Soalan
Assalamualaikum ustaz. Apa hukum sembelihan wanita? Benarkah jika wanita yang menyembelih haiwan, maka tidak sah? Mohon penjelasan.
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Islam sangat menitikberatkan tentang pemakanan dari segi halal dan haram. Oleh itu, Allah SWT telah menjelaskan tentang hal ini di dalam firman-Nya:
حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّـهِ بِهِ وَالْمُنْخَنِقَةُ وَالْمَوْقُوذَةُ وَالْمُتَرَدِّيَةُ وَالنَّطِيحَةُ وَمَا أَكَلَ السَّبُعُ إِلَّا مَا ذَكَّيْتُمْ وَمَا ذُبِحَ عَلَى النُّصُبِ
Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala.”
(Surah al-Maidah: 3)
Syeikh Tahir Ibnu ‘Asyur menyebut di dalam tafsirnya bahawa ayat ini menjelaskan tentang haiwan-haiwan ternakan yang tidak halal. Pengharaman yang ada di dalam ayat ini bermaksud haram untuk memakannya. Kerana itulah maksud dari ayat ini. Ia juga menerangkan tentang keadaan binatang-binatang ternakan yang haram dimakan. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 4/124)
Sheikh Zakariyya al-Ansari menyebut bahawa rukun sembelihan ada empat, iaitu:
- Penyembelihan
- Tukang sembelih
- Haiwan sembelihan
- Alat penyembelihan. (Lihat Minhaj al-Tullab, 1/281)
Ijmak para ulama mengatakan bahawa haiwan yang disembelih adalah halal untuk dimakan dan dimanfaatkan. (Lihat Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Alfaz al-Minhaj, 4/265)
Syarat-syarat Sembelihan
Untuk menjadikan haiwan itu halal untuk dimakan, maka Allah SWT memerintahkan supaya ianya disembelih. Para ulama menggariskan panduan untuk penyembelihan binatang dan meletakkan syarat-syarat ke atasnya iaitu:
- Penyembelih itu mestilah Sama ada lelaki, perempuan, baligh atau mumaiyyiz dan ini merupakan pendapat jumhur.
- Penyembelih itu mestilah orang Islam atau Ahli Kitab. Begitu juga tidak sah sembelihan orang yang murtad. Ini kerana sembelihan mereka itu bukanlah bertujuan kerana Allah SWT. Ini seperti firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 3 seperti yang di atas. Dan ulama meletakkan syarat ke atas Ahli kitab di antaranya mestilah beriman dan menyebut nama Allah SWT ketika sembelih.
- Binatang buruan yang halal dan bukan daripada jenis binatang buas dan ganas ini seperti firman Allah SWT:
أُحِل لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ مَتَاعًا لَكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ وَحُرِّمَ عَلَيْكُمْ صَيْدُ الْبَرِّ مَا دُمْتُمْ حُرُمًا
Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran; tetapi diharamkan atas kamu memburu binatang buruan darat selama kamu sedang berihram. Oleh itu, bertaqwalah kepada Allah, yang kepadaNya kamu akan dihimpunkan.”
(Surah al-Maidah: 96)
Dan selain daripada kategori binatang buas diharuskan untuk sembelih dan memakannya. Begitu juga binatang buas tidak termasuk binatang ternakan dan binatang korban.
- Disyaratkan menyebut nama Allah SWT ketika sembelih sama ada dari kalangan orang Islam atau ahli kitab. Sekiranya ia terlupa atau bisu dibolehkan untuk memakannya. Ini seperti firman Allah SWT:
وَلَا تَأْكُلُوا مِمَّا لَمْ يُذْكَرِ اسْمُ اللَّـهِ عَلَيْهِ وَإِنَّهُ لَفِسْقٌ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang tidak disebut nama Allah ketika menyembelihnya, kerana sesungguhnya yang sedemikian itu adalah perbuatan fasik (berdosa).”
(Surah al-An’am: 121)
- Tidak mencampur adukkan di antara membesarkan nama Allah SWT dengan selainnya. Sama ada dengan menyebut secara jelas ataupun tidak.
- Mestilah dengan memutuskan Halkum dan urat Marih untuk mempercepatkan kematiannya.
- Selain itu, syarat peralatan sembelihan ialah dengan menggunakan peralatan yang tajam dan bukan diperbuat daripada tulang, kuku dan gigi. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyah, 21/184)
Justeru, dapat difahami bahawa sembelihan ada salah satu cara untuk menjadikan haiwan-haiwan halal dimakan dagingnya. Haram hukumnya memakan daging binatang tanpa disembelih terlebih dahulu kerana pada ketika ia tidak disembelih dianggap sebagai bangkai. Ini berdasarkan firman Allah SWT seperti yang telah disebutkan:
حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ ٱلْمَيْتَةُ وَٱلدَّمُ وَلَحْمُ ٱلْخِنزِيرِ وَمَآ أُهِلَّ لِغَيْرِ ٱللَّـهِ بِه
Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah…”
(Surah al-Maidah : 3)
Yang dinamakan sebagai sembelihan yang sah adalah ketika mana terputusnya halkum dan urat mari’. Syeikh Zakariyya al-Ansari menyebut: “Sembelihan itu termasuklah al-Nahr dan membunuh haiwan yang tidak boleh dimatikan dengan cara yang biasa adalah memutuskan halqum iaitu saluran pernafasan dan juga memutuskan urat mari’ iaitu saluran makanan bagi haiwan.” (Lihat Fath al-Wahhab, 2/333)
Para ulama juga mensyaratkan agar sembelihan itu dilakukan oleh orang Muslim. Ini berdasarkan firman Allah SWT :
إِلَّا مَا ذَكَّيْتُمْ
Maksudnya: “…Kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya)…”
(Surah al-Maidah : 3)
Imam al-Qurtubi menyebut bahawa kesemua perkara yang disebut di dalam ayat tersebut adalah haram untuk dimakan kecuali apa yang disembelih oleh kalian sendiri. ( Lihat al-Jami’ Li Ahkam al-Quran, 6/50)
Ayat ini pada asasnya ditujukan kepada Muslim. Imam al-Nawawi menyebut: “Syarat sembelihan yang pertama adalah orang yang menyembelih disyaratkan agar dari kalangan orang Muslim atau ahli kitab.” (Lihat Raudhah Al-Talibin, 2/505)
Syeikh Zakariyya al-Ansari menyebut: “Rukun pertama sembelihan atau buruan adalah seorang penyembelih dan syaratnya ialah mesti seorang Muslim atau ahli kitab yang halal untuk kita nikahi.” ( Lihat Asna al-Matalib Syarh Raudh al-Talib, 7/65)
Syeikh Taqiyuddin al-Husaini al-Hisni menyebut: “Disyaratkan bagi seorang penyembelih agar sembelihannya halal dimakan adalah mesti dari kalangan orang Muslim atau ahli kitab. (Lihat Kifayah al-Akhyar fi Halli Ghayah al-Ikhtisar, hlm. 684)
Isu Sembelihan Wanita
Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, jika binatang tersebut disembelih oleh wanita maka sembelihan itu tetap sah dan boleh dimakan. Ini kerana, lelaki atau perempuan bukan syarat utama bagi penyembelih. Yang paling utama adalah penyembelih mestilah seorang Muslim. Di dalam satu hadis riwayat Ka’ab Bin Malik, beliau menceritakan:
أَنَّ امْرَأَةً ذَبَحَتْ شَاةً بِحَجَرٍ فَسُئِلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ ذَلِكَ فَأَمَرَ بِأَكْلِهَا
Maksudnya: “Seorang wanita menyembelih seekor kambing. Kemudian ditanya kepada Rasulullah SAW tentang sembelihan tersebut. Lantas Rasulullah SAW memerintahkan untuk makan sembelihan yang dilakukan wanita tersebut.”
Riwayat al-Bukhari (5504)
Al-Hafiz Ibn Hajar menyatakan: “Sa’id Bin Mansur dengan sanadnya daripada Ibrahim al-Nakhaie. Ibrahim berkata tentang sembelihan wanita dan kanak-kanak bahawa tidak mengapa jika dia mampu untuk menyembelih dan menyebut nama Allah. Inilah pandangan yang dipegang oleh jumhur ulama.” (Lihat Fath al-Bari, 9/632)
Maulana Zakariyya al-Kandahlawi menyebut bahawa Imam al-Bukhari meletakkan hadis ini di bawah bab sembelihan wanita dan hamba perempuan. Seakan-akan beliau ingin memberi isyarat sahnya sembelihan tersebut dan menolak pandangan yang mengatakan bahawa sembelihan yang dilakukan wanita tidak sah.
Beliau mengatakan lagi, di antara faedah hadis ialah harus makan hasil sembelihan wanita tidak kira sama ada dia seorang hamba atau seorang yang bebas,yang kecil atau yang dewasa, Muslim atau ahli kitab. Juga sama ada dalam keadaan suci atau tidak. Ini kerana Nabi SAW memerintahkan untuk makan sembelihan wanita itu tanpa bertanya apa-apa. (Lihat al-Abwab wa al-Tarajim li Sahih al-Bukhari, 6/58)
Imam al-Nawawi bersetuju dan mengatakan sah sembelihan yang dilakukan oleh wanita dan halal untuk memakannya. Kata beliau: “Tidak syak lagi bahawa sembelihan wanita adalah halal. Ini berdasarkan hadis Ka’ab yang dinyatakan oleh pengarang (al-Syirazi) di dalam kitab. Sembelihan lelaki lebih baik dari sembelihan wanita sepertimana yang disebutkan oleh pengarang sendiri. Sama ada wanita itu bebas, hamba, dalam keadaan haid atau nifas, Muslimah atau kitabiah kesemua sembelihan mereka sah dan halal dimakan. Ini yang dinyatakan secara oleh al-Syafie dan para ulama mempersetujuinya.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9/86)
Kesimpulan
Sembelihan yang dilakukan oleh wanita adalah sah dan halal dimakan. Ya, memang ada sebahagian ulama mengatakan bahawa sembelihan lelaki lebih afdal daripada wanita. Perkara ini dilihat dari sudut kekuatan dan kemampuan menyembelih binatang.
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 15 Februari 2022 bersamaan 13 Rejab 1443H