Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana kepatuhan dan keakuran perintah Allah berdasarkan ayat 21 Surah Luqman?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ ٱتَّبِعُوا۟ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ قَالُوا۟ بَلْ نَتَّبِعُ مَا وَجَدْنَا عَلَيْهِ ءَابَآءَنَآ ۚ أَوَلَوْ كَانَ ٱلشَّيْطَـٰنُ يَدْعُوهُمْ إِلَىٰ عَذَابِ ٱلسَّعِيرِ
Maksudnya: “Apabila dikatakan kepada mereka, “Ikutlah apa yang telah diturunkan Allah.” Maka mereka berkata, “Kami hanya mengikuti apa yang kami dapat daripada nenek moyang kami.” Patutkah mereka menuruti nenek moyang mereka walaupun sebenarnya syaitanlah yang mengajak mereka ke neraka yang menjulang apinya?”
(Surah Luqman: 21)
Menjawab persoalan di atas, Fakhruddin al-Razi telah mengemukakan faedah usul yang menarik hasil daripada penelitian yang mendalam terhadap kalam-Nya. Menurut beliau, ayat tersebut memberi maksud bahawa kaum musyrikin mengenepikan ‘perkataan’ yang diturunkan oleh Allah SWT iaitu al-Quran, sebaliknya mereka memilih ‘perbuatan’ atau tradisi yang diwarisi secara turun-temurun daripada nenek-moyang mereka. Dari sudut bahasa, perkataan itu adalah lebih jelas berbanding perbuatan kerana perbuatan itu mungkin menghasilkan hukum harus, haram atau wajib, sedangkan dilalah (petunjuk) yang terhasil daripada perkataan itu jelas dan nyata. Sebagai contoh, kita mendengar seseorang berkata: “Lakukanlah!”, sedangkan kita melihat perbuatannya bercanggah dengan perkataannya; yang wajib kita turuti adalah perkataannya. Sementelah lagi apabila kita dihadapkan pilihan antara firman Allah SWT dengan perbuatan orang-orang jahil, tentulah lebih jelas nyata mana yang perlu ditaati. (Lihat Tafsir al-Razi, 25/125)
Menurut Muhammad bin Sulaiman al-Asyqar, sebahagian ulama turut mendahulukan perkataan berbanding perbuatan, antara lain kerana perkataan mempunyai sighah (lafaz) yang boleh menjelaskan maksud dan kehendak, manakala perbuatan pula hanya berlaku pada satu wajah dan sukar untuk dipastikan sejauh mana hukum terhadap pelaku perbuatan boleh disamakan kepada orang lain. (Lihat Af’al al-Rasul SAW wa Dilalatuha ‘ala al-Ahkam al-Syar’iyyah, 1/100)
Justeru, marilah sama-sama kita sabar dalam mengerjakan ketaatan kepada Allah SWT. Sabar bermaksud tahan menempuh sesuatu yang sukar. Sabar yang terpuji adalah sabar atas mengerjakan taat kepada Allah SWT, menjauhi segala maksiat yang dilarang-Nya dan sabar atas segala takdir-Nya.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا آتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu, dan berilah kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.”