#4953: Nabi Ibrahim Berdusta?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Benarkah Nabi Ibrahim A.S berdusta? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, kami mulakan dengan menerangkan takrifan berdusta atau menipu ini. Umumnya, perkataanmenipu’ menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat berasal daripada perkataan ‘tipu’ yang bermaksud perbuatan curang atau kata-kata dusta untuk menyesatkan orang. Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan, menipu ialah mengkhabarkan akan sesuatu berbeza dengan keadaan sebenarnya, sama ada dengan sengaja ataupun tersilap. Manakala Imam al-Nawawi menambah lagi dengan menyebutkan, sama ada perkhabaran itu perkara yang telah berlaku ataupun yang akan datang. (Lihat Fath al-Bari, 1/201; al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 1/69)

Perbuatan menipu termasuk dalam dosa-dosa besar. Hal ini adalah sebagaimana firman Allah SWT:

‎فَاجْتَنِبُوا الرِّجْسَ مِنَ الْأَوْثَانِ وَاجْتَنِبُوا قَوْلَ الزُّورِ

Maksudnya:Maka jauhilah kekotoran syirik yang disebabkan oleh penyembahan berhala, serta jauhilah perkataan yang dusta.”

(Surah al-Hajj: 30)

Begitu juga Imam al-Nawawi turut menjelaskan bahawa telah jelas nas-nas daripada al-Quran dan al-Sunnah ke atas pengharaman berbohong. Ia termasuk dalam perbuatan dosa yang buruk dan suatu keaiban yang keji. Malah, para ulama telah menyatakan ijma‘ akan pengharamannya bersama-sama dengan nas-nas yang jelas. (Lihat al-Azkar, hlm. 377)

Lebih-lebih lagi terdapat sebuah hadith mengingatkan supaya menjauhi amalan berdusta agar tidak tercatat di sisi Allah SWT sebagai seorang pendusta. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

إِنَّ الصِّدْقَ يَهْدِي إِلَى البِرِّ، وَإِنَّ البِرَّ يَهْدِي إِلَى الجَنَّةِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَصْدُقُ حَتَّى يَكُونَ صِدِّيقًا. وَإِنَّ الكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الفُجُورِ، وَإِنَّ الفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَكْذِبُ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللَّهِ كَذَّابًا

Maksudnya:Sesungguhnya kejujuran itu membawa kepada kebaikan dan kebaikan itu membawa kepada syurga. Sesungguhnya seseorang itu sentiasa berlaku jujur sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai seorang yang jujur. Sesungguhnya pendustaan itu membawa kepada kejahatan, dan kejahatan itu membawa kepada Neraka. Sesungguhnya seseorang itu sentiasa berdusta sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai seorang pendusta.

Riwayat al-Bukhari (6094)

Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa hadith di atas mengandungi galakan kepada setiap insan untuk bersifat dengan sifat benar dan melaziminya, serta larangan daripada berdusta dan bermudah-mudah dengannya. Hal ini kerana jika terlalu bermudah-mudah dengan sifat menipu ini, lama kelamaan akan menjadi biasa — sehingga layak ditulis sebagai seorang penipu. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 16/160)

Keduanya, Allah SWT mengutus Nabi-Nya Ibrahim A.S, dan menjadikan dalam kalangan keturunannya nubuwwah dan kitab. Firman Allah SWT:

وَٱذْكُرْ فِى ٱلْكِتَـٰبِ إِبْرَٰهِيمَ ۚ إِنَّهُۥ كَانَ صِدِّيقًۭا نَّبِيًّا

Maksudnya: “Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Ibrahim; sesungguhnya adalah ia seorang yang amat benar, lagi menjadi Nabi.”

(Surah Maryam: 41)

Allah SWT memelihara Nabi Ibrahim A.S dan memuliakannya dengan diberikan kelebihan dan keutamaan serta dengan sifat-sifat yang terpuji. Firman Allah SWT:

إِنَّ إِبْرَٰهِيمَ كَانَ أُمَّةًۭ قَانِتًۭا لِّلَّهِ حَنِيفًۭا وَلَمْ يَكُ مِنَ ٱلْمُشْرِكِينَ ١٢٠ شَاكِرًۭا لِّأَنْعُمِهِ ۚ ٱجْتَبَىٰهُ وَهَدَىٰهُ إِلَىٰ صِرَٰطٍۢ مُّسْتَقِيمٍۢ ١٢١ وَءَاتَيْنَـٰهُ فِى ٱلدُّنْيَا حَسَنَةًۭ ۖ وَإِنَّهُۥ فِى ٱلْـَٔاخِرَةِ لَمِنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi Ibrahim adalah merupakan ‘satu umat’ (walaupun Ia seorang diri); ia takat bulat-bulat kepada Allah, lagi berdiri teguh di atas dasar tauhid; dan ia tidak pernah menjadi dari orang-orang yang musyrik (120). Ia sentiasa bersyukur akan nikmat-nikmat Allah; Allah telah memilihnya (menjadi Nabi) dan memberi hidayah petunjuk kepadanya ke jalan yang lurus (121). Dan Kami telah memberikan kepadanya kebaikan di dunia; dan sesungguhnya ia pada hari akhirat adalah dari orang-orang yang soleh.”

Selain  itu, Nabi Ibrahim A.S juga merupakan bapa para nabi. Tidak ada nabi yang diutus selepasnya kecuali dari keturunannya. Baginda memiliki dua orang anak yang Allah memilih mereka untuk kenabian. Mereka ialah Nabi Isma’il A.S, datuk orang Arab, dan daripada keturunannya, Allah mengutus Nabi Muhammad SAW. Sementara itu, anak Baginda yang lain pula ialah Nabi Ishaq A.S, dan Allah SWT merezekikan daripadanya seorang nabi yang dinamakan Nabi Ya‘qub A.S. Nabi Ya‘qub A.S digelar dengan Isra’il dan kepadanya dinisbahkan Bani Isra’il dan para nabi mereka.

Al-Quran memberi isyarat berkenaan Nabi Ibrahim A.S sebagai bapa para nabi berdasarkan firman-Nya mengenai Nabi Ibrahim A.S:

وَوَهَبْنَا لَهُۥٓ إِسْحَـٰقَ وَيَعْقُوبَ ۚ كُلًّا هَدَيْنَا ۚ وَنُوحًا هَدَيْنَا مِن قَبْلُ ۖ وَمِن ذُرِّيَّتِهِۦ دَاوُۥدَ وَسُلَيْمَـٰنَ وَأَيُّوبَ وَيُوسُفَ وَمُوسَىٰ وَهَـٰرُونَ ۚ وَكَذَٰلِكَ نَجْزِى ٱلْمُحْسِنِينَ ٨٤ وَزَكَرِيَّا وَيَحْيَىٰ وَعِيسَىٰ وَإِلْيَاسَ ۖ كُلٌّۭ مِّنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ ٨٥ وَإِسْمَـٰعِيلَ وَٱلْيَسَعَ وَيُونُسَ وَلُوطًۭا ۚ وَكُلًّۭا فَضَّلْنَا عَلَى ٱلْعَـٰلَمِينَ

Maksudnya: “Dan Kami telah kurniakan kepada Nabi Ibrahim: (anaknya) Ishaq (dari isterinya Sarah), dan (cucunya) Ya‘qub. Tiap-tiap seorang (dari mereka) Kami telah berikan petunjuk, dan Nabi Nuh juga Kami telah berikan petunjuk dahulu sebelum itu; dan dari keturunan Nabi Ibrahim itu (ialah Nabi-nabi): Daud, dan Sulaiman, dan Ayub, dan Yusuf, dan Musa, dan Harun. Dan demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amal perbuatannya (84). Dan (dari keturunannya juga ialah Nabi-nabi): Zakaria, dan Yahya, dan Isa, dan Ilyas; semuanya dari orang-orang yang soleh (85). Dan (dari keturunannya juga ialah Nabi-nabi): Ismail, dan Alyasak dan Yunus, dan Lut; dan mereka itu semuanya, Kami lebihkan darjat mereka atas umat-umat (yang ada pada zamannya).

(Surah al-An‘am: 84-86)

Ketiganya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa benar, tetapi maksud dusta di situ adalah lain kerana ia merupakan tauriyyah, yang mengandungi dua maksud.

Terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda:

لَمْ يَكْذِبْ إِبْرَاهِيمُ إِلَّا ثَلاَثًا

Maksudnya: “Nabi Ibrahim A.S tidak pernah berbohong kecuali tiga kali sahaja.”

Riwayat al-Bukhari (3357)

Begitu juga dalam riwayat lain, daripada Abu Hurairah R.A, beliau berkata:

مْ يَكْذِبْ إِبْرَاهِيمُ عَلَيْهِ السَّلاَمُ إِلَّا ثَلاَثَ كَذَبَاتٍ، ثِنْتَيْنِ مِنْهُنَّ فِي ذَاتِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ، قَوْلُهُ {إِنِّي سَقِيمٌ}. وَقَوْلُهُ: {بَلْ فَعَلَهُ كَبِيرُهُمْ هَذَا}. وَقَالَ: بَيْنَا هُوَ ذَاتَ يَوْمٍ وَسَارَةُ، إِذْ أَتَى عَلَى جَبَّارٍ مِنَ الجَبَابِرَةِ، فَقِيلَ لَهُ: إِنَّ هَا هُنَا رَجُلًا مَعَهُ امْرَأَةٌ مِنْ أَحْسَنِ النَّاسِ، فَأَرْسَلَ إِلَيْهِ فَسَأَلَهُ عَنْهَا، قَالَ: مَنْ هَذِهِ؟ قَالَ: أُخْتِي، فَأَتَى سَارَةَ فَقَالَ: يَا سَارَةُ: لَيْسَ عَلَى وَجْهِ الأَرْضِ مُؤْمِنٌ غَيْرِي وَغَيْرُكِ، وَإِنَّ هَذَا سَأَلَنِي فَأَخْبَرْتُهُ أَنَّكِ أُخْتِي، فَلاَ تُكَذِّبِينِي، فَأَرْسَلَ إِلَيْهَا فَلَمَّا دَخَلَتْ عَلَيْهِ وَذَهَبَ يَتَنَاوَلُهَا بِيَدِهِ فَأُخِذَ، فَقَالَ: ادْعِي اللَّهَ لِي وَلاَ أَضُرُّكِ، فَدَعَتِ اللَّهَ فَأُطْلِقَ، ثُمَّ تَنَاوَلَهَا ثانِيَةً فَأُخِذَ مِثْلَهَا أَوْ أَشَدَّ، فَقَالَ: ادْعِي اللَّهَ لِي وَلاَ أَضُرُّكِ، فَدَعَتْ فَأُطْلِقَ، فَدَعَا بَعْضَ حَجَبَتِهِ، فَقَالَ: إِنَّكُمْ لَمْ تَأْتُونِي بِإِنْسَانٍ، إِنَّمَا أَتَيْتُمُونِي بِشَيْطَانٍ، فَأَخْدَمَهَا هَاجَرَ، فَأَتَتْهُ وَهُوَ قَائِمٌ يُصَلِّي، فَأَوْمَأَ بِيَدِهِ: مَهْيَا، قَالَتْ: رَدَّ اللَّهُ كَيْدَ الكَافِرِ، أَوِ الفَاجِرِ، فِي نَحْرِهِ، وَأَخْدَمَ هَاجَرَ” قَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ فَتِلْكَ أُمُّكُمْ يَا بَنِي مَاءِ السَّمَاءِ

Maksudnya: “Nabi Ibrahim A.S tidak pernah berbohong kecuali tiga kali, dua daripadanya adalah kerana Allah ‘Azza wa Jalla (untuk mencari keredhaan-Nya), iaitu: “إِنِّي سَقِيمٌ (Maksudnya: “Sesungguhnya aku sakit.”) [Surah al-Saffat: 89], dan firman-Nya: “بَلْ فَعَلَهُ كَبِيرُهُمْ هَذَا (Maksudnya: “Akan tetapi patung yang besar inilah yang melakukannya.”) [Surah al-Anbiya’: 63], Nabi SAW bersabda: “Serta pada suatu hari ketika Nabi Ibrahim bersama Sarah, isterinya, ketika itu mereka bertemu seorang raja yang zalim. Raja tersebut diberitahu bahawa ada seorang lelaki yang bersamanya terdapat seorang wanita yang paling cantik.” Maka raja yang zalim itu mengutus seorang utusan kepada Nabi Ibrahim dan bertanya kepadanya tentang wanita yang bersamanya. Utusan itu bertanya: “Siapakah ini?” Nabi Ibrahim menjawab: “Dia saudara perempuanku.” Kemudian Nabi Ibrahim datang kepada Sarah dan berkata: “Wahai Sarah, tidak ada orang beriman di muka bumi ini selain aku dan engkau, dan orang ini bertanya kepadaku tentang dirimu dan aku mengatakan kepadanya bahawa engkau ialah saudara perempuanku, maka janganlah engkau mendustakan aku.” Raja itu mengirimkan utusan kepada Sarah untuk memintanya datang. Ketika Sarah masuk menemuinya, raja itu hendak menyentuh Sarah dengan tangannya, namun tiba-tiba tangannya lumpuh. Maka raja tersebut berkata: “Berdoalah kepada Allah untukku dan aku tidak akan menyakiti kamu.” Sarah berdoa kepada Allah dan tangan raja itu kembali pulih. Kemudian raja tersebut hendak menyentuh Sarah buat kali kedua, namun tangannya kembali lumpuh dan lebih parah sehingga dia berkata: “Berdoalah kepada Allah untukku dan aku tidak akan menyakiti kamu.” Maka Sarah berdoa lalu tangan raja itu kembali pulih. Kemudian raja tersebut memanggil sebahagian pengawalnya dan berkata: “Sungguh kamu tidak membawa kepadaku seorang manusia, tetapi kamu membawa syaitan kepadaku.” Lalu raja itu menyerahkan Hajar kepada Sarah sebagai pelayan. Sarah pulang kepada Ibrahim dan ketika itu Ibrahim sedang berdiri menunaikan solat. Ibrahim mengisyaratkan dengan tangannya; “Bagaimana keadaan kamu?” Sarah berkata: “Allah telah mengembalikan tipu daya orang kafir – atau orang jahat – ke lehernya, dan dia menyerahkan Hajar kepadaku sebagai pelayan.” Abu Hurairah berkata: “Dia ialah ibu kamu wahai keturunan air langit (bangsa Arab).[1]

Riwayat al-Bukhari (3358)

Jika dilihat secara zahir riwayat-riwayat tersebut seakan-akan memberi gambaran bahawa Nabi Ibrahim A.S telah berbohong sedangkan sifat  yang wajib bagi para Nabi dan Rasul adalah bersifat benar. Bahkan para Nabi dan Rasul terpelihara daripada bercakap perkataan yang bohong lagi dusta.

Pada hakikatnya, Nabi Ibrahim A.S bukannya menipu. Akan tetapi Baginda menyebutkan satu perkara yang lain akan tetapi difahami dengan maksud yang lain. Perkara ini dijelaskan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani bahawa adapun apa yang Nabi SAW sebutkan tentang Nabi Ibrahim A.S seakan menipu pada tiga perkara pada hakikatnya Nabi Ibrahim A.S berkata satu perkataan yang dianggap oleh orang yang mendengar sebagai bohong akan tetapi setelah diteliti ianya bukan bohong kerana ia termasuk di dalam bab al-Mu‘aridh (iaitu bercakap dengan perkataan yang membawa banyak maksud) yang mana ia berkemungkinan membawa dua maksud. Oleh kerana itu, ia bukannya satu pembohongan sama sekali. (Lihat Fath al-Bari, 6/391)

Begitu juga Imam al-Nawawi turut menyebutkan, maknanya adalah penipuan yang dinyatakan dalam hadith itu adalah apabila ia dinisbahkan kepada kefahaman orang yang mendengar. Adapun ucapan itu sendiri ia bukan penipuan yang dicela. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 15/124).

Maka dapat kita difahami bahawa apa yang disebutkan oleh Nabi Ibrahim A.S difahami sebagai satu perkara yang menipu oleh orang yang mendengar, akan tetapi ucapan itu sendiri bukannya satu perkataan bohong. Hal ini kerana Nabi Ibrahim A.S memaksudkannya dengan maksud yang lain.

Para ulama menjelaskan dengan lebih terperinci apakah maksud disebalik ucapan Nabi Ibrahim A.S yang disalah anggap sebagai berbohong sebagaimana berikut:

  • “Sesungguhnya aku sakit” (إني سقيم) iaitu ketika diajak oleh kaumnya untuk pergi ke majlis sembahan. Maksud Baginda daripada ucapan tersebut ialah sakit atau tidak mampu untuk menghadirkan sebab yang membenarkan Baginda keluar bersama kaumnya dan tidak ingin menyaksikan kemungkaran yang dilakukan oleh mereka. (Lihat Fath al-Bari, 6/391; al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 15/126). Menurut Dr. Solah al-Khalidi, sakit yang dimaksudkan di sini adalah sakit secara maknawi. Iaitu Baginda tidak suka apa yang dilakukan oleh kaumnya yang gemar menyembah berhala. (Lihat al-Qasas al-Qur’ani ‘Ard Waqa’i wa Tahlil Ahdath, 1/354).
  • “Akan tetapi patung yang besar inilah yang melakukannya” (بَلْ فَعَلَهُ كَبِيرُهُمْ هَذَا) iaitu yang menghancurkan berhala-berhala tersebut ialah patung yang besar sedangkan Baginda sendiri yang memecahkannya. Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menukilkan pandangan al-Qurtubi yang menyatakan, ini merupakan satu permulaan untuk berhujah bahawa berhala-berhala tersebut bukanlah Tuhan. Ia juga adalah satu ucapan bagi membantah kaumnya yang mengatakan bahawa berhala tersebut memberi mudarat dan manfaat. Cara berhujah seperti ini diharuskan dengan syarat yang bersambung. Oleh kerana itu, selepas mengucapkan yang memecahkan berhala-berhala tersebut adalah berhala yang paling besar, Baginda menyebut tanyalah kepada berhala besar itu jika mereka boleh bercakap. Ibn Qutaibah berkata: Ia dilakukan oleh berhala yang paling besar jika mereka (berhala-berhala) boleh bercakap. Sekiranya mereka tidak boleh bercakap bukanlah berhala yang paling besar yang melakukannya. (Lihat Fath al-Bari, 6/392).

Dalam erti kata lain, ia adalah satu ucapan hujahan untuk membantah apa yang dilakukan oleh kaumnya. Ia merupakan hujah akal yang secara langsung menafikan sembahan-sembahan yang diagungkan oleh kaumnya.

  • “Dia saudara perempuanku.” (هذه أختي) iaitu Sarah adalah saudara perempuan Baginda A.S sedangkan Sarah sebenarnya adalah isteri Baginda. Maksud Nabi Ibrahim A.S adalah Sarah juga adalah saudaranya di dalam agama yang sama. Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa ia juga adalah satu ucapan untuk mengelakkan daripada dizalimi oleh orang yang kafir lagi zalim pada situasi yang genting. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 15/126).

Inilah takwilan dan maksud sebenar yang dianggap sebagai berbohong oleh orang yang mendengar zahir ucapan tersebut. Akan tetapi hakikatnya maksud yang ingin disampaikan adalah berbeza seperti mana yang difahami. Inilah yang disebut sebagai al-Mu‘aridh (المعاريض). Oleh kerana itu, seorang sahabat Nabi SAW yang bernama ‘Imran bin Husain pernah menyebutkan:

إِنَّ فِي الْمَعَارِيضِ لَمَنْدُوحَةً عَنِ الْكَذِبِ

Maksudnya: “Sesungguhnya pada ucapan al-Mu‘aridh (iaitu ucapan yang bersifat tidak langsung) sangat jauh daripada ucapan menipu.”

Riwayat al-Bukhari (857) dalam al-Adab al-Mufrad; Ibn Abi Syaibah (26096)

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa benar, Nabi Ibrahim A.S dikatakan pernah berdusta (berdasarkan kepada kefahaman orang yang mendengar), namun dusta yang dimaksudkan di situ sebenarnya adalah lain kerana ia merupakan tauriyyah, yang mengandungi dua maksud. Justeru, ucapan Nabi Ibrahim A.S itu pada hakikatnya, bukanlah ucapan yang bohong kerana yang dimaksudkan adalah makna dan sesuatu yang berbeza.

Bahkan dalam al-Quran, Allah SWT menyifatkan Nabi Ibrahim A.S sebagai seorang Nabi yang benar pertuturan dan perlakuannya. Firman Allah SWT:

وَٱذْكُرْ فِى ٱلْكِتَـٰبِ إِبْرَٰهِيمَ ۚ إِنَّهُۥ كَانَ صِدِّيقًا نَّبِيًّا

Maksudnya: “Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Ibrahim; sesungguhnya adalah ia seorang yang amat benar, lagi menjadi Nabi.

(Surah Maryam: 41)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

أَصْبَحْنَا عَلَى فِطْرَةِ الْإِسْلَامِ وَعَلَى كَلِمَةِ الْإِخْلَاصِ ، وَعَلَى دِينِ نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وَعَلَى مِلَّةِ أَبِينَا إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا مُسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

Maksudnya: “Kami hayati pagi ini di atas landasan fitrah dan perwatakan Islam, berpegang kepada kalimah ikhlas (kalimah syahadah), dan berpegang kepada agama Nabi kami Muhammad SAW yang juga agama ayah kami Ibrahim, yang berada di atas jalan yang lurus, muslim dan tidak tergolong dari kalangan orang-orang musyrik.” 1

 

Nota kaki:

[1] Dinamakan sedemikian kerana mereka mencari air hujan dan tempat turunnya hujan di tanah-tanah lapang untuk haiwan ternakan mereka.