوَ أَوَّلُ شَىْءٍ يُنْتَزَعُ مِنْ أُمَّتِي

Maksudnya: “Pelajarilah ilmu faraidh dan ajarkanlah ia, kerana sesungguhnya ia merupakan sebahagian daripada ilmu. Dan ilmu itu akan dilupakan dan ia juga adalah ilmu yang pertama dicabut daripada umatku.”

Riwayat Ibn Majah (2719)

Ilmu faraid disebut sebagai sebahagian daripada ilmu kerana manusia ini terbahagi kepada dua keadaan:

Keadaan hidup: Berkaitan dengan sembahyang, zakat, puasa dan sebagainya.

Keadaan mati: Berkaitan dengan pusaka, wasiat dan seumpamanya.

Para sahabat amat mengambil berat terhadap ilmu faraid sama ada dari sudut pembelajarannya mahupun pengajarannya. Sayyidina Umar al-Khattab RA sendiri pernah berkata: “Pelajarilah ilmu faraid kerana ia sebahagian daripada agama kamu.”

Terdapat beberapa orang sahabat Rasulullah SAW yang khusus mempelajari ilmu ini dan mereka menguasainya melebihi orang lain. Mereka adalah seperti Sayyidina Ali bin Abi Talib RA, Abdullah bin Abbas R.Anhuma, Abdullah bin Mas’ud R.Anhuma dan Zaid bin Thabit RA. Nabi SAW sendiri mengakui tentang penguasaan Zaid bin Thabit RA dalam ilmu ini. Baginda SAW bersabda:

أَفْرَضُكُمْ زَيْدُ بْنُ ثَابِتٍ

Maksudnya: “Orang yang paling arif tentang ilmu faraid ialah Zaid bin Thabit.”

Riwayat al-Tirmizi (3794)

Sayyidina Umar al-Khattab RA pernah berkata: “Sesiapa yang ingin bertanya tentang faraid, dia hendaklah menemui Zaid bin Thabit RA.”

Abdullah bin Umar R.Anhuma meriwayatkan bahawa beliau berkata pada hari kematian Zaid bin Thabit RA: “Hari ini seorang ilmuan Madinah telah meninggal dunia.”

Para tabi’in juga turut mengambil berat tentang ilmu ini sebagaimana para sahabat. Mereka sentiasa berusaha mempelajari dan mengajarnya. Antara mereka yang masyhur ialah tujuh orang ulama yang terkenal iaitu Said bin al-Musayyib, Urwah bin al-Zubair, al-Qasim bin Muhammad, Kharijah bin Zaid, Abu Bakar bin Harith bin Hisyam, Sulaiman bin Yasar dan Ubaidullah bin Abdullah bin Utbah bin Mas’ud.

Setelah itu, muncul pula ulama tabi’ tabi’in dan ulama generasi seterusnya. Semoga Allah merahmati mereka dan mengurniakan syurga yang luas kepada mereka. Semoga Allah memberi hidayah  kepada kita agar mengikut jalan dan petunjuk mereka. (Lihat al-Kafi, hlm. 456-458)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”