#5008: Kerajaan Rom dan Parsi; Iktibar Peperangan

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa yang dapat kita ambil pengajaran dari pertembungan antara kerajaan Rom dan Parsi?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab persoalan saudara, kami menukilkan beberapa potongan ayat dari Surah al-Rum, firman Allah SWT:

الٓمٓ (١) غُلِبَتِ ٱلرُّومُ (٢) فِىٓ أَدْنَى ٱلْأَرْضِ وَهُم مِّنۢ بَعْدِ غَلَبِهِمْ سَيَغْلِبُونَ (٣) فِى بِضْعِ سِنِينَ ۗ لِلَّهِ ٱلْأَمْرُ مِن قَبْلُ وَمِنۢ بَعْدُ ۚ وَيَوْمَئِذٍۢ يَفْرَحُ ٱلْمُؤْمِنُونَ (٤) بِنَصْرِ ٱللَّهِ ۚ يَنصُرُ مَن يَشَآءُ ۖ وَهُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلرَّحِيمُ

Maksudnya: “Alif, Laam, Miim. Orang-orang Rom telah dikalahkan, di negeri yang dekat sekali; dan mereka sesudah kekalahannya itu akan mengalahkan lawannya, dalam masa tidak sampai sepuluh tahun. Kepada pentadbiran Allah jualah terpulang segala urusan, sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya; dan pada ketika berlakunya (kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira, dengan kemenangan yang diberi Allah. Ia memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Dia lah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.”

(Surah al-Rum: 1-5)

Parsi dan Rom merupakan merupakan kerajaan terkuat di muka bumi pada zaman itu, dan berlakunya peperangan dan pembunuhan sepertimana yang berlaku di antara negara-negara kuasa dunia. Kerajaan Parsi ketika itu mensyirikkan Allah SWT dan menyembah berhala, manakala Kerajaan Rom merupakan ahli Kitab yang dinisbahkan kepada kitab al-Taurat dan al-Injil, dan mereka ini lebih dekat dengan kaum muslimin berbanding Kerajaan Parsi. Oleh itu, orang-orang beriman lebih menyokong kemenangan Kerajaan Rom berbanding Parsi. Adapun kaum musyrikin, kerana mereka mempunyai persamaan dengan Kerajaan Parsi dalam mensyirikkan Allah SWT, maka mereka lebih menyokong kejayaan Kerajaan Parsi ke atas Kerajaan Rom.

Kemudian Kerajaan Parsi telah mengalahkan Kerajaan Rom dengan satu kemenangan yang meliputi keseluruhan tanah mereka. Maka kaum musyrikin Makkah pun bergembira, manakala kaum muslimin pula bersedih, kemudian Allah SWT menurunkan firman-Nya sebagai perkhabaran yang menjanjikan kemenangan Kerajaan Rom dalam tempoh lebih dari 10 tahun dan tidak kurang dari 3 tahun. 

Kejayaan Kerajaan Parsi mengatasi Rom, kemudiannya Kerajaan Rom mengatasi Kerajaan Parsi, kesemuanya dengan kehendak Allah SWT. Bukanlah kejayaan itu semata-mata dengan kewujudan sebab-sebab sahaja (kekuatan ketenteraan dan sebagainya), bahkan ianya bergantung kepada ketentuan qadha’ dan qadar.

Pada hari kemenangan Kerajaan Rom ke atas Kerajaan Parsi, kaum mukmin bergembira dengan kejayaan mereka ke atas Parsi meskipun kedua-dua kerajaan tersebut pada hakikatnya kufur kepada Allah SWT, akan tetapi sebahagian keburukan itu lebih buruk berbanding keburukan yang lainnya, dan pada hari tersebut kaum musyrikin berduka cita. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 536)

Menerusi ayat-ayat ini, diceritakan bagaimana kisah pertembungan antara kerajaan Rom dan Parsi pada zaman Rasulullah SAW. Kemenangan Rom ke atas Parsi disambut dengan kegembiraan oleh orang-orang yang beriman. Berdasarkan peristiwa ini, dapat diambil iktibar berkenaan sikap kita terhadap pihak yang tidak memperjuangkan Islam. Rasulullah SAW lebih memilih dan menyokong Rom secara politiknya meskipun kedua-duanya tidak mewakili Islam. Hal ini disebabkan Rom merupakan penganut Kristian yang merupakan agama samawi yang secara asasnya turut mempercayai Allah SWT. Sebaliknya, Parsi adalah penganut yang menyembah api. 

Justeru, pemilihan Rom adalah disebabkan mereka lebih rendah mudharat berbanding Parsi walaupun ia tidaklah bererti mereka bersetuju dengan Rom. Dengan tindakan itu juga, ia dapat mengurangkan ancaman kepelbagaian musuh terhadap Islam.

Daripada peristiwa itu juga, dapat diambil iktibar bahawa wujudnya hubungan yang erat di antara kesyirikan dan kekafiran di setiap tempat dan masa yang memusuhi dakwah tauhid dan iman. Walaupun kerajaan-kerajaan dan umat-umat di zaman dahulu tidak mempunyai hubungan yang rapat seperti zaman sekarang, namun kaum musyrikin di Makkah merasa bahawa kemenangan kaum musyrikin di mana-mana tempat ke atas ahli kitab merupakan kemenangan kepada mereka. Begitu juga kaum Muslimin merasa bahawa di sana ada suatu hubungan yang mengikat mereka dengan ahli kitab. Mereka berdukacita jika kaum musyrikin mendapat kemenangan di mana-mana tempat yang lain. Mereka insaf dan sedar bahawa dakwah dan perjuangan mereka tidak terasing daripada peristiwa-peristiwa yang berlaku di sekeliling mereka di merata pelosok alam yang memberi kesan di dalam perjuangan di antara kekafiran dan keimanan.

Hakikat yang jelas ini telah dilupakan oleh kebanyakan manusia di zaman kita sekarang. Mereka tidak menyedari sebagaimana yang telah disedari kaum Muslimin dan kaum musyrikin pada zaman Rasulullah SAW kira-kira empat belas abad yang lampau. Oleh itu, mereka hanya berada dalam lingkungan sempadan-sempadan geografi atau kebangsaan sahaja. 

Mereka tidak memahami bahawa hakikat persoalan yang sebenar ialah persoalan pertarungan di antara kekafiran dengan keimanan. Mereka tidak seharusnya dilalaikan oleh slogan-slogan palsu yang digunakan oleh semua golongan syirik dan kafir untuk melindungi diri mereka, sedangkan yang sebenarnya tujuan mereka adalah memerangi akidah kaum Muslimin biarpun mereka gunakan pelbagai sebab dan alasan yang lain. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 5/5756)

Justeru, difahami bahawa syara‘ tidak menghalang umat Islam untuk menyatakan sokongan kepada negara kuasa dunia yang lebih sedikit keburukannya berbanding yang lain. Hal ini amat penting kerana ia bukan sahaja dapat mengembalikan manfaat yang baik kepada negara-negara Islam di sekelilingnya, bahkan memastikan keamanan dunia kekal terjamin dari tangan-tangan jahat yang sentiasa merencana sesuatu untuk menentang umat Islam. 

Dalam pada itu, kita juga tidak boleh bersikap melampau dalam menyatakan sokongan, kerana hakikat yang perlu diketahui adalah sesebuah negara bukan Islam itu tetap menyatakan kekufuran mereka terhadap Allah SWT. Olah itu, berpadalah dengan sokongan yang padanya ada manfaat buat umat Islam serta negara, dan tidaklah melampau sehingga menyokong kekufuran mereka serta keengganan mereka terhadap hukum syara‘ seperti yang dilakukan oleh golongan liberal.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

Wallahu a‘lam