#4987: Bilangan Budak atau Bayi Bercakap Pada Waktu Dia Belum Boleh Bercakap

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Berapa orangkah budak atau bayi yang  bercakap pada waktu dia tidak boleh bercakap sebagaimana yang diceritakan oleh Nabi SAW? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT yang merakamkan kisah Nabi Isa A.S yang bercakap ketika Baginda lagi bayi:

فَأَتَتْ بِهِۦ قَوْمَهَا تَحْمِلُهُۥ ۖ قَالُوا۟ يَـٰمَرْيَمُ لَقَدْ جِئْتِ شَيْـًۭٔا فَرِيًّۭا ٢٧ يَـٰٓأُخْتَ هَـٰرُونَ مَا كَانَ أَبُوكِ ٱمْرَأَ سَوْءٍۢ وَمَا كَانَتْ أُمُّكِ بَغِيًّۭا ٢٨ فَأَشَارَتْ إِلَيْهِ ۖ قَالُوا۟ كَيْفَ نُكَلِّمُ مَن كَانَ فِى ٱلْمَهْدِ صَبِيًّۭا ٢٩ قَالَ إِنِّى عَبْدُ ٱللَّهِ ءَاتَىٰنِىَ ٱلْكِتَـٰبَ وَجَعَلَنِى نَبِيًّۭا

Maksudnya: “Kemudian baliklah ia kepada kaumnya dengan mendokong anaknya mereka pun menempelaknya dengan berkata: ‘Wahai Maryam! Sesungguhnya engkau telah melakukan suatu perkara yang besar salahnya! Wahai saudara perempuan Harun, bapamu bukanlah seorang yang buruk akhlaknya, dan ibumu pula bukanlah seorang perempuan jahat!’ Maka Maryam segera menunjuk kepada anaknya. Mereka berkata (dengan hairannya): ‘Bagaimana kami boleh berkata-kata dengan seorang yang masih kanak-kanak dalam buaian?’ DIa menjawab: ‘Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Dia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil), dan Dia telah menjadikan daku seorang Nabi.’

(Surah Maryam: 27-30)

Dalam menjawab persoalan ini, kami katakan bahawa jumlah atau bilangan budak atau bayi yang dapat bercakap pada ketika mereka masih belum lagi boleh bercakap menurut kebiasaannya adalah seramai tiga orang. Mereka ialah Nabi Isa A.S, anak kecil dalam kisah Juraij, dan anak seorang wanita dalam kalangan bani Isra’il yang sedang menyusu. Selain daripada itu, kisah atau perkara ganjil (luar adat kebiasaan) seperti ini hanya terhenti kepada mereka sahaja.

Ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Abu Hurairah R.A, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

لَمْ يَتَكَلَّمْ فِي المـَهْدِ إِلَّا ثَلاَثَةٌ: عِيسَى، وَكَانَ فِي بَنِي إِسْرَائِيلَ رَجُلٌ – يُقَالُ لَهُ: جُرَيْجٌ – يُصَلِّي، جَاءَتْهُ أُمُّهُ فَدَعَتْهُ، فَقَالَ: أُجِيبُهَا أَوْ أُصَلِّي؟ فَقَالَتِ: اللَّهُمَّ لاَ تُمِتْهُ حَتَّى تُرِيَهُ وُجُوهَ المـُومِسَاتِ. وَكَانَ جُرَيْجٌ فِي صَوْمَعَتِهِ، فَتَعَرَّضَتْ لَهُ امْرَأَةٌ فَكَلَّمَتْهُ فَأَبَى، فَأَتَتْ رَاعِيًا فَأَمْكَنَتْهُ مِنْ نَفْسِهَا فَوَلَدَتْ غُلاَمًا، فَقِيلَ لَهَا: مِمَّنْ؟ فَقَالَتْ: مِنْ جُرَيْجٍ. فَأَتَوْهُ فَكَسَرُوا صَوْمَعَتَهُ وَأَنْزَلُوهُ وَسَبُّوهُ، فَتَوَضَّأَ وَصَلَّى، ثُمَّ أَتَى الغُلاَمَ، فَقَالَ: مَنْ أَبُوكَ يَا غُلاَمُ؟ قَالَ: الرَّاعِي، قَالُوا: نَبْنِي صَوْمَعَتَكَ مِنْ ذَهَبٍ؟ قَالَ: لاَ، إِلَّا مِنْ طِينٍ. وَكَانَتِ امْرَأَةٌ تُرْضِعُ ابْنًا لَهَا مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ، فَمَرَّ بِهَا رَجُلٌ رَاكِبٌ ذُو شَارَةٍ فَقَالَتِ: اللَّهُمَّ اجْعَلِ ابْنِي مِثْلَهُ، فَتَرَكَ ثَدْيَهَا فَأَقْبَلَ عَلَى الرَّاكِبِ، فَقَالَ: اللَّهُمَّ لاَ تَجْعَلْنِي مِثْلَهُ، ثُمَّ أَقْبَلَ عَلَى ثَدْيِهَا يَمَصُّهُ – قَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ: كَأَنِّي أَنْظُرُ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَمَصُّ إِصْبَعَهُ – ثُمَّ مُرَّ بِأَمَةٍ فَقَالَتِ: اللَّهُمَّ لاَ تَجْعَلِ ابْنِي مِثْلَ هَذِهِ، فَتَرَكَ ثَدْيَهَا، فَقَالَ: اللَّهُمَّ اجْعَلْنِي مِثْلَهَا. فَقَالَتْ: لِمَ ذَلِكَ؟ فَقَالَ: الرَّاكِبُ جَبَّارٌ مِنَ الجَبَابِرَةِ، وَهَذِهِ الأَمَةُ يَقُولُونَ: سَرَقْتِ، زَنَيْتِ، وَلَمْ تَفْعَلْ

Maksudnya: “Tidak ada manusia yang berkata-kata ketika masih dalam buaian kecuali tiga orang: (Pertama,) Isa; (Kedua,) ada dalam kalangan bani Isra’il seorang lelaki yang disebut sebagai Juraij, dia sedang mengerjakan solat, lalu ibunya datang dan memanggilnya. Dia berkata: “(Perlukah) aku menyahutnya atau aku meneruskan solat?” Si ibu berkata: “Ya Allah, janganlah engkau mematikannya sehingga engkau memperlihatkan kepadanya wajah-wajah pelacur wanita.” Suatu hari ketika Juraij berada di tempat ibadahnya,  tiba-tiba datang seorang wanita kepadanya dan menggodanya, namun Juraij menolak. Maka wanita itu datang kepada seorang penggembala dan menyerahkan dirinya kepadanya, lalu akhirnya dia melahirkan seorang anak. Ditanyakan kepadanya: Daripada siapakah anak ini ? Lalu dia berkata: (Anak ini) adalah daripada Juraij. Orang ramai pun mendatangi Juraij dan menghancurkan tempat ibadahnya serta mereka menurunkannya dan mencaci makinya. Lalu Juraij mengambil wuduk dan mendirikan solat, kemudian dia pergi kepada budak tersebut dan berkata: “Siapakah bapamu wahai anak kecil?” Anak itu menjawab: “Si penggembala.” Orang ramai pun berkata: “Hendakkah kamu kami membina (semula) tempat ibadah kamu dengan menggunakan emas?” Juraij menjawab: “Tidak, akan tetapi (binalah ia) daripada tanah liat.” (Ketiga,) ada seorang wanita dari kalangan bani Isra’il yang sedang menyusui anaknya. Tiba-tiba seorang lelaki yang sedang menunggang kenderaan dan berpenampilan bagus melaluinya. Si ibu berkata: “Ya Allah jadikanlah anakku sepertinya.” Anak itu pun melepaskan puting susu ibunya dan menghadap kepada penunggang tersebut lalu berkata: “Ya Allah, janganlah Engkau menjadikan aku sepertinya.” Kemudian dia kembali menghisap puting susu ibunya. Abu Hurairah R.A berkata: “Seakan-akan aku melihat Nabi SAW menghisap jarinya.” Setelah itu mereka dilintasi oleh seorang hamba perempuan, maka si ibu berkata: “Ya Allah janganlah Engkau jadikan anakku seperti wanita ini.” Anak itu melepaskan puting susu ibunya dan berkata: “Ya Allah jadikanlah aku sepertinya.” Si ibu berkata: “Mengapakah begitu ?” Si anak menjawab: Lelaki penunggang tersebut adalah seorang yang zalim daripada kalangan orang-orang yang zalim. Sedangkan wanita ini, orang ramai mengatakan, ‘Engkau telah mencuri’,‘engkau telah berzina,’ sedangkan dia tidak melakukannya.”

Riwayat al-Bukhari (3436)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً  إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat daripada sisi-Mu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya.”