#4996: Kisah Pengislaman Abu Zar R.A

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Boleh terangkan kepada kami kisah pengislaman Abu Zar R.A? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Terlebih dahulu, kami ingin menegaskan bahawa tiada paksaan dalam memeluk agama Islam. Sejak awal Islam, Rasulullah SAW tidak pernah memaksa mana-mana bukan Muslim untuk memeluk agama Islam. Para sahabat yang memeluk Islam, menganutnya atas kehendak hati mereka tanpa ada sedikitpun paksaan. Ini kerana pemaksaan bertentangan dengan prinsip dasar Islam. Ini sebagaimana yang disebutkan dengan jelas dalam firman Allah SWT:

لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ ۖ قَد تَّبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ ۚ

Maksudnya: “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur).”

(Surah al-Baqarah: 256)

Ibn Kathir memperincikan ayat di atas di dalam tafsirnya, yakni Allah SWT berfirman janganlah kamu memaksa seorang pun untuk memeluk agama Islam, kerana ia adalah agama yang jelas dan nyata, dengan bukti-bukti dan dalil-dalil yang terang benderang.  Tidak perlu dipaksa seseorang untuk memeluknya. Sebaliknya, sesiapa yang Allah telah berikan petunjuk ke jalan Islam, telah dilapangkan dadanya, diberi cahaya penglihatannya, maka dia akan masuk dalam agama itu dengan pengetahuan yang jelas. Dan sesiapa yang Allah telah menggelapkan hatinya dan mengunci pendengarannya serta penglihatannya, maka tidak ada manfaat untuk memaksa orang tersebut memeluk agama ini dalam keadaan dipaksa dan ditekan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/521).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas iaitu berkenaan kisah pengislaman Abu Zar R.A, cukuplah kami membawakan sebuah riwayat dalam sahih al-Bukhari. Bahkan Imam al-Bukhari sendiri telah menamakan bab dalam kitab sahihnya itu sebagai “بَابُ قصة إسلام أبي ذر رضي الله عنه وَقِصَّةِ زَمْزَمَ” (Bab: Kisah Pengislaman Abu Zar R.A dan Kisah Zamzam).

Riwayat tersebut adalah daripada Abu Jamrah, dia berkata: Ibn Abbas berkata kepada kami:

أَلاَ أُخْبِرُكُمْ بِإِسْلاَمِ أَبِي ذَرٍّ؟ قَالَ: قُلْنَا بَلَى، قَالَ: قَالَ أَبُو ذَرٍّ: كُنْتُ رَجُلًا مِنْ غِفَارٍ، فَبَلَغَنَا أَنَّ رَجُلًا قَدْ خَرَجَ بِمَكَّةَ يَزْعُمُ أَنَّهُ نَبِيٌّ، فَقُلْتُ لِأَخِي: انْطَلِقْ إِلَى هَذَا الرَّجُلِ وَكَلِّمْهُ وَأْتِنِي بِخَبَرِهِ، فَانْطَلَقَ فَلَقِيَهُ، ثُمَّ رَجَعَ، فَقُلْتُ مَا عِنْدَكَ؟ فَقَالَ: وَاللَّهِ لَقَدْ رَأَيْتُ رَجُلًا يَأْمُرُ بِالخَيْرِ وَيَنْهَى عَنِ الشَّرِّ، فَقُلْتُ لَهُ: لَمْ تَشْفِنِي مِنَ الخَبَرِ، فَأَخَذْتُ جِرَابًا وَعَصًا، ثُمَّ أَقْبَلْتُ إِلَى مَكَّةَ، فَجَعَلْتُ لاَ أَعْرِفُهُ، وَأَكْرَهُ أَنْ أَسْأَلَ عَنْهُ، وَأَشْرَبُ مِنْ مَاءِ زَمْزَمَ وَأَكُونُ فِي المَسْجِدِ، قَالَ: فَمَرَّ بِي عَلِيٌّ فَقَالَ: كَأَنَّ الرَّجُلَ غَرِيبٌ؟ قَالَ: قُلْتُ: نَعَمْ، قَالَ: فَانْطَلِقْ إِلَى المَنْزِلِ، قَالَ: فَانْطَلَقْتُ مَعَهُ، لاَ يَسْأَلُنِي عَنْ شَيْءٍ وَلاَ أُخْبِرُهُ، فَلَمَّا أَصْبَحْتُ غَدَوْتُ إِلَى المَسْجِدِ لِأَسْأَلَ عَنْهُ، وَلَيْسَ أَحَدٌ يُخْبِرُنِي عَنْهُ بِشَيْءٍ، قَالَ: فَمَرَّ بِي عَلِيٌّ، فَقَالَ: أَمَا نَالَ لِلرَّجُلِ يَعْرِفُ مَنْزِلَهُ بَعْدُ؟ قَالَ: قُلْتُ: لاَ، قَالَ: انْطَلِقْ مَعِي، قَالَ: فَقَالَ مَا أَمْرُكَ، وَمَا أَقْدَمَكَ هَذِهِ البَلْدَةَ؟ قَالَ: قُلْتُ لَهُ: إِنْ كَتَمْتَ عَلَيَّ أَخْبَرْتُكَ، قَالَ: فَإِنِّي أَفْعَلُ، قَالَ: قُلْتُ لَهُ: بَلَغَنَا أَنَّهُ قَدْ خَرَجَ هَا هُنَا رَجُلٌ يَزْعُمُ أَنَّهُ نَبِيٌّ، فَأَرْسَلْتُ أَخِي لِيُكَلِّمَهُ، فَرَجَعَ وَلَمْ يَشْفِنِي مِنَ الخَبَرِ، فَأَرَدْتُ أَنْ أَلْقَاهُ، فَقَالَ لَهُ: أَمَا إِنَّكَ قَدْ رَشَدْتَ، هَذَا وَجْهِي إِلَيْهِ فَاتَّبِعْنِي، ادْخُلْ حَيْثُ أَدْخُلُ، فَإِنِّي إِنْ رَأَيْتُ أَحَدًا أَخَافُهُ عَلَيْكَ، قُمْتُ إِلَى الحَائِطِ كَأَنِّي أُصْلِحُ نَعْلِي وَامْضِ أَنْتَ، فَمَضَى وَمَضَيْتُ مَعَهُ، حَتَّى دَخَلَ وَدَخَلْتُ مَعَهُ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقُلْتُ لَهُ: اعْرِضْ عَلَيَّ الإِسْلاَمَ، فَعَرَضَهُ فَأَسْلَمْتُ مَكَانِي، فَقَالَ لِي: «يَا أَبَا ذَرٍّ، اكْتُمْ هَذَا الأَمْرَ، وَارْجِعْ إِلَى بَلَدِكَ، فَإِذَا بَلَغَكَ ظُهُورُنَا فَأَقْبِلْ» فَقُلْتُ: وَالَّذِي بَعَثَكَ بِالحَقِّ، لَأَصْرُخَنَّ بِهَا بَيْنَ أَظْهُرِهِمْ، فَجَاءَ إِلَى المَسْجِدِ وَقُرَيْشٌ فِيهِ، فَقَالَ: يَا مَعْشَرَ قُرَيْشٍ، إِنِّي أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، فَقَالُوا: قُومُوا إِلَى هَذَا الصَّابِئِ، فَقَامُوا فَضُرِبْتُ لِأَمُوتَ، فَأَدْرَكَنِي العَبَّاسُ فَأَكَبَّ عَلَيَّ، ثُمَّ أَقْبَلَ عَلَيْهِمْ، فَقَالَ: وَيْلَكُمْ، تَقْتُلُونَ رَجُلًا مِنْ غِفَارَ، وَمَتْجَرُكُمْ وَمَمَرُّكُمْ عَلَى غِفَارَ، فَأَقْلَعُوا عَنِّي، فَلَمَّا أَنْ أَصْبَحْتُ الغَدَ رَجَعْتُ، فَقُلْتُ مِثْلَ مَا قُلْتُ بِالأَمْسِ، فَقَالُوا: قُومُوا إِلَى هَذَا الصَّابِئِ فَصُنِعَ بِي مِثْلَ مَا صُنِعَ بِالأَمْسِ، وَأَدْرَكَنِي العَبَّاسُ فَأَكَبَّ عَلَيَّ، وَقَالَ مِثْلَ مَقَالَتِهِ بِالأَمْسِ، قَالَ: فَكَانَ هَذَا أَوَّلَ إِسْلاَمِ أَبِي ذَرٍّ رَحِمَهُ اللَّهُ

Maksudnya: “Mahukah aku khabarkan kepada kamu tentang pengislaman Abu Zar?” Dia berkata: Kami berkata: “Ya (Ceritakanlah kepada kami!)” Dia berkata: Abu Zar berkata: “Aku adalah seorang pemuda yang berasal dari Qabilah Ghifar. Telah sampai (khabar) kepada kami bahawa seorang lelaki telah muncul di Makkah dan mengaku sebagai nabi. Aku berkata kepada saudaraku: “Pergilah kepada lelaki itu, berbicaralah dengannya dan datangkan kepadaku tentang khabarnya.” Dia berangkat dan bertemu Baginda SAW lalu kembali. Aku berkata: “Khabar apa yang engkau peroleh?” Dia berkata: “Demi Allah, sesungguhnya aku telah melihat seorang yang menyuruh kepada kebaikan, dan melarang keburukan.” Aku berkata kepadanya: “Engkau belum menyampaikan kepadaku berita yang memuaskan.” Aku pun mengambil bekas air dan tongkat, kemudian aku berangkat menuju Makkah. Ketika itu aku tidak mengenali Baginda dan tidak suka untuk bertanya tentangnya. Aku minum air zamzam lalu aku duduk di dalam masjid.” Dia berkata: Ali R.A melintasi aku dan berkata: “Seakan-akan lelaki ini adalah orang asing.” Dia berkata: Aku berkata: “Benar.” Dia berkata: “Marilah datang ke rumah.” Beliau berkata: “Aku berangkat bersamanya dan beliau tidak bertanya kepadaku apapun, begitu juga aku tidak memberitahunya apa-apa. Ketika aku bangun pada waktu pagi, aku pergi ke masjid untuk bertanya tentang Baginda SAW. Namun, tidak ada seorang pun yang memberitahu sesuatu kepadaku tentang dirinya.” Beliau berkata: Ali melewati aku dan berkata: “Adakah lelaki ini sudah mengetahui rumah orang (yand dicari) itu?!” Beliau berkata: Aku berkata: “Belum.” Ali berkata: “Berangkatlah bersamaku.” Beliau berkata: Ali berkata: “Apa urusanmu, dan apa yang menyebabkanmu datang ke negeri ini?” Beliau berkata: “Aku berkata kepadanya: “Jika engkau merahsiakannya, nescaya aku akan beritahu.” Dia berkata: “Sesungguhnya aku akan merahsiakannya.” Beliau berkata: Aku berkata kepadanya: “Telah sampai berita kepada kami bahawa di tempat ini telah muncul seorang lelaki yang mengaku sebagai nabi. Aku telah mengutus saudaraku untuk berbicara dengannya. Namun, dia kembali tanpa memberi khabar yang memuaskan aku. Maka aku ingin bertemu secara langsung dengannya.” Ali berkata kepadanya: “Ketahuilah, sesungguhnya engkau telah diberi petunjuk. Inilah arahku kepadanya. Ikutlah aku, masuklah ke mana aku masuk. Jika aku melihat seseorang yang aku curigai akan mencelakakanmu, maka aku akan mendekati dinding, seakan-akan membaiki kasutku, dan engkau harus berjalan terus.” Dia pun berjalan dan aku berjalan di belakangnya sampailah dia masuk dan aku pun masuk bersamanya menemui Nabi SAW. Aku berkata kepada Baginda SAW: “Sampaikan Islam kepadaku.” Baginda SAW menyampaikannya dan aku masuk Islam saat itu juga. Beliau SAW bersabda kepadaku: “Wahai Abu Zar, sembunyikan perkara ini, dan kembalilah ke negerimu. Apabila sampai kepadamu berita kemenangan kami maka datanglah.” Aku berkata: “Demi Yang mengutusmu dengan kebenaran, sesungguhnya aku akan melaungkannya di tengah-tengah mereka.” Dia datang ke masjid dan kaum Quraisy berada di dalamnya. Dia berkata: “Wahai sekalian kaum Quraisy, sesungguhnya aku bersaksi tiada Tuhan yang layak disembah selain Allah, dan aku bersaksi Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya.” Mereka berkata: “Bangunlah kamu (ayuh) selesaikan orang sabi’ (yang meninggalkan agamanya) ini!” Mereka pun berdiri lalu aku dipukul sehingga hampir mati. Al-Abbas menyedari situasi aku, lalu merebahkan (mempertahankan) dirinya di atas badanku. Kemudian dia berdiri menghadap mereka dan berkata: “Celakalah kamu, kamu (ingin) membunuh seorang pemuda Ghifar sedangkan tempat dagangan dan tempat laluan kamu melalui perkampungan Ghifar?” Maka mereka menjauhkan diri dariku. Pada keesokan harinya, aku kembali dan mengucapkan seperti yang aku katakan semalam. Mereka berkata: “Bangun (ayuh) selesaikan orang sabi’ ini.” Lalu mereka melakukan seperti yang mereka lakukan padaku semalam. Al-Abbas menyedari situasi aku dan menjatuhkan (mempertahankan) dirinya di atas badanku seraya mengucapkan seperti yang dikatakannya semalam.” Beliau (Ibn Abbas) berkata: “Maka inilah permulaan Islamnya Abu Zar Rahimahullah.”

Riwayat al-Bukhari (3522)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.