Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Berapakah syarat-syarat sah solat? Mohon pencerahan Dato’.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلَاةِ الْوُسْطَىٰ وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ
Maksudnya: “Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.”
(Surah al-Baqarah: 238)
Merujuk kepada dalil di atas, al-Qurtubi mentafsirkan maksud perkataan “peliharalah” ialah merujuk kepada suruhan Allah SWT ke atas hambanya supaya memelihara serta menjaga solatnya dengan mengerjakan solat tersebut dalam waktunya dan memenuhi syarat-syaratnya. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 3/212)
Syarat-syarat sah solat memberi maksud sesuatu yang perlu ada sebelum solat dan berkekalan semasa dalam solat sehingga selesai solat. Itulah secara umum maksudnya.
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan terdapat lapan syarat sah solat:
- Bersih daripada kedua hadas.
- Bersih daripada najis pakaian, badan dan tempat solat.
- Menutup aurat.
- Menghadap kiblat.
- Masuk waktu solat.
- Mengetahui kefarduannya.
- Tidak menyakini yang fardhu di dalam kefardhuan solat adalah sunat.
- Menjauhi perkara yang membatalkan solat seperti berkata-kata dengan sengaja,terbuka aurat walaupun sedikit, makan dan minum, berhadas sebelum salam pertama dan sebagainya. (Lihat Safinah al-Naja, hlm 30)
Semoga Allah membantu anda dalam lebih memahami syariat Allah SWT dan moga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
(Surah Ibrahim: 40)
Wallahua`lam.