Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Benarkah fitnah datang dari arah timur dan terangkan maksud timur? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa benar, fitnah datang dari arah timur.
Ini jelas berdasarkan kepada riwayat daripada Abdullah bin Umar R.A, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda ketika Baginda SAW sedang berada di atas mimbar:
أَلاَ إِنَّ الفِتْنَةَ هُنَا يُشِيرُ إِلَى المَشْرِقِ مِنْ حَيْثُ يَطْلُعُ قَرْنُ الشَّيْطَانِ
Maksudnya: “Ketahuilah sesungguhnya fitnah itu berada di sana, sambil Baginda menunjuk ke arah timur (iaitu) dari arah terbitnya “قَرْنُ الشَّيْطَانِ” (tanduk syaitan).”
Riwayat al-Bukhari (3511)
Al-Hafiz Ibn Hajar berkata, ‘قَرْنُ الشَّيْطَانِ’ bermaksud kekuatan syaitan dan pengikutnya. Atau, dengan maksud matahari memiliki tanduk secara hakiki. Ada juga yang mengatakan bahawa sesungguhnya syaitan menempatkan matahari sebagai tanduk di kepalanya agar sujud kepada matahari itu tertuju kepadanya. (Lihat Fath al-Bari, 13/46)
Dalam riwayat Muslim, bahawa Nabi SAW bersabda:
رَأْسُ الْكُفْرِ مِنْ هَا هُنَا مِنْ حَيْثُ يَطْلُعُ قَرْنُ الشَّيْطَانِ؛ يَعْنِي الْمَشْرِقُ
Maksudnya: “Pangkal kekufuran dari arah sana, dari arah keluarnya tanduk syaitan,” yakni dari arah timur.”
Riwayat Muslim (2905)
Al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan bahawa al-Khattabi berkata: Lafaz al-Qarn bermaksud satu umat manusia. Mereka datang setelah berlalunya umat yang lain. Manakala ungkapan qarn al-hayyah adalah sebagai permisalan untuk perkara-perkara yang tidak diharapkan.
Setengah ulama lain berkata: Ketika itu, penduduk Timur (Masyriq) adalah orang-orang kafir. Maka, Nabi SAW mengkhabarkan bahawa fitnah muncuh dari arah tersebut dan berlaku sebagaimana yang Baginda khabarkan. Fitnah pertama muncul dari arah Timur. (Lihat Fath al-Bari, 35/145)
Al-Mubarakfuri menukilkan bahawa al-‘Aini berkata: Nabi SAW mengisyaratkan ke arah Timur kerana penduduknya ketika itu merupakan kaum yang kufur. Maka Baginda mengkhabarkan bahawa fitnah akan berlaku dari arah tersebut. Demikianlah yang berlaku selepas itu, di mana terjadinya peristiwa Perang Jamal dan Perang Siffin, kemudian munculnya golongan Khawarij di tanah Najd dan Iraq, dan dari arah Timur. Begitu juga fitnah yang besar, yang menjadi pembuka kerosakan yang jelas, iaitu pembunuhan Saidina Uthman R.A. Nabi SAW memberi peringatan agar berwaspada terhadap perkara tersebut, dan telah memberitahunya sebelum ia berlaku. Hal ini jelas menunjukkan tanda-tanda kenabian Nabi SAW. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 10/315)
Ibn Abbas R.Anhuma pula meriwayatkan sebuah hadith, katanya:
دَعَا النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: اللّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فيِ صَاعِنَا وَمُدِّنَا، وَبَارِكْ لَنَا فِي شَامِنَا وَيَمَنِنَا. فَقَالَ رَجُلٌ مِنَ الْقَوْمِ: يَا نَبِيَّ اللهِ؟ وَفِيْ عِرَاقِنَا. قَالَ: إِنَّ بِهَا قَرْنُ الشَّيْطَانِ، وَتَهِيْجُ الْفِتَنُ، وَإِنَّ الْجَفَاءَ بِالْمَشْرِقِ.
Maksudnya: “Nabi SAW berdoa: ‘Ya Allah, limpahkanlah keberkatan bagi kami dalam gantang[1] dan cupak kami. Berikanlah keberkatan kepada kami pada negeri Syam dan negeri Yaman kami.’ Lalu seorang lelaki berkata: ‘Wahai Nabi Allah. (Doakanlah juga) untuk negeri Iraq kami.’ Baginda lalu bersabda: “Sesungguhnya, di sana adanya tanduk syaitan, fitnah yang berkecamuk, dan sesungguhnya kekerasan hati terdapat di timur.”
Riwayat al-Tabarani (12553) dan Ibn Asakir dalam Tarikh Dimasyq (1/138). Menurut al-Haithami dalam Majma‘ al-Zawa’id (3/308), para perawinya adalah thiqah.
Al-Hafiz Ibn Hajar menjelaskan: Fitnah yang pertama kali muncul, bermula dari arah timur. Fitnah tersebut merupakan faktor berlakunya perpecahan antara umat Islam. Itulah antara hal yang menggembirakan syaitan. Begitu juga, timbulnya perkara-perkara bidaah adalah dari arah tersebut. (Lihat Fath al-Bari, 13/47).
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”
Nota kaki:
[1] Menariknya, hatta bayar sewa ruang letak kereta berhampiran bawah masjid Nabi SAW amat murah berbanding dengan tempat lain. Berdasarkan carian kami, kadar sewa untuk sejam di sini adalah sebanyak 1 SAR dan 24 SAR sehari. Ini adalah kerana mereka menjunjung hadith Nabi seperti di atas kerana Rasulullah. Berbanding di Mekah, khususnya di Masjid al-Haram, kadar sewa adalah 25 SAR sejam untuk ruang letak kereta berhampiran Pintu Abdul Aziz dan SAR 10 sejam untuk lokasi yang sedikit jauh.