#4945: Ramalan Kaji Cuaca dan Isu Keimanan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah ramalan kaji cuaca boleh memberi kesan kepada keimanan manusia?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَمِنْ ءَايَـٰتِهِۦٓ أَن يُرْسِلَ ٱلرِّيَاحَ مُبَشِّرَٰتٍۢ وَلِيُذِيقَكُم مِّن رَّحْمَتِهِۦ وَلِتَجْرِىَ ٱلْفُلْكُ بِأَمْرِهِۦ وَلِتَبْتَغُوا۟ مِن فَضْلِهِۦ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Maksudnya: “Dan  antara bukti kekuasaan-Nya, Dia menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang menggembirakan; dan kerana Dia hendak kamu merasakan sebahagian rahmat-Nya; dan supaya kapal dapat berlayar dengan perintah-Nya, lalu kamu dapat mencari rezeki daripada kurniaan-Nya yang melimpah ruah, mudah-mudahan kamu bersyukur.”

(Surah al-Rum: 46)

Dalam ayat ini, Allah SWT menyebutkan nikmat angin yang diutuskan-Nya kepada manusia, sebagai khabar gembira sebelum kedatangan hujan sebagai lambang kasih sayang Tuhan kepada manusia. Hujan datang dan ‘menghidupkan’ tanah-tanah yang kering lalu daripadanya tumbuhlah tumbuhan-tumbuhan dan tanaman yang diusahakan manusia supaya mereka dapat merasai nikmat daripada kasih sayang yang Allah SWT kurniakan kepada mereka. Apabila ada hujan, pertumbuhan ekonomi juga menjadi baik, seterusnya menghidupkan pula negeri. Manakala di laut, angin bertindak sebagai sumber tenaga yang menggerakkan kapal-kapal, yang berlayar demi keperluan hidup manusia dan aktiviti perdagangan, dari satu benua ke benua, dan satu negeri ke negeri yang lain. Allah SWT menyebut penciptaan angin ini supaya manusia sedar dan bersyukur dengan nikmat zahir yang tidak terbilang dan tidak terhitung yang Allah SWT kurniakan. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 6/321)

Ramalan Kaji Cuaca serta Kesan Terhadap Keimanan Manusia

Perbuatan ramalan kaji cuaca adalah perkara biasa yang dilakukan di seluruh dunia pada masa kini. Secara lumrahnya, tidak ada seorang pun di atas muka bumi ini yang mengetahui perihal perkara ghaib melainkan Allah SWT. Di samping itu, terdapat larangan keras di dalam Islam yang mengaitkan amalan perbomohan dan tukang tilik dengan perkara-perkara ghaib. Hal ini bersandarkan kepada hadis daripada Safiyyah R.Anha, daripada sebahagian isteri Baginda, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَىْءٍ لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلاَةٌ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً

Maksudnya: “Sesiapa yang datang kepada bomoh dan bertanya kepadanya tentang suatu perkara, tidak diterima solatnya selama empat puluh malam.”

Riwayat Muslim (2230)

Tuntasnya, kami simpulkan bahawa ramalan kaji cuaca (meteorologi) tidak boleh disamakan dengan amalan perbomohan, tukang tilik dan ramalan zodiak (astrologi) yang membawa kepada syirik dan kekufuran. Aktiviti ramalan kaji cuaca dilakukan tertakluk kepada pengetahuan tentang sunnatullah al-Kauniyyah, dan ia bersifat ilmu zhanni yang dicapai melalui teori ilmiah dan eksperimen yang tidak mencapai tahap qat‘i yang seratus peratus benar. Kerana itulah kadangkala ia benar, dan kadangkala ia tersilap. Antara tujuannya untuk memudahkan manusia merancang perjalanan dan aktiviti harian. Bahkan ia sekadar ramalan berdasarkan kaedah-kaedah matematik dan tidak mempercayainya seratus peratus. Hal ini pastinya berbeza dengan amalan perbomohan yang membawa kepada kekufuran, tidak berasaskan sebarang kaedah yang diperakui kebenarannya, lantaran kepercayaan tanpa berbelah bahagi kepada bomoh, meminta bantuan kepada makhluk-makhluk ghaib dan jampi serapah yang memuja syaitan. (Lihat Tafsir al-Bayan, 4/275)

Dalam isu ini, Pihak al-Lajnah al-Da’imah menyatakan: Waktu berlakunya gerhana matahari, bulan dan fenomena-fenomena alam yang lain dapat diketahui melalui ilmu matematik, dan ia bukannya termasuk di bawah perkara-perkara ghaib. Bahkan, ia mungkin dianggap ‘ghaib’ bagi mereka yang tidak mempunyai pengetahuan dalam perkara tersebut. Pengetahuan tentang pergerakan awan atau ramalan cuaca dan waktu turunnya hujan adalah tertakluk kepada pengetahuan tentang sunnatullah al-kauniyyah, dan ia bersifat ilmu zhanni yang dicpai melalui teori ilmiah dan eksperimen yang tidak mencapai tahap qath’i yang seratus peratus benar. Kerana itulah kadangkala ia benar, dan kadangkala ia tersilap. (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah li al-Buhuth wa al-Iftaa’, 1/431)

Syeikh al-Islam Abu al-Abbas Ibn Taimiyyah sewaktu menulis berkenaan pengiraan fenomena-fenomena alam seperti gerhana bulan dan gerhana matahari, atau penentuan musim-musim sejuk dan panas, menyatakan bahawa kiraan-kiraan ini tidak dikira sebagai ilmu ghaib yang hanya diketahui oleh Allah SWT, bahkan ia termasuk dibawah ilmu matematik. (Lihat al-Fatawa al-Kubra, 4/424)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa ramalan kaji cuaca (meteorologi) tidak boleh disamakan dengan amalan perbomohan, tukang tilik dan ramalan zodiak (astrologi) yang membawa kepada syirik dan kekufuran. Ramalan kaji cuaca antara lainnya adalah bagi memudahkan manusia merancang perjalanan dan aktiviti harian. Ia tidak memaksa kita semua mempercayai segala informasi dan maklumat dan diberikan, dan kita mengetahui bahawa ia sekadar ramalan berdasarkan kaedah-kaedah matematik dan tidak mempercayainya seratus peratus.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”