Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah tertib kemampuan dalam solat?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pada dasarnya, solat menjadi suatu kewajipan ke atas semua umat Islam, termasuk juga ke atas mereka yang tidak sihat ataupun mengalami kekurangan upaya dari segi fizikal. Namun, Islam adalah agama yang sejahtera dan mudah, maka diberikan rukhsah (keringanan) ke atas mereka yang sakit, atau kekurangan upaya fizikal atau tidak mampu bagi menunaikan solat berdasarkan nas-nas al-Quran dan juga hadith-hadith Nabi S.A.W.
Begitu juga Syarak tidak menurunkan syariat melainkan mengikut kadar kemampuan manusia dan manusia dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan ibadat sesuai dengan kemampuan dirinya. Allah SWT berfirman:
فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ
Maksudnya: Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.
(Surah al-Taghabun: 16)
Ayat ini merupakan ayat nasakh bagi ayat ke-102 surah Ali ‘Imran yang dahulunya syadid dalam melakukan ibadah dan juga taat kepada perintah Allah, maka ayat ini diturunkan sebagai keringanan kepada umat Islam supaya beribadah kepadaNya sesuai dengan kemampuan mereka. [Lihat: Tafsir al-Baghawi; 8/144]. Imam al-Mawardi di dalam tafsirnya, mengatakan bahawa pada ayat ini terdapat tiga sudut makna dan salah satunya ialah kesungguhan kamu (menurut Abu al-‘Aliah). (Lihat Tafsir al-Mawardi, 6/26)
Maka, difahami di sini bahawa sekadar kemampuan kamu mestilah diikuti dengan perbuatan usaha ke atasnya.
Menjawab persoalan di atas, begitu banyak contoh dari hadith Nabi S.A.W dalam perihal solat ini ke atas mereka yang tidak mampu. Contohnya ialah sabda Nabi Muhammad S.A.W yang diriwayatkan daripada Imran bin Husain RA katanya, aku menghidap penyakit buasir lalu aku bertanya kepada Rasulullah SAW tentang solat. Baginda bersabda:
صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ
Maksudnya: “Bersolatlah secara berdiri, jika tidak mampu lakukanlah secara duduk dan jika tidak mampu juga lakukanlah secara mengiring.”
Riwayat al-Bukhari (1117)
Syeikh Abdullah al-Bassam berkata: Hadith menunjukkan tahap-tahap solat bagi orang yang sakit yang ditetapkan. Oleh itu, jika dia mampu, dia wajib berdiri kerana itu merupakan salah satu rukun solat yang ditetapkan, walaupun dia bergantung pada tongkat, dinding, atau seumpamanya.
Jika dia tidak dapat berdiri atau sukar untuk berdiri, dia wajib duduk, walaupun dengan bersandar, dan melakukan rukuk serta sujud jika mampu. Jika dia tidak mampu duduk atau sukar untuk duduk, dia solat dalam keadaan berbaring, dengan sisi kanan lebih disukai. Jika dia solat terlentang menghadap kiblat, solat itu sah. Jika dia tidak mampu, dia boleh mengisyaratkan dengan kepala, dan isyarat untuk sujud perlu lebih rendah daripada isyarat untuk rukuk, untuk membezakan di antara kedua-dua rukun tersebut dan kerana sujud lebih rendah daripada rukuk.
Seseorang tidak boleh berpindah dari satu keadaan kepada keadaan yang lebih ringan kecuali jika dia tidak mampu atau menghadapi kesulitan untuk berada dalam keadaan pertama atau untuk melaksanakannya, kerana perubahan dari satu keadaan kepada yang lain terikat dengan ketidakupayaan.
Had kesusahan atau masyaqqah yang membolehkan solat fardhu dijalankan dalam keadaan duduk adalah had yang tidak menghilangkan rasa khusyuk, kerana khusyuk merupakan tujuan utama solat, seperti yang ditegaskan oleh Imam al-Haramain al-Juwayni.
Banyak lagi keuzuran yang membolehkan solat wajib dilakukan dalam keadaan duduk, dan ini tidak terhad kepada sakit sahaja. Ruang yang terhad yang seseorang tidak dapat keluar daripadanya seperti solat di dalam kapal, kapal terbang, kereta, atau pesawat yang diperlukan, serta ketidakupayaan untuk berdiri, semuanya adalah alasan yang membolehkan solat dalam keadaan duduk. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 2/323)
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”
Surah Ibrahim (40-41)