#4937: Bertanya kepada Tawanan dengan Lemah Lembut

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Kami tertarik dengan sikap yang ditunjukkan oleh pejuang Palestin terhadap tawanan mereka. Adakah ini cara Rasulullah SAW?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

 وَقُولُوا لِلنَّاسِ حُسْنًا

Maksudnya:  Dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik

(Surah al-Baqarah: 83)

Syeikh Al-Maraghi berkata: “Oleh sebab itu, dalam memenuhi hak setiap anggota umat atau seluruh manusia memadailah dengan pergaulan dan perkataan yang baik, menyuruh berbuat baik, mencegah perbuatan mungkar dan perbuatan lain bermanfaat di dunia dan akhirat.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 1/174)

Sikap yang ditunjukkan oleh orang-orang Palestin terhadap warga Israel yang ditawan amat dipuji dan ia telah menjadi viral di seluruh dunia sehingga menutup mulut rejim Zionis yang cuba memanipulasi isu tersebut. Itulah akhlak yang terbaik sehingga akhirnya tawanan memuji mereka yang menawannya.

Hal ini sebenarnya tidaklah jauh daripada apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW yang akhirnya tawanan sendiri dengan rela hati memeluk agama Islam.

Daripada Abu Hurairah R.A, katanya:

بَعَثَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَيْلًا قِبَلَ نَجْدٍ، فَجَاءَتْ بِرَجُلٍ مِنْ بَنِي حَنِيفَةَ يُقَالُ لَهُ ثُمَامَةُ بْنُ أُثَالٍ، فَرَبَطُوهُ بِسَارِيَةٍ مِنْ سَوَارِي المَسْجِدِ، فَخَرَجَ إِلَيْهِ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: «مَا عِنْدَكَ يَا ثُمَامَةُ؟» فَقَالَ: عِنْدِي خَيْرٌ يَا مُحَمَّدُ، إِنْ تَقْتُلْنِي تَقْتُلْ ذَا دَمٍ، وَإِنْ تُنْعِمْ تُنْعِمْ عَلَى شَاكِرٍ، وَإِنْ كُنْتَ تُرِيدُ المَالَ فَسَلْ مِنْهُ مَا شِئْتَ، فَتُرِكَ حَتَّى كَانَ الغَدُ، ثُمَّ قَالَ لَهُ: «مَا عِنْدَكَ يَا ثُمَامَةُ؟» قَالَ: عِنْدِي مَا قُلْتُ لَكَ: إِنْ تُنْعِمْ تُنْعِمْ عَلَى شَاكِرٍ، فَتَرَكَهُ حَتَّى كَانَ بَعْدَ الغَدِ، فَقَالَ: «مَا عِنْدَكَ يَا ثُمَامَةُ؟» فَقَالَ: عِنْدِي مَا قُلْتُ لَكَ، فَقَالَ: «أَطْلِقُوا ثُمَامَةَ» فَانْطَلَقَ إِلَى نَخْلٍ قَرِيبٍ مِنَ المَسْجِدِ، فَاغْتَسَلَ ثُمَّ دَخَلَ المَسْجِدَ، فَقَالَ: أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلَّا اللهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللهِ، يَا مُحَمَّدُ، وَاللهِ مَا كَانَ عَلَى الأَرْضِ وَجْهٌ أَبْغَضَ إِلَيَّ مِنْ وَجْهِكَ، فَقَدْ أَصْبَحَ وَجْهُكَ أَحَبَّ الوُجُوهِ إِلَيَّ، وَاللهِ مَا كَانَ مِنْ دِينٍ أَبْغَضَ إِلَيَّ مِنْ دِينِكَ، فَأَصْبَحَ دِينُكَ أَحَبَّ الدِّينِ إِلَيَّ، وَاللهِ مَا كَانَ مِنْ بَلَدٍ أَبْغَضُ إِلَيَّ مِنْ بَلَدِكَ، فَأَصْبَحَ بَلَدُكَ أَحَبَّ البِلاَدِ إِلَيَّ، وَإِنَّ خَيْلَكَ أَخَذَتْنِي وَأَنَا أُرِيدُ العُمْرَةَ، فَمَاذَا تَرَى؟ فَبَشَّرَهُ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَمَرَهُ أَنْ يَعْتَمِرَ، فَلَمَّا قَدِمَ مَكَّةَ قَالَ لَهُ قَائِلٌ: صَبَوْتَ، قَالَ: لاَ، وَلَكِنْ أَسْلَمْتُ مَعَ مُحَمَّدٍ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَلاَ وَاللهِ، لاَ يَأْتِيكُمْ مِنَ اليَمَامَةِ حَبَّةُ حِنْطَةٍ، حَتَّى يَأْذَنَ فِيهَا النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya: “Nabi SAW menghantar pasukan berkuda ke Najd. Lalu mereka datang membawa seorang lelaki daripada bani Hanifah, iaitu Thumamah bin Uthal. Mereka mengikatnya pada salah satu tiang masjid.

Nabi SAW keluar dan pergi kepadanya dan bersabda: “Apa yang ada padamu wahai Thumamah?” Dia menjawab: “Padaku kebaikan wahai Muhammad. Jika engkau membunuhku, maka engkau membunuh orang yang terpelihara darahnya dan jika engkau memberi nikmat, maka engkau memberi nikmat pada orang yang bersyukur, dan jika engkau menginginkan harta, maka mintalah daripadanya apa yang engkau sukai.”

Nabi SAW meninggalkannya sehingga keesokan harinya, kemudian Baginda kembali bertanya kepadanya: “Apa yang ada padamu wahai Thumamah?” Dia menjawab: “Apa yang telah aku katakan kepadamu. Jika engkau memberi nikmat, maka engkau memberi nikmat kepada orang yang bersyukur.”

Nabi SAW meninggalkannya sehingga keesokan harinya, kemudian Baginda kembali bertanya kepadanya: “Apa yang ada padamu wahai Thumamah?” Dia menjawab: “Padaku apa yang telah aku katakan kepadamu.”

Baginda bersabda: “Bebaskanlah Thumamah.” Dia pergi ke kebun yang ada berdekatan masjid lalu mandi, dan kemudian dia masuk ke dalam masjid. Lantas dia berkata: “Aku bersaksi bahawa tidak ada yang layak disembah melainkan Allah dan Muhammad ialah Rasulullah. Wahai Muhammad, demi Allah, (sebelum ini) tidak ada di atas bumi ini satu wajah yang lebih aku benci daripada wajahmu. Dan sekarang, wajah menjadi yang paling aku cintai. Demi Allah, tidak ada agama yang lebih aku benci (sebelum ini) daripada agamamu. Dan sekarang, agamamu menjadi yang paling aku cintai. Demi Allah, tidak ada negeri yang paling aku benci (sebelum ini) daripada negerimu. Dan sekarang, negerimu menjadi yang paling aku cintai. Sesungguhnya pasukan berkuda yang engkau utuskan telah mengambilku dalam keadaan aku hendak mengerjakan umrah. Maka apakah pendapatmu?”

Rasulullah memberi khabar gembira kepadanya dan memerintahkannya untuk melaksanakan umrah. Ketika dia datang ke Makkah, maka seseorang berkata kepadanya: “Engkau telah menukar agama.” Dia menjawab: “Tidak, tetapi aku masuk Islam bersama Muhammad SAW. Demi Allah, tidak akan datang sebiji kurma atau gandum dari Yamamah kepada kamu semua sehinggalah Nabi SAW mengizinkan.”

Riwayat al-Bukhari (4372)

Dalam hadith di atas, jika sekiranya Rasulullah SAW diperintahkan untuk membunuh orang-orang musyrik, sudah tentu Baginda SAW sudah membunuh Thumamah tatkala dia pertama kali tertangkap. (Lihat al-Kafi, hlm. 443)