Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami apakah hak nabi kita Muhammad SAW ke atas umatnya? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ ٱللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌۭ لِّمَن كَانَ يَرْجُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلْيَوْمَ ٱلْـَٔاخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرًۭا
Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”
(Surah al-Ahzab: 21)
Imam Ibn Kathir menyebutkan berkenaan ayat ini di dalam tafsirnya, ayat ini merupakan satu sandaran yang besar tentang tuntutan meneladani Rasulullah SAW dari segi percakapan, perbuatan dan sifat-sifat Baginda. Oleh yang demikian, manusia diperintahkan untuk mencontohi Baginda ketika peperangan Ahzab berlaku, dari segi kesabaran, toleransi, kebersediaan menghadapi musuh, mujahadah serta penantian Baginda terhadap bantuan Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/252)
Suruhan daripada Allah SWT supaya mengikuti jejak langkah Rasulullah SAW itu kerana sememangnya itulah antara tujuan Baginda SAW diutuskan, iaitu menyempurnakan akhlak manusia, sepertimana dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, sabda Nabi SAW:
إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتََمِّمَ صَالِحَ الْْأَخْلَاقِ
Maksudnya: “Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.”
Riwayat Ahmad (8952)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan di sini bahawa hak Nabi SAW ke atas umatnya adalah banyak dan telah disebut di dalam Usul Iman fi Dhau’ al-Kitab wa al-Sunnah (173-177) beberapa di antaranya dalam hak-hak umum yang wajib bagi umat terhadap rasul .Berikut adalah ringkasan beberapa hak khusus Rasulullah ke atas umatnya antaranya ialah:
- Keyakinan terhadap kenabian dan risalahnya, beri’tikad bahawa risalahnya memansuhkan risalah-risalah sebelumnya. Oleh itu implikasinya adalah: percaya kepada apa yang disampaikan oleh Baginda , taat kepada apa yang diperintahkan, dan menjauhi apa yang dilarang olehnya serta tidak menyembah Allah melainkan dengan apa yang telah disyariatkan. Yang demikian sebagaimana yang telah dinyatakan dalam firman Allah SWT:
فَآمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ النَّبِيِّ الْأُمِّيِّ الَّذِي يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَكَلِمَاتِهِ وَاتَّبِعُوهُ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ
Maksudnya: Oleh itu, berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya, Nabi yang Ummi yang beriman kepada Allah dan Kalimah-kalimahNya (Kitab-kitabNya); dan ikutilah dia, supaya kamu beroleh hidayah petunjuk”
(Surah al-’Araf: 174)
Begitu juga firman Allah SWT:
وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ ۖ إِنَّ اللَّـهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Maksudnya: “Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu maka terimalah serta amalkan. Manakala apa jua yang dilarang kamu melakukannya maka tinggalkanlah. Bertaqwalah kamu kepada Allah kerana sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-Nya (bagi orang-orang yang melanggar perintah-Nya).”
(Surah al-Hasyr :7)
Diriwayatkan daripada Ibn Umar R.Anhuma bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:
أُمِرْتُ أَنْ أُقَاتِلَ النَّاسَ حَتَّى يَشْهَدُوا أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا الله وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللهِ وَيُقِيمُوا الصَّلاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ فَإِذَا فَعَلُوا ذَلِكَ عَصَمُوا مِنِّي دِمَاءَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ إِلَّا بِحَقِّ الإِسْلامِ وَحِسَابُهُمْ عَلَى اللهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Aku diperintahkan untuk memerangi manusia hingga mereka bersaksi bahawa tidak ada tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad adalah Rasulullah, mendirikan Solat, menunaikan zakat. Jika mereka melakukan hal itu maka darah dan harta mereka akan dilindungi kecuali dengan hak Islam dan perhitungan sebenar mereka diserahkan kepada Allah SWT.”
Riwayat al-Bukhari (25) dan Muslim (22)
- Kewajipan beriman bahawa Rasulullah SAW telah menyampaikan risalah, menjaga amanah, dan memberi nasihat kepada umat. Tiada kebaikan melainkan umat diarahkan kepadanya, dan tiada keburukan melainkan umat diberi larangan terhadapanya. Firman Allah SWT:
الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا
Maksudnya: Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu.
(Surah al-Mai’dah: 3)
وايمُ اللَّهِ، لَقَدْ تَرَكْتُكُم عَلَى مِثْلِ البَيْضَاءِ، لَيْلُهَا وَنَهَارُهَا سَوَاءٌ
Maksudnya: Sesungguhnya aku telah tinggalkan kepada kaliang perkara yang terang benderang, malam dan saiing sama.
Riwayat Ibn Majah(5)
- Cinta kepada baginda SAW, dan memberikan keutamaan kepada cinta kepada diri sendiri daripada seluruh makhluk. Walaupun cinta itu menjadi kewajipan kepada seluruh nabi dan rasul, namun bagi Nabi kita SAW terdapat keistimewaan dalam cinta itu. Oleh itu, wajar bahawa cinta kepada baginda harus diutamakan berbanding cinta kepada seluruh manusia, termasuk anak-anak, ibu bapa, dan seluruh kaum kerabat, malah diutamakan berbanding diri sendiri. Firman Allah SWT:
قُلْ إِن كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُم مِّنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّىٰ يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ ۗ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, – (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).
(Surah al-Tawbah:24)
Diriwayatkan daripada Anas Bin Malik bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ
Maksudnya: “Tidak sempurna iman salah seorang dari kalian sehingga aku dicintai lebih daripada bapa-bapanya, anak-anaknya dan seluruh manusia.”
Riwayat Al-Bukhari (15) dan Muslim (44)
Barang siapa yang mencintai Allah dan Rasul-Nya dengan sebenar- benar kecintaan di dalam jantung hatinya, maka wajib ke atasnya untuk mencintai apa yang dicintai oleh Allah dan Rasul-Nya. Bencinya juga adalah pada perkara yang dibenci oleh Allah dan Rasul-Nya dan meredai apa yang telah Allah dan Rasul-Nya reda. Sekiranya amal perbuatannya menyalahi sesuatu yang telah ditetapkan oleh Allah serta Rasul-Nya, maka itu adalah tanda kurangnya kecintaan dan wajiblah bertaubat dan kembali melengkapkan kecintaannya semula. (Lihat al-Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, 3/1150).
- Mengagungkan dan menghormati Nabi SAW. Ini adalah salah satu hak Nabi SAW yang telah diwajibkan oleh Allah dalam kitab-Nya. Hal yang demikian boleh dilihat melaui firman Allah SWT:
لِّتُؤْمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَتُعَزِّرُوهُ وَتُوَقِّرُوهُ وَتُسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلًا
Maksudnya: (Kami mengutusmu wahai Muhammad) supaya engkau dan umatmu beriman kepada Allah dan RasulNya, dan supaya kamu kuatkan ugamaNya serta memuliakanNya, dan supaya kamu beribadat kepadaNya pada waktu pagi dan petang.
(Surah al-Fath: 9)
Begitu juga firman Allah SWT:
لَّا تَجْعَلُوا دُعَاءَ الرَّسُولِ بَيْنَكُمْ كَدُعَاءِ بَعْضِكُم بَعْضًا
Maksudnya: Janganlah kamu jadikan seruan atau panggilan Rasulullah di antara kamu seperti seruan atau panggilan sesama kamu;
(Surah al-Nur: 63)
Mujahid berkata: Perintah kepada mereka untuk memanggil baginda, wahai Rasulullah, dengan lemah lembut dan rendah hati, dan janganlah mereka berkata ‘Wahai Muhammad’ dengan ketegasan.” Sahabat Nabi SAW telah menunjukkan contoh terbaik dalam mengagungkan Nabi SAW.
- Berselawat serta memberikan salam kepada Nabi SAW, serta meningkatkan amalan tersebut sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”
(Surah al-Ahzab: 56)
Di dalam hadith, Rasulullah SAW bersabda:
الْبَخِيلُ مَنْ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ
Maksudnya: “Orang yang bakhil adalah orang yang apabila disebutkan namaku, maka dia tidak berselawat ke atasku.”
Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (2885)
Syeikh al-Mubarakfuri menukilkan bahawa Imam Ibn Kathir ada menyatakan selepas menyebut berkaitan hadith daripada Ali dan juga hadith daripada Abu Hurairah menunjukkan akan dalil wajibnya berselawat ke atas Nabi SAW setiap kali mendengar nama Baginda SAW. Ini merupakan pandangan sebahagian mazhab daripada ulama seperti al-Tahawi dan al-Halimi. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 9/373)
Tambahan pula, disifatkan dengan bakhil adalah disebabkan apabila seseorang itu malas menjalankan ketaatan kepada Allah SWT (seperti berselawat). (Lihat al-Qaul al-Badi’, hlm. 321)
Demikian merupakan hak Rasulullah SAW yang menjadi kewajipan terhadap seluruh umat islam yang menunjukkan keimanan terhadap Baginda SAW. Marilah kita sama-sama berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW sebagai tanda cinta kita terhadanya.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah pa perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ فضْلِكَ وَرَحْمَتِكَ ، فَإِنَّهُ لا يَمْلِكُهَا إِلا أَنْتَ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu agar diberi kurniaan dan rahmat-Mu. Sesungguhnya tiada yang memilikinya kecuali-Mu.”
Wallahua’lam