#4967: Syarat Pakaian Wanita

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah panduan bagi pakaian wanita menurut pandangan syara’ ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Menutup aurat bagi seorang Muslimah di hadapan golongan yang bukan mahramnya adalah satu kewajipan yang tidak perlu dipertikaikan lagi. Ini adalah berdasarkan firman-Nya:

يَاأَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلَابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَنْ يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا

Maksudnya: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(Surah al-Ahzab: 59)

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa wajibnya menutup aurat dari pandangan manusia adalah ijma’. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/119)

Dalil wajibnya menurut aurat daripada pandangan yang bukan mahram juga dapat difahami daripada firman Allah SWT:

قُل لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ذَلِكَ أَزْكَى لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ وَقُل لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلاَ يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلاَّ مَا ظَهَرَ مِنْهَا

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya…”

(Surah al-Nur: 30-31)

Syeikh al-Sa’di menafsirkan ‘kecuali yang zahir daripadanya’ pada ayat di atas sebagai pakaian yang zahir, iaitu yang biasa dipakai menurut adat setempat dengan syarat pakaian tersebut tidak membawa kepada timbulnya fitnah. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 566)

Begitu juga sabda Nabi SAW:

يَا أَسْمَاءُ، إِنَّ الْمَرْأَةَ إِذَا بَلَغَتِ الْمَحِيضَ لَمْ تَصْلُحْ أَنْ يُرَى مِنْهَا إِلَّا هَذَا وَهَذَا. وَأَشَار إِلَى وَجْهِهِ وَكَفَّيْهِ

Maksudnya: Wahai Asma’! Sesungguhnya seseorang wanita apabila telah didatangi haid tidak elok dia membiarkan dirinya dilihat melainkan ini dan ini. Lalu Rasulullah SAW menunjukkan ke wajahnya dan tapak tangannya.

Riwayat Abu Dawud (4104). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut dalam Takhrij Sunan Abi Dawud menyatakan hadith ini bertaraf Hasan li Ghairih.

Imam al-Nawawi berkata: Aurat wanita Muslimah juga disepakati oleh ulama Syafi’iyah adalah seluruh badan kecuali wajah dan kedua telapak tangan. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/122; Minhaj al-Talibin, 1/188).

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan adalah menjadi satu kewajipan bagi seorang muslimah untuk menjaga aurat kerana ia merupakan kewajipan dan ketetapan syara’ yang telah ditetapkan dalam al-Quran dan al-Hadith. Oleh yang demikian, hendaklah bagi setiap wanita memilih pakaian yang selari dengan kehendak syara’ agar aurat sentiasa terjaga. Antara syarat-syarat yang ditetapkan oleh syara’ adalah sepertimana berikut:

  • Pakaian seharusnya menutupi seluruh tubuh kecuali muka dan telapak   Ulama  mengharuskannya sekiranya selamat daripada fitnah.
  • Pakaian hendaklah longgar dan tidak ketat. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 نِساءٌ كاسِياتٌ عارِياتٌ مائِلاتٌ مُميلاتٌ، لا يَدخُلْنَ الجنَّةَ وَلا يَجِدْنَ ريحَها، وريحُها تُوجَدُ مِن مَسيرةِ خَمسمائةِ عامٍ

Maksudnya: Wanita-wanita yang berpakaian tapi telanjang, dan berjalan melenggang lenggok tidak akan masuk syurga ataupu mencium baunya, padahah bau syurga tercium dari jarak perjalaanan lima ratus tahun

Riwayat Muslim(2128)

Oleh itu, apabila seorang wanita keluar dari rumahnya, sepatutnya dia memakai pakaian longgar yang mencegah terjadinya fitnah. Pakaian yang ketat tidak sesuai bagi seorang Muslimah kerana ia menonjolkan kecantikanya dan menampakkan auratnya, seperti memakai seluar dan kemeja.

  • Pakaian seharusnya tidak menjadi perhiasan pada dirinya sendiri, dengan tidak bersifat mencolok atau memiliki warna-warna yang menarik perhatian orang lain, seperti pakaian yang mempunyai banyak warna-warna yang mencolok mata. (Lihat Aham Qadaya al-Mara’ah al-Muslimah,48)
  • Pakaian wanita tidak boleh menyerupai pakaian lelaki. Setiap pakaian yang secara khusus diperuntukkan untuk lelaki, dan dikenali sebagai pakaian lelaki, tidak dibenarkan bagi wanita untuk memakainya. Larangan ini boleh dilihat melalui sebuah hadith yang diriwayatakan daripada  Dari Ibn ‘Abbas R.Anhuma dalam sabda Baginda SAW:

لَعَنَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم الْمُخَنَّثِينَ مِنَ الرِّجَالِ، وَالْمُتَرَجِّلاَتِ مِنَ النِّسَاءِ

Maksudnya: “Nabi SAW telah melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan orang-orang perempuan yang menyerupai lelaki.”

Riwayat al-Bukhari (5886), Abu Dawud (4953) dan al-Tirmizi (2785)

Ibn al-Athir berkata: Al-Mutarajjilat ialah perempuan yang menyerupai lelaki dari segi pakaian dan keadaannya. Al-Mukhannath pula ialah lelaki yang menyerupai perempuan. (Lihat al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Athar, 2/203)

  • Hendaklah tidak memkai wangi-wangian pada pakaian sehingga boleh membawa kepada fitnah. Tidak sopan bagi seorang Muslimah untuk melakukan apa yang dilakukan oleh kebanyakan wanita yang mengharumkan pakaian mereka dengan minyak wangi, lalu keluar ke pasar dengan pakaian yang mempamerkannya dengan panjang dan lebar. (Lihat Nizam al-Usrah fi al-Islam, 2/58 )

Diriwayatkan daripada Abu Musa al-’Asyari bahawa rasulullah SAW bersabda:

أيُّما امرأةٍ استعطَرَتْ، ثُمَّ مَرَّتْ على القَومِ ليَجِدوا ريحَها فهي زانيةٌ

Maksudnya: Mana-mana wanita yang memakain wangian kemudian melewati suatu kaum agar mereka mencium bau wangianyya, maka dia adalah wanita penzina

Riwayat Tirmizi(2786) dan al-Nasi’i (5126)

Justeru kami katakan seorang wanita Muslim perlu mematuhi pakaian syar’i dengan ciri-ciri yang telah disebutkan sebelum ini. Dengan berbuat demikian, dia mewujudkan simbol kebudayaan dan peradaban islam serta menjaga kehormatannya sebagai muslimah. Dengan meninggalkannya, dia telah mengingkari perintah Allah yang mewajibkannya untuk menutup aurat secara sempurna agar tidak menimbulkan fitnah terhadap orang lain.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Wallahua’lam