#4936: Boleh Tak Jual Bersama dengan Syarat?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah jual bersama dengan syarat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Daripada Amru bin Syu’aib, daripada bapanya, daripada datuknya R.A, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَحِلُّ سَلَفٌ وَبَيْعٌ، وَلاَ شَرْطَانِ فِي بَيْعٍ، وَلاَ رِبْحُ مَا لَمْ يُضْمَنُ، وَلاَ بَيْعُ مَا لَيْسَ عِنْدَكَ

Maksudnya: “Tidak halal transaksi pinjaman dengan jual beli, dua syarat di dalam penjualan, keuntungan tidak diterima dan penjualan yang tidak ada di sisimu.”

Riwayat Abu Dawud (3504), al-Tirmizi (1234), al-Nasa’ie (4611) dan Ahmad (6671). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya hasan dalam takhrij Sunan Abi Dawud.

Diriwayatkan dalam ilmu hadith, daripada riwayat Abu Hanifah dan ‘Amr yang disebutkan dengan lafaz,

نَهَى عَنْ بَيْعٍ وَشَرْطٍ.

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang penjualan dan syarat.”

Syeikh Abdullah al-Bassam menjelaskan:

Lafaz ‘وَلاَ شَرْطَانِ فِي بَيْعٍ’ (“Dan tidak boleh dua syarat dalam penjualan.”) Ia ditafsirkan dengan pelbagai tafsiran. Antaranya tafsiran mazhab Hanbali iaitu, di mana si pembeli mensyaratkan kepada si penjual agar mengoyak baju yang dia beli, lalu menjahitnya kembali, maka tidak sah kerana si pembeli telah menyatukan dua syarat. Hadith ini melarang adanya dua syarat di dalam satu transaksi jual beli.

Tafsiran yang lebih baik daripada tafsiran ini dan yang lainnya adalah tafsiran berikut:

Ibn al-Qayyim berkata: Dua syarat di dalam penjualan ditafsirkan dengan ucapan si penjual: “Ambillah barang perniagaan ini dengan harga sepuluh secara tunai dan aku mengambilnya kembali darimu dengan harga dua puluh secara tangguh.”

Ini masalah jual beli al-’inah. Dan ini pengertian yang sesuai dengan hadith. Apabila maksudnya wang dirham yang tunai dengan yang tangguh, maka ia tidak berhak harga pokoknya, iaitu yang lebih rendah daripada dua harga yang ada. Hadith ini tidak mengandungi pengertian yang lain. Ini adalah dua syarat dalam satu penjualan.

Inilah sebagaimana dijelaskan oleh Syeikh Abdullah al-Bassam dalam Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 4/285)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”