#4988: Perlukah Sujud Sahwi Dengan Takbir?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Perlukah sujud sahwi dengan takbir?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Buhainah R.A, katanya:

إِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى بِهِمُ الظُّهْرَ فَقَامَ فِي الرَّكْعَتَيْنِ الأُولَيَيْنِ لَمْ يَجْلِسْ، فَقَامَ النَّاسُ مَعَهُ حَتَّى إِذَا قَضَى الصَّلاَةَ وَانْتَظَرَ النَّاسُ تَسْلِيمَهُ كَبَّرَ وَهُوَ جَالِسٌ، فَسَجَدَ سَجْدَتَيْنِ قَبْلَ أَنْ يُسَلِّمَ، ثُمَّ سَلَّمَ.

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW solat Zohor mengimami mereka. Lalu Baginda terus bangkit daripada rakaat kedua dan tidak duduk tasyahud. Maka orang  yang solat bersama Nabi turut berdiri bersama Baginda. Apabila Baginda telah selesai dan orang ramai menunggu Baginda mengucapkan salam. Tiba tiba Baginda bertakbir dalam keadaan duduk dan Baginda sujud sebanyak dua kali (sujud sahwi) sebelum salam. Setelah itu, Baginda mengucapkan salam.”

Riwayat al-Bukhari (829), Muslim (570), Abu Dawud (1034) al-Tirmizi (391), al-Nasaie (1177) dan Ibn Majah (1206)

Dalam menjawab persoalan di atas, jelas menunjukkan bahawa pada sujud sahwi ini perlunya kepada takbir intaqal sebagaimana rukun yang lain.

Syeikh Abdullah al-Bassam berkata: Hadith ini menjadi dalil bahawa Nabi Muhammad SAW membuat kesilapan dalam solat zuhur, baginda berdiri setelah tasyahhud pertama tanpa duduk. Para sahabat mengikutinya dalam tindakan tersebut, mungkin mereka menganggap ada perubahan dalam hukum solat. Nabi SAW teringat yang baginda meninggalkan duduk di tasyahhud tersebut dan membuat sujud sebelum salam sebagai dua sujud sahwi. Sujud sahwi ini mempunyai persamaan dengan sujud dalam solat dari segi takbir, kedudukan, dan bacaan di dalamnya. Meskipun keduanya masuk dalam amalan umum sujud, jika sujud sahwi mempunyai bacaan khusus, Nabi SAW pasti akan menjelaskannya.

Hadith ini tidak menyebutkan bahawa selepas sujud sahwi, Nabi SAW membaca tasyahhud atau berdoa. Dari perkataannya “sebelum salam,” kita boleh merasakan bahawa baginda memberi salam tanpa tasyahhud atau perhentian.

Hadith ini menunjukkan bahawa walaupun Nabi Muhammad SAW adalah manusia yang terlindung daripada dosa, namun kesalahan manusiawi semula jadi tidak merosakkan kemurnian atau risalahnya. Ini adalah hukum dan pengajaran untuk umatnya, menunjukkan bahawa kesalahan dan kelupaan adalah sifat semula jadi manusia dan tidak menjejaskan agama atau ibadahnya.

Takbir dalam sujud sahwi adalah takbir perpindahan (intiqal), termasuk dalam sujud pertama. Fakta bahawa Nabi Muhammad SAW hanya membuat dua sujud menunjukkan bahawa jika baginda membuat satu atau lebih kesilapan, dua sujud sahwi sudah mencukupi. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 2/329-330)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)