Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah kesan dari beriman kepada kitab ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا آمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَالْكِتَابِ الَّذِي نَزَّلَ عَلَىٰ رَسُولِهِ وَالْكِتَابِ الَّذِي أَنزَلَ مِن قَبْلُ ۚ وَمَن يَكْفُرْ بِاللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا بَعِيدًا
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan RasulNya, dan kepada Kitab Al-Quran yang telah diturunkan kepada RasulNya (Muhammad, s.a.w), dan juga kepada Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripada itu. Dan sesiapa yang kufur ingkar kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya dan juga Hari Akhirat, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.”
(Surah al-Nisa’: 136)
Syeikh al-Sa‘di menyebutkan, ayat ini memerintahkan untuk beriman kepada Allah, Rasul-Nya, Al-Quran, dan kitab-kitab sebelumnya. Semua ini merupakan iman yang wajib bagi seorang hamba, yang tidak dapat dianggap beriman kecuali jika ia beriman kepada semuanya ini. Secara umum, ini mencakup semua hal yang belum dijelaskan secara terperinci apa yang telah diketahui tentang iman ini. Sesiapa yang beriman kepada iman yang diperintahkan ini, maka dia telah mendapat petunjuk dan keberhasilan. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, hlm. 209)
Ibn al-‘Attar yang menyatakan bahawa sesiapa yang mengingkari kitab Taurat, Injil dan kitab-kitab Allah yang lain yang diturunkan atau kufur dengan kitab-kitab tersebut, atau melaknatnya, atau mencacinya, atau merendah-rendahkan dengannya, maka dia telah dikira kufur atau kafir. (Lihat al-I‘tiqad al-Khalis min al-Syak wa al-Intiqad, hlm. 168-169)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami setiap muslim hendaklah beriman kepada kitab-kitab dan mempercayai dengan sepenuh hati, serta yakin bahawa semua itu diturunkan oleh Allah kepada rasul-rasul-Nya dengan membawa kebenaran, petunjuk, serta cahaya kepada umat. Sesiapa yang mendustakan atau menolak sebahagian daripadanya, maka dia telah mengkufurkan Allah SWT. Firman Allah SWT:
إِنَّ هَـٰذَا ٱلْقُرْءَانَ يَهْدِى لِلَّتِى هِىَ أَقْوَمُ وَيُبَشِّرُ ٱلْمُؤْمِنِينَ ٱلَّذِينَ يَعْمَلُونَ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ أَنَّ لَهُمْ أَجْرًۭا كَبِيرًۭا
Maksudnya: “Sesungguhnya al-Quran ini memberi hidayah ke jalan yang amat lurus dan menyampaikan berita gembira kepada para mukmin yang mengerjakan amalan soleh bahawa mereka akan memperoleh pahala yang amat besar.”
(Surah al-Isra’: 9)
Ibn Kathir berkata: Allah SWT memuji Kitab-Nya yang Mulia, iaitu al-Quran, yang diturunkan-Nya kepada Rasul-Nya, Muhammad SAW. Al-Quran dipuji kerana memberikan petunjuk kepada jalan yang paling lurus dan menjelaskan dengan jelas jalan-jalan yang benar. Allah memberikan khabar gembira kepada orang-orang yang beriman yang melakukan amal perbuatan yang baik, bahawa mereka akan memperoleh pahala yang besar pada Hari Kiamat. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 5/45)
Beriman dengan kitab kesannya amat besar terhadap orang-orang beriman antaranya ialah:
- Mensyukuri Allah SWT atas kemurahan-Nya terhadap ciptaan dan perhatian-Nya kepada mereka, dengan menurunkan kepada mereka kitab-kitab yang mengandungi panduan untuk kebaikan serta kemaslahatan mereka di dunia dan akhirat.
- Hikmah Allah SWT di mana Dia telah mensyariatkan undang-undang yang ditetapkan dalam kitab-kitab ini bagi setiap umat yang sesuai dengan keperluannya. Sebagai penutup bagi kitab-kitab itu, Al-Quran yang Agung adalah sesuai untuk seluruh makhluk pada setiap zaman dan keadaan hingga berlakunya hari kiamat.
- Mengithbatkan sifat kalam bagi Allah Yang Maha Tinggi, bahawa kalam-Nya tidak menyerupai kalam makhluk, dan makhluk tidak mampu untuk menyamai kalam-Nya. (Lihat Usul al-Iman fi Dhau’ al-Kitab wa al-Sunnah, hm.129)
Ibn Abi al-’Izz al-Hanafi dalam ‘Akidah al-Tahawi menyatakan bahawa: Adapun beriman kepada kitab-kitab yang diturunkan kepada rasul-rasul, maka kami beriman kepada apa yang disebut oleh Allah di antaranya dalam kitab-Nya seperti Taurat, Injil, dan Zabur. Kami beriman bahawa selain dari kitab-kitab itu, Allah telah menurunkan kitab-kitab lain kepada para nabi yang namanya dan bilangannya hanya Allah yang mengetahui. Adapun beriman kepada Al-Quran, kami mengakui kebenarannya dan kami mengikutinya. Hal ini merupakan tambahan dari iman kepada kitab-kitab sebelumnya. Kami meyakini bahawa kitab-kitab yang diturunkan kepada rasul-rasul Allah berasal dari Allah, kitab-kitab tersebut adalah benar, membawa petunjuk, cahaya, penjelasan, dan ubat bagi penyakit jiwa. (Lihat ‘Aqidah al-Tahawi, 2/424-425 )
Justeru kami katakan di sini beriman dengan kitab mempunyai hikmah yang cukup besar terhadap orang-orang yang beriman. Allah menurunkan kitab kepada setiap umat sesuai dengan hal keadaan kaum tersebut dan ia merupakan petunjuk bagi setiap umat disamping ia menjadi hujjah kepada setiap umat.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اجْعَلِ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِناَ، وَنُوْرَ صُدُوْرِناَ، وَجلاَءَ أَحْزَانِناَ، وَذهَابَ هُمُوْمِناَ
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah al-Qur’an sebagai penyejuk hati kami, cahaya yang menyinari dada kami, penghibur duka kami dan penghapus kesedihan kami.”
Wallahua’lam.