Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan berkenaan keindahan bahasa al-Quran dan keluasan bahasa arab?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
الم (1) ذَٰلِكَ الْكِتَابُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًى لِّلْمُتَّقِينَ
Maksudnya: Alif, Laam, Miim. Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa;
( Surah al-Baqarah 1-2)
Sesungguhnya mukjizat al-Quran dapat dilihat menerusi aspek keindahan bahasa dan balaghah sehingga mempersonakan seluruh penyair di Semenanjung Tanah Arab ketika itu. Bahasa al-Quran sangat unik kerana dalam satu masa ia menyentuh akal, hati, emosi dan jiwa pembaca dan pendengarnya. Setiap ayat merangkumi pelbagai aspek dalam bahasa seperti gaya bahasa yang tinggi, bentuk pengucapan yang indah, susunan kata yang tepat dan lunak, mengandungi sistem perundangan yang hebat, hukum hakam yang sesuai pada setiap masa dan tempat dan pemberitahuan mengenai perkara ghaib. (Lihat Pengantar Ijaz al-Quran, hlm. 34.)
Menjawab persoalan di atas, Fakhr al-Din al-Razi telah melakukan penelitian yang mendalam terhadap pemilihan perkataan yang digunakan di dalam al-Quran. Beliau mengemukakan antara lain dua faedah dari sudut bahasa Arab yang membuktikan keagungan dan kehebatan al-Quran sebagai kitab agung. Allah SWT berfirman:
فَأَمَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ فَهُمْ فِي رَوْضَةٍ يُحْبَرُونَ (15) وَأَمَّا الَّذِينَ كَفَرُوا وَكَذَّبُوا بِآيَاتِنَا وَلِقَاءِ الْآخِرَةِ فَأُولَٰئِكَ فِي الْعَذَابِ مُحْضَرُونَ
Maksudnya: “Adapun orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka akan ditempatkan di taman syurga dalam keadaan bersuka ria. Dan sebaliknya kumpulan orang-orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami (al-Quran) serta mendustakan pertemuan hari akhirat, maka mereka akan tetap berada dalam azab seksa selama-lamanya.”
(Surah al-Rum: 15-16)
Pada ayat ke-15, Allah SWT menggunakan lafaz raudhah iaitu taman dalam bentuk kata nama am (nakirah), yang membawa maksud pengagungan (ta‘zim), kerana gaya bahasa Arab akan menggunakan kata nama am untuk memperihalkan suatu yang agung dan besar. Sedangkan pada ayat ke-16, Allah SWT menggunakan kalimah al-‘azab (azab) dalam bentuk kata nama khusus (ma‘rifah), yang tidak membawa maksud pengagungan.
Selain itu, Allah SWT juga menggunakan kalimah yuhbarun – يُحْبَرُونَ (bersuka ria) iaitu kalimah berbentuk perbuatan (fi‘l) pada ayat ke-16, sedangkan pada ayat seterusnya Allah SWT menggunakan lafaz muhdharun – مُحْضَرُونَ (berada) dalam bentuk kata nama (ism). Hikmah di sebalik pemilihan kedua-dua lafaz ini ialah kalimah perbuatan memberi makna sentiasa diperbaharui, sedangkan kata nama tidak demikian. Dalam kata lain, orang-orang beriman sentiasa didatangkan dengan nikmat dan kesenangan yang baharu pada sepanjang masa. Adapun orang kafir, setelah mereka dimasukkan ke dalam neraka, mereka kekal di dalamnya tanpa dikeluarkan semula dan dimasukkan kembali. (Lihat Tafsir al-Razi, 25/85)
Kesimpulan
Sebagai kesimpulannya, kami katakan al-Quran merupakan kitab mukjizat kerana tidak ada makhluk, baik manusia maupun jin, yang akan mampu menciptakan sebuah kitab seumpamanya sekalipun mereka bekerja sama dengan sepenuh kesepakatan dan keahlian mereka. Ini menegaskan bahawa perkataan makhluk tidak akan pernah mampu menyamai keagungan dan keindahan kata-kata yang berasal dari Sang Maha Pencipta, yang tidak ada tandingannya di alam semesta ini.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang baik dalam melaksanakan segala titah perintah-Nya dan kami akhiri dengan doa:
اَللَّهُمَّ اجْعَلِ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِناَ، وَنُوْرَ صُدُوْرِناَ، وَجلاَءَ أَحْزَانِناَ، وَذهَابَ هُمُوْمِناَ
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah al-Qur’an sebagai penyejuk hati kami, cahaya yang menyinari dada kami, penghibur duka kami dan penghapus kesedihan kami.”