Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah seseorang walaupun mempunyai iman sebesar zarrah dapat keluar dari neraka?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Firman Allah SWT:
آمَنَ الرَّسُولُ بِمَا أُنزِلَ إِلَيْهِ مِن رَّبِّهِ وَالْمُؤْمِنُونَ ۚ كُلٌّ آمَنَ بِاللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ لَا نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍ مِّن رُّسُلِهِ ۚ وَقَالُوا سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا ۖ غُفْرَانَكَ رَبَّنَا وَإِلَيْكَ الْمَصِيرُ
Maksudnya: Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikat-Nya, dan Kitab-kitab-Nya, dan Rasul-rasul-Nya. (Mereka berkata): “Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain Rasul-rasulnya”. Mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat (kami pohonkan) keampunan-Mu wahai Tuhan kami, dan kepada-Mu jualah tempat kembali”.
(Surah al-Baqarah: 285)
Kami mulakan terlebih dahulu takrif dan definisi iman.
Iman pada bahasa ialah al-tasdiq (membenarkan). Menurut Ibn Manzur, pengertian ini (al-tasdiq) telah disepakati oleh majoriti ilmuan Islam, seperti al-Asfahani, al-Qadhi Iyadh dan al-Tabari juga bersependapat bahawa makna iman dari sudut bahasa ialah membenarkan. Hal ini juga seperti yang disebutkan oleh Ibn Kathir bahawa iman pada bahasa ialah membenarkan atau semata-mata membenarkan. (Lihat Lisan al-’Arab, 3/141; Mufradat Alfaz al-Quran, hlm. 91)
Imam Ahmad berkata: “Iman adalah perkataan dan amalan, boleh bertambah dan berkurang. (Lihat al-Sunnah, 1/207) Imam al-Bukhari dalam awal kitab sahihnya menyebut bahawa: “Iman itu perkataan dan perbuatan, boleh bertambah dan boleh berkurang.” Kemudian beliau berkata lagi: “Cinta kerana Allah dan benci kerana Allah adalah sebahagian daripada iman.” (Lihat Sahih al-Bukhari, dalam kitab al-Iman).
Ibn ‘Abd al-Bar dalam kitabnya al-Tamhid berkata: “Iman menurut ulama’ Ahlus Sunnah di mana mereka adalah Ahlul Athar daripada ulama fiqh dan hadith, – mereka telah bersepakat, iman itu perkataan dan perbuatan dan tidak ada amalan kecuali dengan niat. Iman menurut Ahlus Sunnah bertambah dengan ketaatan dan berkurang kerana maksiat. Segala ketaatan termasuk bahagian daripada iman.” (Lihat al-Tamhid, 9/238)
Ibn Kathir berkata: Iman menurut pengertian Syar’i tidak wujud kecuali dengan adanya keyakinan (i’tiqad), perkataan dan perbuatan. Demikian definisi yang disampaikan oleh kebanyakan ulama. Bahkan Imam al-Syafi’i dan Imam Ahmad bin Hanbal serta Abu ‘Ubaid, serta ulama yang lain juga bersepakat bahawa iman adalah perkataan dan perbuatan, boleh bertambah dan berkurang.” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim pada tafsiran surah al-Baqarah, ayat 2).
Syeikh Abd al-Rahman Habannakah menyatakan bahawa iman adalah membenarkan dengan hati atas setiap apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. (Lihat al-Aqidah al-Islamiyyah wa Ususuha, hlm. 80)
Justeru, iman menurut Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah adalah ikrar dalam hati, diucapkan dengan lisan dan diamalkan dengan anggota badan.
Menjawab persoalan di atas, kami katakan, ya. Hal ini berdasarkan hadith Abu Sa’id al-Khudri R.A, daripada Nabi SAW, sabda Baginda:
يَدْخُلُ أَهْلُ الجَنَّةِ الجَنَّةَ، وَأَهْلُ النَّارِ النَّارَ، ثُمَّ يَقُولُ اللهُ تَعَالَى: أَخْرِجُوا مِنَ النَّارِ مَنْ كَانَ فِي قَـلْبِهِ مِثْقَالُ حَبَّةٍ مِنْ خَرْدَلٍ مِنْ إِيمَانٍ. فَـــيُخْرَجُونَ مِنْهَا قَدِ اسْوَدُّوا، فَـيُلْقَوْنَ فِي نَـهَرِ الحَيَا، أَوِ الحَيَاةِ – شَكَّ مَالِكٌ – فَـيَنْبُتُونَ كَمَا تَــــــنْـبُتُ الحِبَّةُ فِي جَانِبِ السَّيْلِ، أَلَمْ تَـرَ أَنَّـهَا تَخْرُجُ صَفْرَاءَ مُلْتَوِيَةً».
Maksudnya: “Ahli syurga akan masuk ke dalam syurga dan ahli neraka akan masuk ke dalam neraka.” Kemudian Allah SWT berfirman: “Keluarkan dari neraka sesiapa yang ada di dalam hatinya iman walaupun hanya sebesar biji sawi.” Maka mereka dikeluarkan dari neraka dalam keadaan hitam legam lalu dicampakkan ke dalam sungai daripada titisan hujan atau sungai kehidupan – Malik ragu (tidak pasti yang mana satu daripada dua perkataan tadi telah disebutkan oleh perawi) – Lalu mereka tumbuh seperti tumbuhnya biji benih di pinggir tebing selepas surutnya banjir. Tidakkah engkau melihat bagaimana biji-biji benih itu keluar dalam keadaan warna kekuningan dan subur?”
Riwayat al-Bukhari (22)
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat daripada sisi-Mu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya.”