Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum menunaikan haji melalui cara DIY atau Badan yang tidak berdaftar dengan Tabung Haji? Sekian. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Firman Allah SWT:
وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا
Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”
(Surah Ali ‘Imran: 97)
Imam al-Qurtubi menjelaskan: “Orang yang mampu dari segi harta maka wajib baginya haji berdasarkan hadith al-Khaithamah. Adapun kemampuan bagi dirinya bermaksud mempunyai kekuatan yang mana tidak menyebabkannya berada dalam kesusahan ketika di dalam perjalanan. Maka sesiapa yang memiliki bekalan dan kekuatan maka wajib baginya kefardhuan Haji. Adapun bagi yang tidak memiliki kedua-duanya, maka tidak wajib Haji baginya.” (Lihat al-Jami’ Li al-Ahkam al-Quran, 4/95)
Syeikh Muhammad Rasyid Ridha berkata: “Istita’ah ialah kemampuan untuk sampai ke tanah suci Makkah. Ia berbeza mengikut keadaan diri seseorang serta jauh dan dekatnya dengan Baitullah.” (Lihat Tafsir al-Manar, 4/10)
Syeikh al-Maraghi ketika menafsirkan ayat di atas, menerangkan bahawa ibadah haji ini diwajibkan kepada setiap orang Muslim yang mukallaf yang berkemampuan. Hal ini kerana, perintah haji merupakan satu penghormatan besar kepada Baitullah bermula dari zaman Nabi Ibrahim A.S sehinggalah ke zaman Nabi Muhammad SAW. Justeru, pelaksanaan ibadah haji dan umrah mampu menjadi mercu tanda dan bukti pengabdian setiap hamba kepada Penciptanya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/853)
Menjawab persoalan di atas, kami katakan peri pentingnya pelaksanaan ibadat haji dengan memenuhi segala rukun, wajib dan juga perkara yang sunat di samping meraikan adabnya. Ini selaras dengan perintah Rasulullah SAW kepada umatnya semasa Hajjatul Wada’, daripada Jabir R.A, katanya:
رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَرْمِي الْجَمْرَةَ وَهُوَ عَلَى بَعِيرِهِ وَهُوَ يَقُولُ: يَا أَيُّهَا النَّاسُ خُذُوا مَنَاسِكَكُمْ فَإِنِّي لاَ أَدْرِي لَعَلِّي لاَ أَحُجُّ بَعْدَ عَامِي هَذَا
Maksudnya: “Aku telah melihat Rasulullah SAW telah melontar dan Baginda di atas untanya lalu bersabda: “Wahai manusia, ambillah kerja-kerja haji kamu sesungguhnya aku tidak mengetahui apakah aku masih akan melaksanakan haji lagi selepas tahun ini”
Riwayat al-Nasa’i (3062)
Menjawab persoalan di atas, kami katakan, hal ini berdasarkan kebenaran kerajaan Arab Saudi mengikut pertimbangan dan kemaslahatan yang difikirkan bagi jemaah haji selaras dengan kaedah:
تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ
Maksudnya: “Polisi dan tindakan pemerintah mestilah tertakluk kepada maslahah terhadap rakyat.”
Mereka pernah membuka peluang haji kepada perseorangan atau kumpulan tertentu yang dikenali sebagai Haji Furada. Justeru, kami katakan, jika pelaksanaan tersebut menepati segala syarat-syarat haji dan tidak bertentangan mengikut polisi dan syarat kerajaan Arab Saudi, maka haji tersebut dikira sah dan tidaklah dikenakan apa-apa hukuman.
Rasulullah SAW pernah ditanya berkenaan dengan mafhum dan maksud istita’ah. Daripada Umar R.A, bahawa seorang lelaki bertemu Rasulullah SAW seraya berkata:
يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا يُوجِبُ الْحَجَّ قَالَ: الزَّادُ وَالرَّاحِلَةُ
Maksudnya: “Wahai Rasulullah! Apakah antara sebab yang mewajibkan haji? Baginda bersabda: Ada bekalan dan kenderaan.”
Riwayat al-Tirmizi (813) Ibn Majah (2896)
Dapat difahami melalui hadith di atas, bahawa kadar kemampuan yang mewajibkan seseorang tersebut untuk mengerjakan haji adalah apabila dia mempunyai bekalan makanan dan juga kenderaan untuk pergi dan pulang. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 3/457)
Daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, dalam menafsirkan ‘إِلَيْهِ سَبِيلاً’, beliau berkata:
الزَّادُ وَالْبَعِيرُ
Maksudnya: “Bekalan dan unta.”
Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (4/536)
Apa yang dimaksudkan dengan berkemampuan adalah apabila seseorang itu memiliki harta yang mencukupi untuk mengerjakan haji dan umrah. Harta ini termasuklah tambang pengangkutan, perbelanjaan pergi dan balik, bayaran visa pasport perjalanan dan upah pemandu haji dan umrah sebagaimana yang dikehendaki oleh pemerintah. Dan kesemua harta itu mestilah harta lebihan daripada jumlah hutang dan perbelanjaan ahli keluarganya selama mana ketiadaannya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/123)
Peri pentingnya kefahaman tentang istita’ah di sini hendaklah dititikberatkan dalam pelaksanaan ibadat haji berdasarkan nas di atas. Kami telah bincangkan banyak kali yang terkait dengan istita’ah sama ada amnu al-tariq (keamanan di perjalanan), sihat tubuh badan, mempunyai bekalan, selamat daripada wabak penyakit dan beberapa syarat yang lain berdasarkan suasana semasa yang sedang berlaku ketika haji dilaksanakan pada waktu tersebut.
Akhir kalam, kami berpendapat, alangkah baiknya pelaksanaan haji dibuat dalam keadaan hati yang penuh selesa, damai, serta dapat menunaikan tugas dengan sebaik mungkin. Kami akhiri dengan doa kepada Allah, moga-moga Allah kurniakan kebaikan kepada kita semua dan dapat dikurniakan dengan haji dan umrah yang mabrur.
Kami akhiri dengan doa:
اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”