#494 Penurunan Ayat al-Quran Terakhir

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apakah ayat al-Quran yang terakhir diturunkan? Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Definisi al-Quran dan dan Kemuliaannya

Menurut al-Qamus al-Muhit (1/49), al-Quran dari sudut bahasa bermaksud al-Tanzil (التَّنْزيل) iaitu yang diturunkan. Menurut al-Mu’jam al-Wasit, al-Quran adalah kata terbitan daripada al-Qiraah (القراءة), iaitu bacaan sebagaimana firman Allah SWT:

إِنَّ عَلَيْنَا جَمْعَهُ وَقُرْآنَهُ ﴿١٧)‏ فَإِذَا قَرَأْنَاهُ فَاتَّبِعْ قُرْآنَهُ

Maksudnya: Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan Al-Quran itu (dalam dadamu), dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu); Oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu, dengan perantaraan Jibril), maka bacalah menurut bacaannya itu.

(Surah al-Qiyamah: 17-18)

Kata qur’anah (bacaannya) pada ayat di atas bererti qira’atuh (bacaannya/cara membacanya). (Lihat al-Mu’jam al-Wasit, 2/722)

Firman Allah SWT:

وَقُرْآنَ الْفَجْرِ ۖ إِنَّ قُرْآنَ الْفَجْرِ كَانَ مَشْهُودًا

Maksudnya:Dan (dirikanlah) sembahyang subuh sesungguhnya sembahyang subuh itu adalah disaksikan (keistimewaannya).”

( Surah al-Isra’: 78)

Dikatakan juga bahawa al-Quran adalah majaz (kiasan) bagi solat, sebab itu ditafsirkan firman Allah SWT di atas dengan solat Fajr, dan dinamakan al-Quran kerana ianya adalah rukun sebagaimana dinamakan ruku’ dan sujud. Dikatakan juga sesungguhnya kalimah al-Quran digunakan dengan makna yang hakiki (sebenar). (Lihat Mu’jam Alfaz al-Quran al-Karim, 2/197-198)

Dari sudut Istilah, al-Quran adalah kalam tuhan sekalian alam yang diturunkan oleh Malaikat Jibril kepada Nabi Muhammad SAW untuk hidayah bagi manusia semuanya. (Lihat al-Quran wa I’jazuhu al-‘Ilm, hlm. 2)

Syeikh Muhammad Ali al-Sobuni pula mendefinisikan: Al-Quran adalah Kalam Allah yang mukjizat yang diturunkan kepada penutup segala Nabi dan Rasul melalui Malaikat Jibril AS yang ditulis pada mashaf-mashaf yang dipindahkan kepada kita secara mutawatir dengan membacanya adalah ibadah bermula dengan surah al-Fatihah dan diakhiri dengan surah al-Nas. (Lihat al-Tibyan fi ‘Ulum al-Quran, hlm. 8)

Makna al-Quran yang disepakati oleh Ulama’ Usul, fuqaha’ dan Ulama’ Bahasa – Al-Quran adalah Kalam yang mukjizat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW pada mazhaf yang dipindahkan secara mutawattir dan membacanya adalah Ibadah. (Lihat Mabahith fi Ulum al-Quran, hlm 21)

Definisi al-Quran dari sudut Istilah yang masyhur ialah: Kitab yang diturunkan Allah secara mutawatir kepada Nabi SAW yang bersifat mukjizat di mana mendapat pahala jika dibacanya yang terangkum dari awal surah Fatihah hingga akhir surah al-Nas.

Keistimewaan al-Quran

Sebenarnya al-Quran cukup istimewa berbanding dengan mana-mana kitab. Oleh kerana tajuk ini cukup besar, penulis hanya menyebut sepintas lalu dengan satu dalil sahaja dengan setiap satunya. Dipetik daripada karya Dr. Yusuf al-Qaradhawi yang bertajuk Kaifa Nata’amal Ma’a al-Quran al-‘Azim, antara lain menyebut:

  • Al-Quran kitab Ilahi. Hal ini dijelaskan dengan banyak ayat antaranya :

الر ۚ كِتَابٌ أُحْكِمَتْ آيَاتُهُ ثُمَّ فُصِّلَتْ مِن لَّدُنْ حَكِيمٍ خَبِيرٍ

Maksudnya“Alif, Lam, Ra. Al-Quran sebuah Kitab yang tersusun rapi ayat-ayatnya, kemudian dijelaskan pula kandungannya satu persatu yang diturunkan daripada sisi Allah Yang Maha Mendalam pengetahuan-Nya.”

(Surah Hud : 1)

  • Al-Quran adalah kitab mahfuz (terpelihara). Firman Allah SWT:

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ

Maksudnya“Sesungguhnya kamilah yang menurunkan Al-Quran dan memeliharanya.”

(Surah al-Hijr : 9)

  • Al-Quran adalah kitab mukjizat. Firman Allah SWT :

قُل لَّئِنِ اجْتَمَعَتِ الْإِنسُ وَالْجِنُّ عَلَىٰ أَن يَأْتُوا بِمِثْلِ هَـٰذَا الْقُرْآنِ لَا يَأْتُونَ بِمِثْلِهِ وَلَوْ كَانَ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ ظَهِيرًا

Maksudnya“Katakanlah (wahai Muhammad)  “ Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun demi mendatangkan sesuatu yang sebanding dengan Al-Quran , mereka tidak akan mampu mendatangkannya walaupun mereka saling membantu.”

(Surah al-Isra’: 88)

Al-Quran dikatakan sebagai sebuah kitab mukjizat kerana makhluk tidak akan mampu dan mustahil untuk mendatangkan sebuah kitab semisal al-Quran sekalipun terdapat gabungan dan kesepakatan antara seluruh manusia dan jin dalam . Sudah tentu perkataan makhluk tidak akan boleh menyamai perkataan Yang Maha Pencipta, yang tiada tandingan dan tara. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/4024)

  • Al-Quran kitab yang nyata lagi mudah. Firman Allah SWT:

فَإِنَّمَا يَسَّرْنَاهُ بِلِسَانِكَ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ

Maksudnya: “Maka sesungguhnya kami memudahkan Al-Quran dengan bahasamu(wahai Muhammad) moga-moga mereka mengambil pengajaran.”

(Surah al-Dukhan : 58)

Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata, ayat Al-Quran dihafaz oleh ribuan sama ada lelaki, perempuan atau kanak-kanak. Inilah istimewanya yang tiada pada mana-mana kitab atau buku yang lain.

  • Al-Quran kitab untuk zaman seluruhnya. Ia bermaksud kitab yang kekal yang bukan hanya sesuai pada suatu masa sahaja dan bukan untuk satu generasi. Tetapi ia sesuai sepanjang zaman dan semua tempat. Justeru tidak pelik sehingga sekarang al-Quran tetap menjadi panduan dan pedoman dalam menempuh kehidupan.
  • Al-Quran kitab agama keseluruhannya. Maksudnya ialah ia menjadi asas kepada agama dan roh Islamnya dan daripadanya diambil roh akidah, ibadat, akhlak dan juga usul tasyriq dan hukum hakam.
  • Al-Quran merupakan kitab kemanusiaan sejagat. Hal ini dapat difahami berdasarkan kepada sifat al-Quran itu sendiri yang banyak menekankan kehidupan manusia dengan kalimahnya dan untuk alam sejagat. Benarlah firman Allah SWT:

إِنْ هُوَ إِلَّا ذِكْرٌ لِّلْعَالَمِينَ

Maksudnya“Al-Quran itu tidak lain hanya peringatan bagi seluruh penduduk alam.”

(Surah al-Takwir : 27)

Ayat al-Quran yang Terakhir Diturunkan

Berbalik kepada persoalan di atas, para ulama berbeza pandangan dalam menentukan ayat al-Qur’an terakhir yang diturunkan, dan setiap pandangan didasari dengan riwayat-riwayat daripada para sahabat, namun tiada satu pun yang bertaraf marfu’, dalam erti kata tiada riwayat yang bersambung kepada Rasulullah SAW. ( Lihat Manahil al-‘Irfan fi Ulum al-Qur’an 1/96-97)

Berikut kami kemukakan beberapa pandangan ulama:

Pendapat Pertama: Ayat 278 Surah al-Baqarah (Ayat Riba)

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّـهَ وَذَرُوا مَا بَقِيَ مِنَ الرِّبَا إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman.

Diriwayatkan bahawa Ibn ‘Abbas pernah berkata:

آخِرُ آيَةٍ نَزَلَتْ عَلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم آيَةُ الرِّبَا

Maksudnya: “Ayat al-Qur’an terakhir yang diturunkan kepada Baginda Nabi SAW ialah ayat tentang riba.”

 Riwayat al-Bukhari (4544)

Pendapat Kedua: Ayat 281 Surah al-Baqarah

Firman Allah SWT:

وَاتَّقُوا يَوْمًا تُرْجَعُونَ فِيهِ إِلَى اللَّـهِ ۖ ثُمَّ تُوَفَّىٰ كُلُّ نَفْسٍ مَّا كَسَبَتْ وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ

Maksudnya: Dan peliharalah diri kamu dari huru-hara hari (kiamat) yang padanya kamu akan dikembalikan kepada Allah. Kemudian akan disempurnakan balasan tiap-tiap seorang menurut apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak dikurangkan balasannya sedikitpun.

Menurut Imam al-Alusi dalam Tafsir Ruh al-Ma’ani, (3/54), banyak riwayat daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma yang menyatakan ayat ini sebagai ayat al-Qur’an terakhir yang diturunkan. Inilah juga pandangan Said ibn Jubair R.A, dan beliau mengatakan bahawa Nabi SAW hidup selama 9 malam setelah ayat ini diturunkan, sebelum Baginda wafat. ( Lihat Tafsir Ibn Abi Hatim, 2/554)

Pendapat Ketiga: Ayat 282 Surah al-Baqarah (Ayat Hutang)

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكْتُبُوهُ ۚ وَلْيَكْتُب بَّيْنَكُمْ كَاتِبٌ بِالْعَدْلِ ۚ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar).

Imam al-Suyuthi sewaktu memberi komentar tentang 3 pandangan di atas pula menyebut bahawa tiada percanggahan antara satu sama lain kerana ketiga-tiga ayat ini sebenarnya diturunkan sekaligus, sebagaimana susunannya di dalam mushaf. (Lihat Al-Itqan fi Ulum al-Qur’an, 1/83)

Menurut Syeikh Muhammad Ra’fat Sa’id pula, ayat 281 merupakan ayat terakhir yang diturunkan antara ketiga-tiga ayat ini. (Lihat Tarikh Nuzul al-Qur’an, 1/52)

Pendapat Keempat: Ayat 176 Surah al-Nisaa’

Firman Allah SWT:

سْتَفْتُونَكَ قُلِ اللَّـهُ يُفْتِيكُمْ فِي الْكَلَالَةِ ۚ إِنِ امْرُؤٌ هَلَكَ لَيْسَ لَهُ وَلَدٌ وَلَهُ أُخْتٌ فَلَهَا نِصْفُ مَا تَرَكَ ۚ وَهُوَ يَرِثُهَا إِن لَّمْ يَكُن لَّهَا وَلَدٌ ۚ فَإِن كَانَتَا اثْنَتَيْنِ فَلَهُمَا الثُّلُثَانِ مِمَّا تَرَكَ ۚ وَإِن كَانُوا إِخْوَةً رِّجَالًا وَنِسَاءً فَلِلذَّكَرِ مِثْلُ حَظِّ الْأُنثَيَيْنِ ۗ يُبَيِّنُ اللَّـهُ لَكُمْ أَن تَضِلُّوا ۗ وَاللَّـهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ

MaksudnyaMereka (orang-orang Islam umatmu) meminta fatwa kepadamu (Wahai Muhammad mengenai masalah Kalaalah). Katakanlah: “Allah memberi fatwa kepada kamu di dalam perkara Kalaalah itu, iaitu jika seseorang mati yang tidak mempunyai anak dan ia mempunyai seorang saudara perempuan, maka bagi saudara perempuan itu satu perdua dari harta yang ditinggalkan oleh si mati; dan ia pula (saudara lelaki itu) mewarisi (semua harta) saudara perempuannya, jika saudara perempuannya tidak mempunyai anak. Kalau pula saudara perempuannya itu dua orang, maka keduanya mendapat dua pertiga dari harta yang di tinggalkan oleh si mati. Dan sekiranya mereka (saudara-saudaranya itu) ramai, lelaki dan perempuan, maka bahagian seorang lelaki menyamai bahagian dua orang perempuan”. Allah menerangkan (hukum ini) kepada kamu supaya kamu tidak sesat. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

(Surah al-Nisaa’ (176)

Diriwayatkan bahawa Abu Ishaq berkata:

سَمِعْتُ الْبَرَاءَ بْنَ عَازِبٍ، يَقُولُ آخِرُ آيَةٍ أُنْزِلَتْ آيَةُ الْكَلاَلَةِ وَآخِرُ سُورَةٍ أُنْزِلَتْ بَرَاءَةُ

Maksudnya: “Aku mendengar al-Barra’ bin ‘Azib berkata, ayat al-Qur’an terakhir yang diturunkan ialah ayat tentang al-Kalalah.”

Riwayat Muslim (1618)

Diriwayatkan juga bahawa Imam ‘Izz ibn Abd al-Salam berpegang pada pandangan ini, namun ia ditolak oleh Imam Ibn Hajar yang menyatakan bahawa Nabi SAW masih hidup selama 50 hari selepas ayat al-kalalah ini diturunkan. (Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 8/317)

Pendapat Kelima: Ayat 3 Surah al-Ma’idah

Firman Allah SWT:

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلامَ دِيناً

Maksudnya: “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu.”

Menurut Syeikh Muhammad Ra’fat Sa’id, ayat ini bukanlah ayat terakhir yang diturunkan, kerana ia diturunkankan di ‘Arafah sewaktu Hajjatul Wida’ (Haji Perpisahan) pada tahun kesepuluh hijrah, dan Baginda Nabi SAW wafat setelah 80 malam. Dan kita mengetahui bahawa Nabi SAW wafat 9 malam selepas ayat 281 Surah al-Baqarah diturunkan. (Lihat Tarikh Nuzul al-Qur’an, 1/54)

Menurut Imam al-Alusi pula, selepas ayat ini tiada lagi ayat yang turun berkenaan hukum halal dan haram, dan inilah maksud mereka yang mengatakan ayat ini ayat yang terakhir yang diturunkan, dalam erti kata ayat terakhir berkenaan hukum halal dan haram. (Lihat Tafsir Ruh al-Ma’ani, 6/60)

Namun ini juga tidak tepat kerana telah disebutkan di atas bahawa selepas ayat ini, diturunkan ayat berkenaan riba dan hutang.

Sementara Imam Ibnu Jarir al-Tobari pula menyatakan maksud ‘menyempurnakan agama’ dalam ayat ini ialah dalam konteks kaum Musyrikin ketika itu melaksanakan haji Bersama dengan kaum Muslimin, namun pada tahun tersebut aktiviti haji kaum Muslimin tidak lagi disertai orang Musyrikin, maka ini adalah penyempurnaan nikmat bagi orang Islam. (Lihat Tafsir al-Tabari, 9/521-522)

Pendapat Keenam: Ayat 128-129 Surah al-Taubah

لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِّنْ أَنفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُم بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ ﴿١٢٨﴾ فَإِن تَوَلَّوْا فَقُلْ حَسْبِيَ اللَّـهُ لَا إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ۖ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ ۖ وَهُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ

Maksudnya: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman. Kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka katakanlah (wahai Muhammad): “cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepadaNya aku berserah diri, dan Dia lah yang mempunyai Arasy yang besar.”

Pandangan ini diriwayatkan oleh Ibn Jarir, Ibn Abi Syaibah dan Ibn Mardawaih daripada Ubai ibn Ka’ab (Lihat Tafsir al-Thabari, 14/588 dan Al-Durr al-Manthur, 7/609)

Namun pandangan ini ditolak oleh Imam al-Zarqani yang mentakwilkan athar Ubai ibn Ka’ab ini dalam erti kata ia merupakan ayat terakhir daripada surah al-Taubah. (Lihat Manahil al-‘Irfan, 1/99)

Pendapat Ketujuh: Ayat 110 Surah al-Kahfi

Firman Allah SWT:

قُلْ إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ مِّثْلُكُمْ يُوحَىٰ إِلَيَّ أَنَّمَا إِلَـٰهُكُمْ إِلَـٰهٌ وَاحِدٌ ۖ فَمَن كَانَ يَرْجُو لِقَاءَ رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلًا صَالِحًا وَلَا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَدًا

MaksudnyaKatakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya”.

Ini merupakan pandangan Mu’awiyah ibn Abi Sufyan yang diriwayatkan oleh Imam Ibnu Kathir, namun Ibn Kathir menta’wilkan athar tersebut, dimana ia mungkin bermaksud ayat terakhir yang diturunkan yang tidak dinasakhkan. (Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 5/110)

Pendapat Kelapan: Surah al-Nasr

Firman Allah SWT:

إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ

Maksudnya: “Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah).”

Namun demikian, ayat ini boleh ditakwilkan sebagai ayat yang terakhir yang mengisyaratkan kepada kewafatan Nabi SAW, dan inilah yang difahami oleh sebahagian para sahabat R.Anhum. Pandangan ini juga boleh ditakwilkan yang merujuk kepada surah terakhir yang diturunkan secara sekaligus, dan ia dikuatkan dengan satu athar daripada Ibn Abbas R.A yang menyatakan hal yang demikian. ( Lihat Manahil al-‘Irfan, 1/100)

Kesimpulan dan Tarjih

Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani, pandangan yang paling tepat ialah pandangan kedua di atas, iaitu ayat 281 surah al-Baqarah. (Lihat Fath al-Bari, 8/317)

Firman Allah SWT:

وَاتَّقُوا يَوْمًا تُرْجَعُونَ فِيهِ إِلَى اللَّـهِ ۖ ثُمَّ تُوَفَّىٰ كُلُّ نَفْسٍ مَّا كَسَبَتْ وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan peliharalah diri kamu dari huru-hara hari (kiamat) yang padanya kamu akan dikembalikan kepada Allah. Kemudian akan disempurnakan balasan tiap-tiap seorang menurut apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak dikurangkan balasannya sedikitpun.”

(Surah al-Baqarah: 281)

Kami sendiri cenderung kepada pandangan ini kerana hampir semua tafsir yang kami rujuk ada menyebut ayat ini sebagai ayat terakhir yang diturunkan. Pandangan ini juga tidak ditolak dan dinafikan sebagaimana ayat-ayat lain yang disanggahi oleh pelbagai riwayat dan kalam ulama’.

Namun begitu, kami juga ingin menukilkan kata-kata Imam Abu Bakar al-Baqillani dalam isu ini: “Mengetahui ayat terakhir yang diturunkan bukanlah satu kefardhuan dalam agama, tidak juga dinaskan oleh Rasulullah SAW supaya kita mengetahuinya. Baginda tidak me adanya maslahah agama untuk umatnya mengetahui perkara ini.

Para sahabat juga memberikan pandangan tentang ayat terakhir diturunkan menurut kadar ilmu dan pengetahuan mereka. Boleh jadi seseorang sahabat ada bersama Nabi SAW ketika satu ayat diturunkan, dan beliau yakin itu merupakan ayat terakhir, namun dia tidak mengetahui adanya ayat lain yang diturunkan selepasnya ketika ketiadaannya bersama Baginda SAW.” (Lihat al-Intisar lil Qur’an, 1/245-246)

 

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 15 Februari 2022 bersamaan 13 Rejab 1443H