Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah perkara yang menjadikan solat seseorang itu batal? Mohon penjelasan Dato’.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلَاةِ الْوُسْطَىٰ وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ
Maksudnya: “Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardhu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.”
(Surah al-Baqarah: 238)
Merujuk kepada dalil di atas, al-Qurtubi mentafsirkan maksud perkataan “peliharalah” ialah merujuk kepada suruhan Allah SWT ke atas hambanya supaya memelihara serta menjaga solatnya dengan mengerjakan solat tersebut dalam waktunya dan memenuhi syarat-syaratnya. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 3/212)
Kesimpulan
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan terdapat empat belas perkara yang menyebabkan solat seseorang itu batal:
- Berlakunya hadas sama ada dengan sengaja mahupun tidak.
- Terkena najis jika dia tidak membuangnya dengan segera tanpa dia menanggung najis tersebut.
- Terdedahna aurat sekiranya tidak ditutup dengan serta merta.
- Bercakap dengan dua huruf yang dapat difahami secara sengaja.
- Melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa secara sengaja dalam solat.
- Makan dan minum.
- Bergerak-gerak sebanyak 3 kali secara berturut-turut, sekalipun dalam keadaan lalai.
- Melompat yang keji (yang membatalkan solat).
- Menambah rukunfi’li secara sengaja.
- Mendahului imam dengan dua rukun fi’li.
- Lambat dua rukun dari imam tanpa keuzuran.
- Niat memutuskan solat.
- Melakukan ta’liq dalam memutuskan niat dengan sesuatu.
- Ragu-ragu dalam memutuskan niat. (Lihat Safinah al-Naja, hlm 44-45)
Semoga Allah membantu anda dalam lebih memahami syariat Allah SWT dan moga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”
Surah Ibrahim (40-41)