#4970: Nabi Ibrahim Mengharamkan Makkah dan Nabi Muhammad SAW Mengharamkan Madinah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Benarkah Nabi Ibrahim A.S mengharamkan Makkah dan Nabi Muhammad SAW pula mengharamkan Madinah? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّمَآ أُمِرْتُ أَنْ أَعْبُدَ رَبَّ هَـٰذِهِ ٱلْبَلْدَةِ ٱلَّذِى حَرَّمَهَا وَلَهُۥ كُلُّ شَىْءٍۢ ۖ وَأُمِرْتُ أَنْ أَكُونَ مِنَ ٱلْمُسْلِمِينَ

Maksudnya: “(Katakanlah wahai Muhammad): ‘Aku hanyalah diperintahkan supaya menyembah Allah Tuhan negeri (Makkah) ini yang telah menjadikannya suci lagi dihormati dan yang menguasai segala-galanya; dan aku diperintahkan supaya tetap menjadi dari orang-orang Islam (yang menyerah diri bulat-bulat kepada-Nya).’

(Surah al-Naml: 91)

Sebahagian ahli tafsir menyebutkan, lafaz “حَرَّمَهَا” dalam ayat di atas bermaksud Allah SWT menjadikannya sebagai tanah haram dan aman daripada pertumpahan darah, tidak ada seorangpun yang dizalimi, dan haiwan liarnya tidak boleh diburu. (Lihat Zubdah al-Tafsir min Fath al-Qadir, hlm. 505)

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa benar, Nabi Ibrahim A.S telah berdoa kepada Allah SWT untuk menjadikan Makkah sebagai tanah haram dan begitu juga Nabi Muhammad SAW turut berdoa kepada Allah SWT untuk menjadikan Madinah sebagai tanah haram.

Ini jelas sebagaimana riwayat daripada daripada Anas bin Malik R.A, bahawasanya Rasulullah SAW telah terzahir kepada Baginda bukit Uhud, lalu Baginda bersabda:

هَذَا جَبَلٌ يُحِبُّنَا وَنُحِبُّهُ، اللَّهُمَّ إِنَّ إِبْرَاهِيمَ حَرَّمَ مَكَّةَ، وَإِنِّي أُحَرِّمُ مَا بَيْنَ لاَبَتَيْهَا

Maksudnya: “Ini ialah bukit yang mencintai kita dan kita pun mencintainya. Ya Allah, sesungguhnya Ibrahim telah mengharamkan Makkah, dan sesungguhnya aku mengharamkan apa yang ada di antara dua batu hitam (Madinah).

Riwayat al-Bukhari (3367)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نسْأَلُكَ الْهُدَى ، وَالتُّقَى ، وَالْعَفَافَ ، وَالْغِنَى

Maksudnya: “Wahai Allah! Sesungguhnya kami memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, sifat iffah dan kekayaan.”