Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Siapakah tiga golongan yang menjadi musuh Allah SWT pada hari Kiamat?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Musuh Allah SWT ialah yang menentang Allah dan memerangi Allah. Sebagai contoh, pemakan riba. Firman Allah SWT:
فَإِن لَّمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِّنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ ۖ وَإِن تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُءُوسُ أَمْوَالِكُمْ لَا تَظْلِمُونَ وَلَا تُظْلَمُونَ
Maksudnya: Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.
(Surah al-Baqarah: 279)
Menjawab persoalan di atas, kami katakan, memang terdapat hadith Nabi SAW yang menyebut tiga golongan, yang menjadi musuh Allah pada hari Kiamat.
Daripada Abu Hurairah R.A, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda: Allah Taala berfirman:
ثَلاَثَةٌ أَنَا خَصْمُهُمْ يَوْمَ القِيَامَةِ: رَجُلٌ أَعْطَى بِي ثُمَّ غَدَرَ، وَرَجُلٌ بَاعَ حُرًّا فَأَكَلَ ثَمَنَهُ، وَرَجُلٌ اسْتَأْجَرَ أَجِيرًا فَاسْتَوْفَى مِنْهُ، وَلَمْ يُعْطِهِ أَجْرَهُ.
Maksudnya: “Tiga golongan yang akan menjadi musuhku pada Hari Kiamat (iaitu): orang yang berjanji atas nama-Ku kemudian melanggarnya, orang yang menjual orang merdeka (sebagai hamba) lalu memakan wang hasil penjualan tersebut, dan orang yang mengupah pekerja lalu dia menyelesaikan pekerjaannya, tetapi orang itu tidak memberikan upahnya.”
Riwayat al-Bukhari (2270)
Semoga Allah SWT selamatkan kita dari menjadi musuh-Nya, tetapi kita mengharapkan agar kita sentiasa mendapatkan keredhaan-Nya dan menjadi hamba-hamba-Nya dari kalangan yang soleh.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا ظُلْمًا كَثِيرًا، ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ، فَاغْفِرْ لَنَا مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنَا، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah kami dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”