#5015: Puasa Orang Pengsan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, pada puasa Ramadhan yang lepas, saya pengsan seketika ketika sedang melakukan kerja dan selepas sedar saya meneruskan puasa, adakah sah puasa saya tersebut ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Puasa di dalam bulan Ramadhan merupakan asas kepada rukun Islam. Allah SWT memerintahkan hamba-Nya supaya berpuasa seperti firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa.”

(Surah al-Baqarah: 183)

Ia merupakan salah satu daripada rukun Islam yang difardhukan ke atas setiap umat Islam. Hal ini jelas seperti mana yang disebutkan di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Umar R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، وَإِقَامِ الصَّلاَةِ، وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ، وَالْحَجِّ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya: “Terbinanya Islam itu atas lima perkara; syahadah bahawasanya tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, menunaikan haji dan puasa di bulan Ramadhan.”

Riwayat al-Bukhari (8) dan Muslim (16)

Maka jelaslah puasa Ramadhan ini adalah perkara utama di dalam Islam yang tidak boleh ditinggalkan sekiranya tidak ada sebarang keuzuran.

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan dalam isu ini terdapat dua hal keadaan yang berbeza  bagi orang yang pengsan di siang hari bulan Ramadhan iaitu keadaan yang pertama di mana dia pengsan sepanjang hari dan ke dua dia pengsan sebahagian atau seketika sahaja.

Sekiranya dia pengsan  sepanjang hari maka puasa dia terbatal dan diwajibkan ke atasnya menggantikan balik puasa tersebut. Namun sekiranya pengsan tersebut hanya seketika, puasanya tetap sah dan dia tidak perlu untuk menggantikan balik puasa tersebut. Yang demikian merupakan pandangan jumhur ulama dari mazhab Maliki, Syafi’i dan   Hanbali.

Imam al-Nawawi dalam isu ini beliau menyatakan dalam kitabnya Raudah al-Talibin bahawa: Jika seseorang berniat berpuasa pada malam hari, tetapi dia pengsan, menurut pandangan mazhab: jika dia sadar pada sebahagian dari siang hari, maka puasanya sah. Jika tidak, maka tidak sah (Lihat Raudah al-Talibin, 2/366)

Imam al-Mardawi menyatakan: Sesiapa yang berniat berpuasa sebelum fajar dan kemudiannya dia gila atau pengsan sepanjang hari,  puasanya tidak sah (Lihat al-Insaf, 3/292 )

Begitu juga Ibn Qudamah ketika membahaskan tentang orang yang pengsan sebahagian hari bulan ramadhan beliau menyebutkan: jika orang yang pengsan itu sedar pada sebahagian dari siang hari, puasanya sah, sama ada itu pada awal atau akhir hari. (Lihat al-Mughni, 3/116 )

Dinyatakan juga dalam fatwa Dar al-Ifta al-Misriyyah Jika seseorang yang berpuasa itu pengsan sepanjang hari, maka puasanya tidak sah dan dia harus mengqadha puasa pada hari itu. Tetapi jika pengsan itu hanya sebahagian dari hari tersebut, maka puasanya sah dan tidak ada qadha yang wajib atasnya[1]

Justeru kami katakan berdasarkan pandangan-pandangan ulama yang telah dinyatakan di atas jelaslah bahawa seseorang yang pengsan di siang hari bulan Ramadhan dapat diperincikan menjadi dua situasi yang berbeza. Puasanya dianggap sah jika pengsan itu hanya berlaku seketika, dan tidak perlu baginya untuk mengqadha puasanya. Tetapi jika keadaannya sebaliknya, maka puasanya dianggap tidak sah dan wajib baginya untuk mengqadha puasa tersebut.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Wallahua’lam

 

Nota kaki:

[1] Lihat : https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/18372/%D8%AD%D9%83%D9%85-%D8%B5%D9%8A%D8%A7%D9%85-%D8%A7%D9%84%D9%85%D8%BA%D9%85%D9%89-%D8%B9%D9%84%D9%8A%D9%87 – Diakses pada 6 Disember2023