#4964: Nabi Ibrahim A.S

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Boleh terangkan secara ringkas berkenaan sedikit Nabi Ibrahim A.S? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, Allah SWT mengutus Nabi-Nya Ibrahim A.S, dan menjadikan dalam kalangan keturunannya nubuwwah dan kitab. Firman Allah SWT:

وَٱذْكُرْ فِى ٱلْكِتَـٰبِ إِبْرَٰهِيمَ ۚ إِنَّهُۥ كَانَ صِدِّيقًۭا نَّبِيًّا

Maksudnya: “Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Ibrahim; sesungguhnya adalah ia seorang yang amat benar, lagi menjadi Nabi.”

(Surah Maryam: 41)

Allah SWT memelihara Nabi Ibrahim A.S dan memuliakannya dengan diberikan kelebihan dan keutamaan serta dengan sifat-sifat yang terpuji. Firman Allah SWT:

إِنَّ إِبْرَٰهِيمَ كَانَ أُمَّةًۭ قَانِتًۭا لِّلَّهِ حَنِيفًۭا وَلَمْ يَكُ مِنَ ٱلْمُشْرِكِينَ ١٢٠ شَاكِرًۭا لِّأَنْعُمِهِ ۚ ٱجْتَبَىٰهُ وَهَدَىٰهُ إِلَىٰ صِرَٰطٍۢ مُّسْتَقِيمٍۢ ١٢١ وَءَاتَيْنَـٰهُ فِى ٱلدُّنْيَا حَسَنَةًۭ ۖ وَإِنَّهُۥ فِى ٱلْـَٔاخِرَةِ لَمِنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi Ibrahim adalah merupakan ‘satu umat’ (walaupun Ia seorang diri); ia takat bulat-bulat kepada Allah, lagi berdiri teguh di atas dasar tauhid; dan ia tidak pernah menjadi dari orang-orang yang musyrik (120). Ia sentiasa bersyukur akan nikmat-nikmat Allah; Allah telah memilihnya (menjadi Nabi) dan memberi hidayah petunjuk kepadanya ke jalan yang lurus (121). Dan Kami telah memberikan kepadanya kebaikan di dunia; dan sesungguhnya ia pada hari akhirat adalah dari orang-orang yang soleh.”

Selain  itu, Nabi Ibrahim A.S juga merupakan bapa para nabi. Tidak ada nabi yang diutus selepasnya kecuali dari keturunannya. Baginda memiliki dua orang anak yang Allah memilih mereka untuk kenabian. Mereka ialah Nabi Isma’il A.S, datuk orang Arab, dan daripada keturunannya, Allah mengutus Nabi Muhammad SAW. Sementara itu, anak Baginda yang lain pula ialah Nabi Ishaq A.S, dan Allah SWT merezekikan daripadanya seorang nabi yang dinamakan Nabi Ya‘qub A.S. Nabi Ya‘qub A.S digelar dengan Isra’il dan kepadanya dinisbahkan Bani Isra’il dan para nabi mereka.

Al-Quran memberi isyarat berkenaan Nabi Ibrahim A.S sebagai bapa para nabi berdasarkan firman-Nya mengenai Nabi Ibrahim A.S:

وَوَهَبْنَا لَهُۥٓ إِسْحَـٰقَ وَيَعْقُوبَ ۚ كُلًّا هَدَيْنَا ۚ وَنُوحًا هَدَيْنَا مِن قَبْلُ ۖ وَمِن ذُرِّيَّتِهِۦ دَاوُۥدَ وَسُلَيْمَـٰنَ وَأَيُّوبَ وَيُوسُفَ وَمُوسَىٰ وَهَـٰرُونَ ۚ وَكَذَٰلِكَ نَجْزِى ٱلْمُحْسِنِينَ ٨٤ وَزَكَرِيَّا وَيَحْيَىٰ وَعِيسَىٰ وَإِلْيَاسَ ۖ كُلٌّۭ مِّنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ ٨٥ وَإِسْمَـٰعِيلَ وَٱلْيَسَعَ وَيُونُسَ وَلُوطًۭا ۚ وَكُلًّۭا فَضَّلْنَا عَلَى ٱلْعَـٰلَمِينَ

Maksudnya: “Dan Kami telah kurniakan kepada Nabi Ibrahim: (anaknya) Ishaq (dari isterinya Sarah), dan (cucunya) Ya‘qub. Tiap-tiap seorang (dari mereka) Kami telah berikan petunjuk, dan Nabi Nuh juga Kami telah berikan petunjuk dahulu sebelum itu; dan dari keturunan Nabi Ibrahim itu (ialah Nabi-nabi): Daud, dan Sulaiman, dan Ayub, dan Yusuf, dan Musa, dan Harun. Dan demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amal perbuatannya (84). Dan (dari keturunannya juga ialah Nabi-nabi): Zakaria, dan Yahya, dan Isa, dan Ilyas; semuanya dari orang-orang yang soleh (85). Dan (dari keturunannya juga ialah Nabi-nabi): Ismail, dan Alyasak dan Yunus, dan Lut; dan mereka itu semuanya, Kami lebihkan darjat mereka atas umat-umat (yang ada pada zamannya).

(Surah al-An‘am: 84-86)

Nabi Ibrahim A.S telah menyeru kaumnya di Iraq untuk menyembah Allah yang Esa dan meninggalkan penyembahan berhala yang tidak memberi manfaat dan tidak mendatangkan mudarat. Firman Allah SWT:

وَإِبْرَٰهِيمَ إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِ ٱعْبُدُوا۟ ٱللَّهَ وَٱتَّقُوهُ ۖ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌۭ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ ١٦ إِنَّمَا تَعْبُدُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ أَوْثَـٰنًۭا وَتَخْلُقُونَ إِفْكًا ۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ تَعْبُدُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ لَا يَمْلِكُونَ لَكُمْ رِزْقًۭا فَٱبْتَغُوا۟ عِندَ ٱللَّهِ ٱلرِّزْقَ وَٱعْبُدُوهُ وَٱشْكُرُوا۟ لَهُۥٓ ۖ إِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

Maksudnya: “Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ibrahim, ketika dia berkata kepada kaumnya: ‘Sembahlah kamu akan Allah dan bertaqwalah kepadaNya; yang demikian itu adalah baik bagi kamu jika kamu tahu (membezakan yang baik dari yang buruk) (16). Kamu hanyalah menyembah berhala-berhala yang diperbuat oleh orang, tidak menyembah Allah yang mencipta segala-galanya, dan kamu hanya mengadakan penyembahan yang dusta. Sesungguhnya mereka yang kamu sembah yang lain dari Allah itu, tidak berkuasa memberi rezeki kepada kamu; oleh itu carilah rezeki dari sisi Allah, dan sembahlah akan Dia, serta bersyukurlah kepadaNya; (ingatlah), kepada Allah jualah kamu akan dikembalikan.’

(Surah al-‘Ankabut: 16-17)

Nabi Ibrahim A.S ingin membebaskan kaumnya daripada penyembahan berhala, menyelamatkan mereka daripada khurafat dan mitos. Maka Baginda bertanya kepada kaumnya tentang berhala-berhala tersebut, sebagaimana yang dinyatakan dalam firman Allah SWT:

وَٱتْلُ عَلَيْهِمْ نَبَأَ إِبْرَٰهِيمَ ٦٩ إِذْ قَالَ لِأَبِيهِ وَقَوْمِهِۦ مَا تَعْبُدُونَ ٧٠ قَالُوا۟ نَعْبُدُ أَصْنَامًۭا فَنَظَلُّ لَهَا عَـٰكِفِينَ ٧١ قَالَ هَلْ يَسْمَعُونَكُمْ إِذْ تَدْعُونَ ٧٢ أَوْ يَنفَعُونَكُمْ أَوْ يَضُرُّونَ ٧٣ قَالُوا۟ بَلْ وَجَدْنَآ ءَابَآءَنَا كَذَٰلِكَ يَفْعَلُونَ

Maksudnya: “Dan bacakanlah pula kepada mereka perihal Nabi Ibrahim (69). Ketika ia berkata kepada bapanya dan kaumnya: ‘Apa yang kamu sembah?’ (70). Mereka menjawab: ‘Kami menyembah berhala-berhala, maka (kerana memuliakannya) kami berkekalan menyembahnya.’ (71). Nabi Ibrahim bertanya: ‘Adakah berhala-berhala itu mendengar kamu semasa kamu menyerunya? (72). Atau mereka dapat memberikan sesuatu yang ada manfaatnya kepada kamu ataupun menimpakan sesuatu bahaya?’ (73). Mereka menjawab: ‘(Tidak satupun!) Bahkan kami dapati datuk nenek kami berbuat demikian.’

(Surah al-Syu‘ara’: 69-74)

Kemudian, Nabi Ibrahim A.S menjelaskan kepada mereka agar mereka tidak tunduk kepada selain Allah SWT tanpa akal seperti binatang. Baginda menegaskan kebenaran yang agung, iaitu ibadah kepada Allah semata-mata, yang memiliki kekuasaan atas segala sesuatu. Hal ini adalah sebagaimana ayat:

قَالَ أَفَرَءَيْتُم مَّا كُنتُمْ تَعْبُدُونَ ٧٥ أَنتُمْ وَءَابَآؤُكُمُ ٱلْأَقْدَمُونَ ٧٦ فَإِنَّهُمْ عَدُوٌّۭ لِّىٓ إِلَّا رَبَّ ٱلْعَـٰلَمِينَ ٧٧ ٱلَّذِى خَلَقَنِى فَهُوَ يَهْدِينِ ٧٨ وَٱلَّذِى هُوَ يُطْعِمُنِى وَيَسْقِينِ ٧٩ وَإِذَا مَرِضْتُ فَهُوَ يَشْفِينِ ٨٠ وَٱلَّذِى يُمِيتُنِى ثُمَّ يُحْيِينِ ٨١ وَٱلَّذِىٓ أَطْمَعُ أَن يَغْفِرَ لِى خَطِيٓـَٔتِى يَوْمَ ٱلدِّينِ

Maksudnya: “Nabi Ibrahim berkata: ‘Sudahkah kamu berfikir sehingga nampak gunanya benda-benda yang kamu sembah itu? (75). (Yang sekian lama disembah oleh) kamu dan datuk nenek kamu yang dahulu? (76). (Aku bertanya demikian) kerana sesungguhnya berhala-berhala itu ialah musuhKu, (aku tidak menyembah) melainkan Allah Tuhan sekalian alam (77); Tuhan yang menciptakan daku (dari tiada kepada ada), maka Dia lah yang memimpin dan memberi petunjuk kepadaku (78); Dan Tuhan yang Dia lah jua memberiku makan dan memberi minum (79), Dan apabila aku sakit, maka Dia lah yang menyembuhkan penyakitku (80); Dan (Dia lah) yang mematikan daku, kemudian Ia menghidupkan daku (81); Dan (Dia lah) yang aku harap-harapkan supaya mengampunkan dosaku pada hari kiamat.’

(Surah al-Syu‘ara’: 75-82)

Bapa Nabi Ibrahim merupakan penyembah berhala dan juga pembuatnya untuk dijual. Namun, Nabi Ibrahim A.S menolak kekufuran ayahnya dan menasihatinya dengan berkata kepadanya sebagaimana yang dirakamkan menerusi ayat:

إِذْ قَالَ لِأَبِيهِ يَـٰٓأَبَتِ لِمَ تَعْبُدُ مَا لَا يَسْمَعُ وَلَا يُبْصِرُ وَلَا يُغْنِى عَنكَ شَيْـًۭٔا ٤٢ يَـٰٓأَبَتِ إِنِّى قَدْ جَآءَنِى مِنَ ٱلْعِلْمِ مَا لَمْ يَأْتِكَ فَٱتَّبِعْنِىٓ أَهْدِكَ صِرَٰطًۭا سَوِيًّۭا

Maksudnya: “Ketika ia berkata kepada bapanya: ‘Wahai ayahku, mengapa ayah menyembah benda yang tidak mendengar dan tidak melihat serta tidak dapat menolongmu sedikitpun? (42) Wahai ayahku, sesungguhnya telah datang kepadaku dari ilmu pengetahuan yang tidak pernah datang kepadamu oleh itu ikutlah daku; aku akan memimpinmu ke jalan yang betul.’

(Surah Maryam: 42-43)

Akan tetapi bapanya tidak menerima dakwahnya bahkan sebaliknya mengancamnya dengan hukuman rejam dan buang negeri. Ini jelas sebagaimana dirakamkan menerusi ayat:

قَالَ أَرَاغِبٌ أَنتَ عَنْ ءَالِهَتِى يَـٰٓإِبْرَٰهِيمُ ۖ لَئِن لَّمْ تَنتَهِ لَأَرْجُمَنَّكَ ۖ وَٱهْجُرْنِى مَلِيًّۭا

Maksudnya: “(Bapanya) menjawab: ‘Patutkah engkau bencikan tuhan-tuhanku, wahai Ibrahim? Demi sesungguhnya jika engkau tidak berhenti daripada menyeru dan menasihati daku sudah tentu aku akan melontarmu dengan batu; dan (ingatlah lebih baik) engkau tinggalkan daku sepanjang masa.’

(Surah Maryam: 46)

Lalu Nabi Ibrahim A.S meninggalkannya seraya berkata kepadanya sebagaimana dirakamkan menerusi ayat:

قَالَ سَلَـٰمٌ عَلَيْكَ ۖ سَأَسْتَغْفِرُ لَكَ رَبِّىٓ ۖ إِنَّهُۥ كَانَ بِى حَفِيًّۭا

Maksudnya: “Nabi Ibrahim berkata: ‘Selamat tinggalah ayah; aku akan memohon kepada Tuhanku mengampuni dosamu; sesungguhnya Dia sentiasa melimpahkan kemurahan ihsan-Nya kepadaku.’

(Surah Maryam: 47)

Nabi Ibrahim A.S terus memohon keampunan untuk ayahnya dan berharap agar Tuhan memberinya petunjuk. Namun, ketika menjadi jelas baginya bahawa ayahnya adalah musuh Allah, Nabi Ibrahim memutuskan hubungan dengan ayahnya dan menghentikan permohonan keampunan buatnya. Firman Allah SWT:

وَمَا كَانَ ٱسْتِغْفَارُ إِبْرَٰهِيمَ لِأَبِيهِ إِلَّا عَن مَّوْعِدَةٍۢ وَعَدَهَآ إِيَّاهُ فَلَمَّا تَبَيَّنَ لَهُۥٓ أَنَّهُۥ عَدُوٌّۭ لِّلَّهِ تَبَرَّأَ مِنْهُ ۚ إِنَّ إِبْرَٰهِيمَ لَأَوَّٰهٌ حَلِيمٌۭ

Maksudnya: “Dan bukanlah istighfar Nabi Ibrahim bagi bapanya (dibuat) melainkan kerana adanya janji yang dijanjikan kepadanya; dan apabila ternyata kepada Nabi Ibrahim bahawa bapanya musuh bagi Allah, ia pun berlepas diri daripadanya. Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu lembut hati lagi penyabar.

(Surah al-Taubah: 114)

Ketika mana kaum Nabi Ibrahim tetap berkeras dalam penyembahan berhala, Nabi Ibrahim A.S ingin menunjukkan kepada mereka dengan bukti yang nyata bahawa berhala-berhala itu tidak dapat memberi mudarat ataupun manfaat  setelah segala nasihat dan petunjuk tidak memberi kesan kepada mereka. Firman Allah SWT:

فَنَظَرَ نَظْرَةًۭ فِى ٱلنُّجُومِ ٨٨ فَقَالَ إِنِّى سَقِيمٌۭ ٨٩ فَتَوَلَّوْا۟ عَنْهُ مُدْبِرِينَ ٩٠ فَرَاغَ إِلَىٰٓ ءَالِهَتِهِمْ فَقَالَ أَلَا تَأْكُلُونَ ٩١ مَا لَكُمْ لَا تَنطِقُونَ ٩٢ فَرَاغَ عَلَيْهِمْ ضَرْبًۢا بِٱلْيَمِينِ

Maksudnya: “Kemudian ia memandang dengan satu renungan kepada bintang-bintang (yang bertaburan di langit) (88). Lalu berkata: ‘Sesungguhnya aku merasa sakit (tak dapat turut berhari raya sama).’ (89) Setelah (mendengar kata-katanya) itu, mereka berpaling meninggalkan dia (90). Lalu dia pergi kepada berhala-berhala mereka secara bersembunyi, serta dia bertanya (kepada berhala-berhala itu, secara mengejek-ejek): ‘Mengapa kamu tidak makan? (91) Mengapa kamu tidak menjawab?’ (92) Lalu dia memukul berhala-berhala itu dengan tangan kanannya (sehingga pecah berketul-ketul).

(Surah al-Saffat: 88-93)

Nabi Ibrahim A.S telah memecahkan kesemua berhala-hala itu melainkan satu berhala yang besar dan meninggalkan ia dalam keadaan elok agar mereka akan bertanya kepadanya mengenai perbuatannya tersebut. Firman Allah SWT:

فَجَعَلَهُمْ جُذَٰذًا إِلَّا كَبِيرًۭا لَّهُمْ لَعَلَّهُمْ إِلَيْهِ يَرْجِعُونَ

Maksudnya: “Lalu dia memecahkan semuanya berketul-ketul, kecuali sebuah berhala mereka yang besar (dibiarkannya), supaya mereka kembali kepadanya.”

(Surah al-Anbiya’: 58)

Tatkala mereka kembali daripada majlis perayaan mereka, mereka melihat patung-patung itu telah pecah lalu mereka pun menuduh Nabi Ibrahim A.S. Maka, Nabi Ibrahim A.S berkata kepada mereka sebagaimana ia dirakamkan dalam ayat:

قَالَ بَلْ فَعَلَهُۥ كَبِيرُهُمْ هَـٰذَا فَسْـَٔلُوهُمْ إِن كَانُوا۟ يَنطِقُونَ

Maksudnya: “Dia menjawab: ‘(Tidak) bahkan yang melakukannya ialah (berhala) yang besar di antara mereka ini! Maka bertanyalah kamu kepada mereka kalau-kalau mereka dapat berkata-kata.’

(Surah al-Anbiya’: 63)

Apabila mereka tahu bahawa patung-patung itu tidak dapat berbicara kerana ia adalah sesuatu atau benda mati, mereka berkata kepada Nabi Ibrahim A.S sebagaimana ia dirakamkan dalam ayat:

ثُمَّ نُكِسُوا۟ عَلَىٰ رُءُوسِهِمْ لَقَدْ عَلِمْتَ مَا هَـٰٓؤُلَآءِ يَنطِقُونَ

Maksudnya: “Kemudian mereka terbalik fikirannya kepada kesesatan, lalu berkata: ‘Sesungguhnya engkau (hai Ibrahim), telah sedia mengetahui bahawa berhala-berhala itu tidak dapat berkata-kata (maka betapa engkau menyuruh kami bertanya kepadanya)?’

(Surah al-Anbiya’: 65)

Apabila mereka mengakui kelemahan patung-patung tersebut, Nabi Ibrahim A.S berkata kepada mereka sebagaimana ia dirakamkan dalam ayat:

قَالَ أَفَتَعْبُدُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ مَا لَا يَنفَعُكُمْ شَيْـًۭٔا وَلَا يَضُرُّكُمْ ٦٦ أُفٍّۢ لَّكُمْ وَلِمَا تَعْبُدُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ ۖ أَفَلَا تَعْقِلُونَ

Maksudnya: “Nabi Ibrahim berkata: ‘Jika demikian, patutkah kamu menyembah yang lain dari Allah sesuatu yang tidak dapat mendatangkan faedah sedikitpun kepada kamu, dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepada kamu? (66) Jijik perasaanku terhadap kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah! Maka mengapa kamu tidak mahu menggunakan akal fikiran kamu?’

(Surah al-Anbiya’: 66-67)

Apabila hujah mereka terputus, mereka mengambil tindakan dengan menggunakan kekerasan. Ini jelas sebagaimana firman Allah SWT:

قَالُوا۟ حَرِّقُوهُ وَٱنصُرُوٓا۟ ءَالِهَتَكُمْ إِن كُنتُمْ فَـٰعِلِينَ

Maksudnya: “(Setelah tidak dapat berhujah lagi, ketua-ketua) mereka berkata: ‘Bakarlah dia dan belalah tuhan-tuhan kamu, jika betul kamu mahu bertindak membelanya!’

(Surah al-Anbiya’: 68)

Mereka pun mengumpulkan banyak kayu api dan menyalakan api yang besar. Kemudian mereka melemparkan Nabi Ibrahim A.S ke dalam api tersebut. Nabi Ibrahim A.S bermunajat dan berdoa kepada Allah SWT agar diberi keselamatan daripada api tersebut. Firman Allah SWT:

قُلْنَا يَـٰنَارُ كُونِى بَرْدًۭا وَسَلَـٰمًا عَلَىٰٓ إِبْرَٰهِيمَ ٦٩ وَأَرَادُوا۟ بِهِۦ كَيْدًۭا فَجَعَلْنَـٰهُمُ ٱلْأَخْسَرِينَ

Maksudnya: “Kami berfirman: ‘Wahai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim!’ (69). Dan mereka (dengan perbuatan membakarnya itu) hendak melakukan angkara yang menyakitinya, lalu Kami jadikan mereka orang-orang yang amat rugi, (kalah dengan hinanya) (70).

(Surah al-Anbiya’: 69-70)

Setelah Nabi Ibrahim A.S selamat daripada api, Allah SWT memerintahkannya untuk pergi dan berhijrah dari Iraq ke Tanah Suci di Syam. Nabi Ibrahim A.S menikahi sepupunya, iaitu Sarah, dan berhijrah bersamanya dan anak saudaranya, Nabi Lut A.S ke wilayah Syam sebagaimana firman Allah SWT:

وَنَجَّيْنَـٰهُ وَلُوطًا إِلَى ٱلْأَرْضِ ٱلَّتِى بَـٰرَكْنَا فِيهَا لِلْعَـٰلَمِينَ

Maksudnya: “Dan Kami selamatkan dia dan (sepupunya) Nabi Lut ke negeri yang Kami limpahkan berkat padanya untuk umat manusia.

(Surah al-Anbiya’: 71)

Kemudian, di Syam, Nabi Ibrahim A.S mengalami kesulitan yang besar. Oleh kerana itu, Baginda berhijrah ke Mesir bersama isterinya. Setelah itu, Baginda kembali ke Palestin bersama isterinya, Sarah, dan hamba perempuannya yang bernama Hajar. Ini kerana Nabi Ibrahim A.S menginginkan keturunan, sedangkan Sarah mandul dan telah berusia lanjut. Ketika Sarah melihat keinginan suaminya untuk memiliki keturunan, dia memberikan hamba perempuannya, Hajar, kepada Nabi Ibrahim A.S. Nabi Ibrahim A.S menikahinya, dan daripada pernikahan tersebut, Allah SWT mengurniakan kepada Nabi Ibrahim A.S seorang anak lelaki, iaitu Nabi Isma‘il.  Nabi Ibrahim A.S berdoa sebagaimana dirakamkan dalam ayat:

رَبِّ هَبْ لِى مِنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ ١٠٠ فَبَشَّرْنَـٰهُ بِغُلَـٰمٍ حَلِيمٍۢ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh! (100). Lalu Kami berikan kepadanya berita yang menggembirakan, bahawa ia akan beroleh seorang anak yang penyabar.”

(Surah al-Anbiya’: 100-101)

Setelah itu, Hajar melahirkan Nabi Isma‘il, rasa kesal dan cemburu tumbuh di dalam hati Sarah. Sarah meminta kepada Nabi Ibrahim agar mengusir Hajar dan Isma‘il dari sisinya. Allah SWT memberi wahyu kepada Nabi Ibrahim A.S agar membawa Hajar dan Isma‘il yang masih bayi ke Makkah. Nabi Ibrahim pergi dengan keduanya, dan setelah itu, Nabi Ibrahim meninggalkan Hajar dan Isma‘il di suatu tempat di lembah yang tandus dan tidak berair. Setelah meninggalkan mereka, Nabi Ibrahim balik semula Palestin. Hajar bertanya kepada Nabi Ibrahim: “Mengapakah kamu meninggalkan kami di lembah tandus dan kering ini?” Nabi Ibrahim A.S menjawab: “Ini adalah perintah Allah SWT.” Hajar berkata: “Jika begitu, Allah tidak akan membiarkan kami.”

Nabi Ibrahim A.S mematuhi perintah Tuhan dan sabar meninggalkan isterinya dan juga anaknya. Setelah itu, Baginda memandang ke arah mereka di tempatnya dekat Baitullah dan berdoa dengan doa berikut:

رَّبَّنَآ إِنِّىٓ أَسْكَنتُ مِن ذُرِّيَّتِى بِوَادٍ غَيْرِ ذِى زَرْعٍ عِندَ بَيْتِكَ ٱلْمُحَرَّمِ رَبَّنَا لِيُقِيمُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ فَٱجْعَلْ أَفْـِٔدَةًۭ مِّنَ ٱلنَّاسِ تَهْوِىٓ إِلَيْهِمْ وَٱرْزُقْهُم مِّنَ ٱلثَّمَرَٰتِ لَعَلَّهُمْ يَشْكُرُونَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.

(Surah Ibrahim: 37)

Hajar tinggal di Makkah, memakan bekal-bekal yang ditinggalkan Nabi Ibrahim A.S untuknya dan anaknya. Apabila bekal habis, mereka berasa dahaga. Hajar mencari air, naik ke bukit Safa, turun ke bukit Marwah, dan melakukan perjalanan sebanyak tujuh kali. Selepas itu, Hajar memandang ke arah Isma‘il, dan tiba-tiba muncul air dari bawah kakinya. Dia sangat gembira lalu meminum air itu dan memberi anaknya air tersebut.

Kemudian, suku Jurhum datang untuk bertemu Hajar dan meminta izin untuk tinggal berdekatan dengan air tersebut. Hajar memberi keizinan, dan mereka tinggal bersama-sama. Nabi Isma‘il kemudian menikahi wanita dari suku Jurhum dan belajar bahasa Arab daripada mereka.

Dalam tempoh itu, Nabi Ibrahim A.S melawat anaknya dari semasa ke semasa. Dalam salah satu kunjungannya, Nabi Ibrahim melihat dalam mimpi bahawa Allah SWT memerintahkannya untuk menyembelih anaknya, Isma‘il. Mimpi para nabi adalah benar, dan Nabi Ibrahim bertekad untuk melaksanakan perintah Allah, meskipun Baginda sudah lanjut usia dan Isma‘il adalah anak tunggalnya. Firman Allah SWT:

فَبَشَّرْنَـٰهُ بِغُلَـٰمٍ حَلِيمٍۢ ١٠١ فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ ٱلسَّعْىَ قَالَ يَـٰبُنَىَّ إِنِّىٓ أَرَىٰ فِى ٱلْمَنَامِ أَنِّىٓ أَذْبَحُكَ فَٱنظُرْ مَاذَا تَرَىٰ ۚ قَالَ يَـٰٓأَبَتِ ٱفْعَلْ مَا تُؤْمَرُ ۖ سَتَجِدُنِىٓ إِن شَآءَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلصَّـٰبِرِينَ ١٠٢ فَلَمَّآ أَسْلَمَا وَتَلَّهُۥ لِلْجَبِينِ ١٠٣ وَنَـٰدَيْنَـٰهُ أَن يَـٰٓإِبْرَٰهِيمُ ١٠٤ قَدْ صَدَّقْتَ ٱلرُّءْيَآ ۚ إِنَّا كَذَٰلِكَ نَجْزِى ٱلْمُحْسِنِينَ ١٠٥ إِنَّ هَـٰذَا لَهُوَ ٱلْبَلَـٰٓؤُا۟ ٱلْمُبِينُ ١٠٦ وَفَدَيْنَـٰهُ بِذِبْحٍ عَظِيمٍۢ

Maksudnya: “Lalu Kami berikan kepadanya berita yang mengembirakan, bahawa ia akan beroleh seorang anak yang penyabar (101). Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: ‘Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?’ Anaknya menjawab: ‘Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar.’ (102) Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim – dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami) (103), Serta Kami menyerunya: ‘Wahai Ibrahim! (104) Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu.’ Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan (105). Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata (106); Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar.

(Surah al-Saffat: 101-107)

Kemudian Allah SWT memberi khabar gembira kepada Nabi Ibrahim A.S tentang kelahiran anak keduanya, iaitu Ishaq daripada isterinya yang pertama, Sarah. Setelah itu, Nabi Ibrahim A.S kembali ke Palestin. Firman Allah SWT:

وَبَشَّرْنَـٰهُ بِإِسْحَـٰقَ نَبِيًّۭا مِّنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ

Maksudnya: “Dan Kami pula berikan kepadanya berita yang menggembirakan, bahawa ia akan beroleh (seorang anak): Ishak, yang akan menjadi Nabi, yang terhitung dari orang-orang yang soleh.”

(Surah al-Saffat: 112)

Begitu juga, firman Allah SWT:

وَٱمْرَأَتُهُۥ قَآئِمَةٌۭ فَضَحِكَتْ فَبَشَّرْنَـٰهَا بِإِسْحَـٰقَ وَمِن وَرَآءِ إِسْحَـٰقَ يَعْقُوبَ

Maksudnya: “Dan isterinya pada ketika itu berdiri (mendengar), lalu ia ketawa (kerana hilang perasaan takutnya). Maka Kami pun memberikan berita yang mengembirakan kepadanya (melalui malaikat itu), bahawa ia akan mendapat seorang anak: Ishak, dan sesudah Ishaq, (ia pula akan mendapat seorang cucu): Ya‘qub.”

(Surah Hud: 71)

Setelah itu, Nabi Ibrahim A.S menetap di Palestin untuk waktu tertentu dan kemudian datang lagi ke Makkah untuk suatu urusan besar. Allah memerintahkan Nabi Ibrahim A.S untuk membangunkan rumah pertama yang didirikan untuk beribadah kepada Allah SWT di Makkah. Nabi Ibrahim memulakan pembinaan, dan Nabi Isma‘il menyerahkan batu-batu (pembinaan) kepada Nabi Ibrahim. Ketika pembangunan itu selesai, Nabi Ibrahim berdiri di atas suatu batu, yang sekarang dikenali sebagai Maqam Ibrahim di sekitar Kaabah. Allah SWT berfirman:

وَإِذْ يَرْفَعُ إِبْرَٰهِـۧمُ ٱلْقَوَاعِدَ مِنَ ٱلْبَيْتِ وَإِسْمَـٰعِيلُ رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّآ ۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْعَلِيمُ

Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Isma‘il meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: ‘Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.’

(Surah al-Baqarah: 127)

Kemudian, Allah SWT memerintahkan Nabi Ibrahim dan Isma‘il A.S untuk membersihkan Baitullah daripada berhala-berhala dan najis-najis agar menjadi suci bagi orang yang tawaf, melakukan ibadah, rukuk, dan sujud. Setelah Nabi Ibrahim A.S selesai membina Baitullah, Allah SWT memerintahkan mereka untuk mengumumkan kepada manusia bagi mengerjakan haji dengan firman-Nya:

وَأَذِّن فِى ٱلنَّاسِ بِٱلْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًۭا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍۢ يَأْتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍۢ

Maksudnya: “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.”

(Surah al-Hajj: 27)

Kemudian, Nabi Ibrahim A.S berdoa dengan doa-doa agung untuk Makkah dan penduduknya sebagaimana firman Allah SWT:

وَإِذْ قَالَ إِبْرَٰهِـۧمُ رَبِّ ٱجْعَلْ هَـٰذَا بَلَدًا ءَامِنًۭا وَٱرْزُقْ أَهْلَهُۥ مِنَ ٱلثَّمَرَٰتِ مَنْ ءَامَنَ مِنْهُم بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ ۖ قَالَ وَمَن كَفَرَ فَأُمَتِّعُهُۥ قَلِيلًۭا ثُمَّ أَضْطَرُّهُۥٓ إِلَىٰ عَذَابِ ٱلنَّارِ ۖ وَبِئْسَ ٱلْمَصِيرُ

Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: ‘Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Makkah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka.’ Allah berfirman:  ‘(Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga ia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali.’

(Surah al-Baqarah: 126)

Nabi Ibrahim A.S juga berdoa untuk dirinya dan keturunannya:

رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّآ ۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْعَلِيمُ ١٢٧ رَبَّنَا وَٱجْعَلْنَا مُسْلِمَيْنِ لَكَ وَمِن ذُرِّيَّتِنَآ أُمَّةًۭ مُّسْلِمَةًۭ لَّكَ وَأَرِنَا مَنَاسِكَنَا وَتُبْ عَلَيْنَآ ۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلتَّوَّابُ ٱلرَّحِيمُ

Maksudnya: “Keduanya berdoa dengan berkata: ‘Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui (127); Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu, dan jadikanlah daripada keturunan kami: umat Islam (yang berserah diri) kepadamu, dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”

(Surah al-Baqarah: 127-128)

Nabi Ibrahim A.S juga berdoa buat penduduk Makkah, agar Allah SWT mengutus seorang rasul daripada kalangan mereka yang menyeru mereka kepada mentauhidkan Allah SWT. Baginda berdoa sebagaimana dirakamkan menerusi ayat:

رَبَّنَا وَٱبْعَثْ فِيهِمْ رَسُولًۭا مِّنْهُمْ يَتْلُوا۟ عَلَيْهِمْ ءَايَـٰتِكَ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلْكِتَـٰبَ وَٱلْحِكْمَةَ وَيُزَكِّيهِمْ ۚ إِنَّكَ أَنتَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firman-Mu) dan mengajarkan mereka isi kandungan Kitab (al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (dari syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

(Surah al-Baqarah: 129)

Allah SWT mengabulkan doa Nabi Ibrahim A.S dengan menjadikan Makkah sebagai kota yang aman dan memberikan rezeki berupa buah-buahan kepada penduduknya. Allah SWT juga mengutus seorang rasul daripada kalangan mereka, iaitu Nabi Muhammad SAW sebagai penutup para nabi dan rasul.

Tambahan lagi, kenabian dan risalah terus berlanjutan dalam kalangan Bani Isra’il untuk waktu yang lama hingga Allah SWT mengutus Nabi Muhammad SAW sebagai rasul bagi seluruh umat manusia sebagaimana firman-Nya:

قُلْ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنِّى رَسُولُ ٱللَّهِ إِلَيْكُمْ جَمِيعًا

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya aku adalah Pesuruh Allah kepada kamu semuanya.’

(Surah al-A‘raf: 158)

Allah SWT juga memerintahkan Nabi Muhammad SAW untuk mengikuti agama Nabi Ibrahim A.S sebagaimana firman-Nya:

ثُمَّ أَوْحَيْنَآ إِلَيْكَ أَنِ ٱتَّبِعْ مِلَّةَ إِبْرَٰهِيمَ حَنِيفًۭا ۖ وَمَا كَانَ مِنَ ٱلْمُشْرِكِينَ

Maksudnya: “Kemudian Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad): Hendaklah engkau menurut agama Nabi Ibrahim, yang berdiri teguh di atas jalan yang benar; dan tiadalah ia dari orang-orang musyrik.”

(Surah al-Nahl: 123)

Nabi Ibrahim A.S menasihati anak-anaknya agar tetap berpegang pada agama Islam dan mengamalkannya hingga akhir hayat. Allah SWT berfirman:

وَوَصَّىٰ بِهَآ إِبْرَٰهِـۧمُ بَنِيهِ وَيَعْقُوبُ يَـٰبَنِىَّ إِنَّ ٱللَّهَ ٱصْطَفَىٰ لَكُمُ ٱلدِّينَ فَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ

Maksudnya: “Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan agama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Ya‘qub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: ‘Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih ugama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam.’

(Surah al-Baqarah: 132)

Di antara para nabi A.S pada zaman Nabi Ibrahim A.S ialah Nabi Lut, Nabi Isma‘i, Nabi Ishaq, Nabi Ya‘qub, kemudian Nabi Yusuf, kemudian Nabi Syu‘aib, kemudian Nabi Ayyub, kemudian Nabi Zulkifli, kemudian Allah SWT mengutuskan Nabi Musa dan Nabi Harun A.S, bersama dengan seluruh nabi yang lain.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

أَصْبَحْنَا عَلَى فِطْرَةِ الْإِسْلَامِ وَعَلَى كَلِمَةِ الْإِخْلَاصِ ، وَعَلَى دِينِ نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وَعَلَى مِلَّةِ أَبِينَا إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا مُسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

Maksudnya: “Kami hayati pagi ini di atas landasan fitrah dan perwatakan Islam, berpegang kepada kalimah ikhlas (kalimah syahadah), dan berpegang kepada agama Nabi kami Muhammad SAW yang juga agama ayah kami Ibrahim, yang berada di atas jalan yang lurus, muslim dan tidak tergolong dari kalangan orang-orang musyrik.”