#4939: Hukum Sa’ie dan Isunya

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Isunya, seorang perempuan telah melakukan umrah, kemudian tidak menghabisi Sa’ie dan bertahallul, seterusnya selepas 10 tahun baru teringat, di samping tidak melakukan haji dan umrah selepas itu. Bagaimana kedudukannya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

 إِنَّ الصَّفَا وَالْمَرْوَةَ مِن شَعَائِرِ اللَّهِ ۖ فَمَنْ حَجَّ الْبَيْتَ أَوِ اعْتَمَرَ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِ أَن يَطَّوَّفَ بِهِمَا ۚ وَمَن تَطَوَّعَ خَيْرًا فَإِنَّ اللَّهَ شَاكِرٌ عَلِيمٌ ‎‏

Maksudnya: “Sesungguhnya “Safa” dan “Marwah” itu ialah sebahagian daripada Syiar (lambang) ugama Allah; maka sesiapa yang menunaikan ibadat Haji ke Baitullah atau mengerjakan Umrah, maka tiadalah menjadi salah ia bersaie (berjalan dengan berulang-alik) di antara keduanya. Dan sesiapa yang bersukarela mengerjakan perkara kebajikan, maka sesungguhnya Allah memberi balasan pahala, lagi Maha Mengetahui.”

Surah al-Baqarah (158)

Para ulama’ berbeza pendapat dalam masalah hukum Sa’ie. Adakah ia merupakan rukun, wajib atau sunat?

Dalam mazhab Ahmad dan yang masyhur dari mazhabnya, sa’ie merupakan rukun. Al-Qadhi memilih bahawa ia merupakan salah satu kewajiban haji dan bukan rukun.

Al-Muwaffaq berkata: “Itulah pendapat yang mendekati kebenaran insya Allah; Dia berkata dalam al-Syarh al-Kabir: Itulah yang lebih utama kerana dalil orang yang mewajibkannya itu menunjukkan mutlaknya kewajiban itu dan tidak berdasarkan bahawa haji tidak sempurna kecuali dengan melaksanakannya, maka ia menghendaki membayar dam. Sa’ie itu merupakan hal yang wajib, bukan rukun dan inilah mazhab Abu Hanifah dan al-Thauri.”

Dikatakan dalam Syarh al-’Umdah, bahawa syeikh kami berkata: “Perkataan al-Qadhi itu lebih mendekati kepada kebenaran, kerana hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah dan dikerjakan oleh Nabi SAW serta para sahabatnya itu menunjukkan kewajibannya seperti melontar, bercukur dan lain-lain. Itu pasti tidak menunjukkan sebagai sebuah rukun.”

Menurut mazhab Syafi’i dan Maliki, Sa’i merupakan salah satu rukun daripada rukun-rukun Haji dan Umrah. Manakala mazhab Hanafi pula berpandangan bahawa sa’ie adalah perkara wajib yang dapat diganti dengan dam.

Jumhur ulama’ termasuk mazhab al-Syafi’i menyatakan bahawa Sa’ie adalah rukun daripada rukun-rukun haji dan umrah. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 3/180)

Berdasarkan persoalan di atas, kami berpendapat:

Pertama, kejahilan yang berlaku kepadanya sepatutnya sentiasa diperingatkan oleh mutawwif atau ketua rombongan yang bertanggungjawab berkenaan dengan haji dan umrah.

Kedua, kita memakai kaedah:

اليَقِين لَا يُزَالُ بِالشَّكِّ

Maksudnya: “Keyakinan tidak dihilangkan dengan syak (keraguan).”

Apa yang dia buat pada masa itu dalam bentuk yakin dan apa yang dia ingat selepas 10 tahun itu adalah syak. Maka hendaklah dikekalkan yang yakin dan tidak diendah yang syak. Hal ini selaras dengan hadith Nabi SAW:

دَعْ مَا يَريبُكَ إِلَى مَا لَا يَريبُكَ

Maksudnya: “Tinggalkanlah apa yang menjadi keraguan kepadamu kepada yang tidak meragukan.”

Riwayat al-Tirmizi (2518)

Dalam kes ini, jika merasa masih tidak selesa, dan min bab al-ihtiyat, maka boleh digunakan mazhab Hanafi di mana hukum Sa’ie ketika itu adalah wajib yang boleh diganti dengan dam.

Sejujurnya saya memilih pendapat yang kami utarakan yang pertama dan kedua itu, iaitu abaikan yang syak dan ragu-ragu.

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ عُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”