#4971: Fadhilat Membaca Ayat Kursi Selepas Solat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah fadhilat membaca ayat kursi selepas solat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

‏ اللَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ ۚ لَا تَأْخُذُهُ سِنَةٌ وَلَا نَوْمٌ ۚ لَّهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ ۗ مَن ذَا الَّذِي يَشْفَعُ عِندَهُ إِلَّا بِإِذْنِهِ ۚ يَعْلَمُ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ ۖ وَلَا يُحِيطُونَ بِشَيْءٍ مِّنْ عِلْمِهِ إِلَّا بِمَا شَاءَ ۚ وَسِعَ كُرْسِيُّهُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ ۖ وَلَا يَئُودُهُ حِفْظُهُمَا ۚ وَهُوَ الْعَلِيُّ الْعَظِيمُ ‎

Maksudnya: “Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhluk-Nya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisi-Nya melainkan dengan izin-Nya. Yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmu-Nya dan kekuasaan-Nya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia-lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaan-Nya), lagi Maha Besar (kekuasaan-Nya).”

(Surah al-Baqarah: 255)

Ibn Kathir berkata: Ayat ini dinamakan dengan Ayat al-Kursi. Ia memiliki kedudukan yang agung. Dalam hadith yang sahih, Rasulullah SAW pernah menyebut bahawa ayat al-Kursi merupakan ayat yang paling agung dan utama. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 1/465)

Syeikh al-Sa’di berkata: Ayat ini merupakan ayat yang paling agung dalam al-Quran kerana ayat ini meliputi makna tauhid, kebesaran, dan luasnya sifat Allah, dan Allah mengkhabarkan bahawasanya tidak ada yang berhak memiliki sifat ketuhanan dan peribadahan kecuali hanya Dia. Ayat ini meliputi semua makna yang merupakan makna yang paling mulia yang menyebabkan berhak menjadi ayat yang paling agung di dalam al-Quran, dan orang-orang yang membacanya dengan melakukan renungan dan pemahaman, maka dia berhak akan hatinya dipenuhi dengan keyakinan, pengetahuan dan keimanan, serta dia akan terjaga dengan hal itu daripada kejahatan syaitan. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 110)

Syeikh Abu Bakar Jabir al-Jaza’iri berkata: Ini merupakan ayat yang paling mulia dalam Kitabullah. Mengandungi lapan belas nama Allah sama ada yang jelas mahupun yang tersirat. Jumlah perkataan dalam ayat ini adalah lima puluh dan jumlah kalimatnya ada sepuluh, dan semuanya membicarakan tentang rububiyyah Allah SWT, uluhiyyah-Nya, nama-nama dan sifat-sifat-Nya yang menunjukkan tentang kemuliaan Zat-Nya, ilmu-Nya dan kekuasaan-Nya, serta besarnya kekuasaan Allah. Dianjurkan (sunat) untuk membacanya setelah selesai solat wajib, ketika akan tidur dan di dalam rumah untuk mengusir syaitan. (Lihat Aisar al-Tafasir, 1/243)

Dalam menjawab persoalan di atas, diriwayatkan daripada Abu Umamah al-Bahili R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَرَأَ آيَةَ الْكُرْسِيِّ دُبُرَ كُلِّ صَلَاةٍ مَكْتُوبَةٍ لَمْ يَمْنَعْهُ مِنْ دُخُولِ الْجَنَّةِ، إِلَّا الْمَوْتُ

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca ayat al-Kursi setiap kali selepas solat Fardhu, tidak akan terhalang baginya untuk memasuki syurga melainkan mati.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (7532); al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (9848) dan Ibn al-Sunni dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah (124). Hadith ini dinilai sahih oleh Imam Ibn Hibban.

Imam al-San’ani menyebut: “Kelebihan ayat al-Kursi ini adalah disebabkan padanya terhimpun segala usul nama-nama dan sifat-sifat Allah seperti Wahdaniyyah (Maha Esa), al-Hayah (Maha Hidup), al-Qayyumiyyah (Maha Kekal), al-’Ilm (Maha Mengetahui), al-Mulk (Maha Menguasai), al-Qudrah (Maha Berkuasa) dan juga al-Iradah (Maha Berkehendak).” (Lihat Subul al-Salam, 1/297)

Syeikh Abdullah al-Bassam berkata: Kelebihan ayat yang agung ini; kerana mengandungi nama-nama yang baik, sifat-sifat yang tinggi, tauhid, kehidupan yang sempurna, kekekalan yang kekal, ilmu yang luas, kerajaan yang meliputi segala, kekuatan yang besar, kekuasaan yang teguh, dan kehendak yang berkuasa.

Imam Ahmad (20771) dan Muslim (810) meriwayatkan: “Bahawa Nabi SAW bertanya kepada Ubay bin Ka’b: Ayat manakah dalam Kitab Allah yang paling besar?” Dia menjawab: “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Nabi mengulanginya berulang kali. Ubay berkata: “Ayat Al-Kursi.” Nabi bersabda: “Ilmu kamu benar, wahai Abu Al-Munzir!” (Lihat Taudhih al-Ahkam, 2/314)

Justeru, benarlah bahawa antara kelebihan membaca ayat al-Kursi adalah tidak akan ada halangan untuk memasuki syurga kecuali mati sebagaimana yang disebut dalam hadith ini.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

نَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ

Maksudnya: “Kami berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna daripada segala keburukan yang Dia ciptakan.”