#5019: Hasrat Untuk Berjihad Di Jalan Allah SWT

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah jika seseorang itu tidak pernah berniat atau berhasrat untuk berjihad di jalan Allah SWT, dia akan tergolong dalam kalangan orang yang munafik?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Berjihad untuk menegakkan agama Allah SWT mempunyai kedudukan yang istimewa di sisi-Nya, sehinggakan perintah tersebut turut ditujukan kepada mereka yang beriman dengan kitab Injil dan kitab Taurat. Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَىٰ تِجَـٰرَةٍۢ تُنجِيكُم مِّنْ عَذَابٍ أَلِيمٍۢ (١٠) تُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَتُجَـٰهِدُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ بِأَمْوَٰلِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌۭ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ (١١)

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasul-Nya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”

(Surah al-Saff: 10-11)

Pada ayat yang pertama, Allah SWT memanggil para hambanya dan menyifatkan mereka sebagai beriman, kemudian Dia memerintahkan pula mereka untuk beriman. Imam al-Tabari menjelaskan munasabah kedua-dua ayat ini, Allah SWT menyifatkan hamba-Nya itu beriman, yakni merujuk kepada mereka yang beriman sebelum diutuskan Rasulullah SAW. mereka adalah Ahli Kitab yang dahulunya beriman dengan kitab Taurat, tetapi mendustakan Injil serta al-Quran, dan juga mereka yang dahulunya beriman dengan kitab Injil dan Taurat, tetapi mendustakan kenabian Muhammad SAW dan risalah al-Quran.

Allah SWT memerintahkan mereka ini untuk beriman pula kepada-Nya dan Nabi Muhammad SAW selaku Rasul-Nya, serta beriman dengan apa yang dibawanya dari risalah al-Quran, berjihad menegakkan agama Allah SWT sama ada dengan harta atau diri sendiri. Sesungguhnya itu adalah lebih baik berbanding mensia-siakannya dan mengabaikannya. (Lihat Jami‘ al-Bayah, 9/312; 23/362)

Sekiranya perintah untuk berjihad di jalan Allah SWT ini ditujukan kepada mereka yang tidak beriman dengan al-Quran dan Rasulullah SAW, maka lebih utama tuntutan untuk berjihad ini ke atas orang-orang yang beriman kepada Baginda SAW serta risalahnya.

Di dalam ayat lain, Allah SWT membezakan pula darjah martabat seseorang yang keluar berjihad di jalan-Nya berbanding mereka yang tidak turut serta dalam jihad peperangan. Allah SWT berfirman:

لَّا يَسْتَوِى ٱلْقَـٰعِدُونَ مِنَ ٱلْمُؤْمِنِينَ غَيْرُ أُو۟لِى ٱلضَّرَرِ وَٱلْمُجَـٰهِدُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ بِأَمْوَٰلِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ ۚ فَضَّلَ ٱللَّهُ ٱلْمُجَـٰهِدِينَ بِأَمْوَٰلِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ عَلَى ٱلْقَـٰعِدِينَ دَرَجَةًۭ ۚ وَكُلًّۭا وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلْحُسْنَىٰ ۚ وَفَضَّلَ ٱللَّهُ ٱلْمُجَـٰهِدِينَ عَلَى ٱلْقَـٰعِدِينَ أَجْرًا عَظِيمًۭا (٩٥) دَرَجَـٰتٍۢ مِّنْهُ وَمَغْفِرَةًۭ وَرَحْمَةًۭ ۚ وَكَانَ ٱللَّهُ غَفُورًۭا رَّحِيمًا (٩٦)

Maksudnya: “Tidaklah sama keadaan orang-orang yang duduk (tidak turut berperang) dari kalangan orang-orang yang beriman – selain daripada orang-orang yang ada keuzuran – dengan orang-orang yang berjihad (berjuang) pada jalan Allah (untuk membela Islam) dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang kerana uzur) dengan kelebihan satu darjat. Dan tiap-tiap satu (dari dua golongan itu) Allah menjanjikan dengan balasan yang baik (Syurga), dan Allah melebihkan orang-orang yang berjuang atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang dan tidak ada sesuatu uzur) dengan pahala yang amat besar. Iaitu beberapa darjat kelebihan daripada-Nya, dan keampunan serta rahmat belas kasihan. Dan (ingatlah) adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(Surah al-Nisa’: 95-96)

Syeikh ‘Abd al-Rahman bin Nasir al-Sa‘di mengatakan, tidak sama martabat orang keluar berjihad dengan dirinya atau hartanya dari kalangan mu’min, dan orang yang tidak keluar berjihad serta tidak memerangi musuh-musuh Allah SWT. Pada ayat ini terdapat galakan serta dorongan untuk keluar berjihad, dan ancaman dari bermalas-malasan, enggan untuk keluar berjihad tanpa sebarang keuzuran.

Adapun mereka yang ada kemudharatan untuk tidak berjihad, seperti orang yang sakit, buta, tempang, dan mereka yang tidak mempunyai sebarang kelengkapan, mereka ini tidaklah termasuk dalam kalangan mereka yang disebutkan dalam firman Allah SWT. Tetapi, sekiranya mereka yang ada mudharat ini redha untuk tidak keluar berjihad, bahkan tidak berniat untuk berjihad di jalan Allah SWT sekiranya tiada sebarang halangan, dan tidak terlintas pun di dalam hati mereka untuk berjihad, maka mereka ini umpama orang yang sengaja tidak keluar berjihad tanpa sebarang keuzuran.

Manakala, jika mereka yang ada mudharat ini berazam untuk keluar berjihad di jalan Allah SWT sekiranya tiada sebarang halangan, mereka berhasrat untuk keluar dan memang terlintas di dalam hati mereka untuk berjihad, mereka ini umpama orang yang keluar berjihad kerana keteguhan niat tersebut apabila diiringi dengan kata-kata atau perbuatan, orang tersebut diibaratkan seperti sedang melakukannya. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 195)

Orang yang sengaja tidak keluar berjihad tanpa sebarang keuzuran ini diancam oleh Rasulullah SAW dengan pengakhiran hidupnya disulami dengan sifat kemunafikan. Ini sebagaimana yang thabit dalam riwayat Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ مَاتَ وَلَمْ يَغْزُ، وَلَمْ يُحَدِّثْ بِهِ نَفْسَهُ، مَاتَ عَلَى شُعْبَةٍ مِنْ نِفَاقٍ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mati sedangkan dia tidak pernah berperang, dan tidak pernah terlintas dalam hatinya untuk berperang, maka dia mati dalam satu cabang daripada kemunafikan.”

Riwayat Muslim (1910)

Imam al-San‘ani berkata, pada hadith ini terdapat dalil kewajiban berazam untuk keluar berjihad, dan keazaman tersebut disertakan dengan amal perbuatan. Sekiranya kewajiban tersebut tidak ditentukan waktunya seperti berjihad, wajib berazam untuk turut serta berjihad sekiranya berkemampuan. Dan sekiranya kewajiban tersebut telah ditentukan waktunya, wajib berazam melakukan kewajiban tersebut usai masuk waktunya. Inilah pandangan sebahagian imam-imam besar dalam ilmu Usul.

Di dalam masalah ini juga terdapat perselisihan, tetapi tidak syak lagi yang dimaksudkan dalam hadith ini adalah sesiapa sahaja yang tidak berjihad dengan kudratnya, dan tidak terlintas di dalam hatinya untuk berjihad, kelak dia mati dalam salah satu cabang dari cabang-cabang kemunafikan.

Keazaman yang dimaksudkan dalam konteks ini bukanlah hasrat dan niat untuk keluar berjihad, akan tetapi yang dimaksudkan adalah sekadar lintasan hati walau seketika, meskipun satu jam dari umur kehidupannya untuk berjihad. Sekiranya pernah terlintas di hatinya untuk keluar berjihad, maka dia ini terkeluar dari cabang kemunafikan yang disebutkan oleh Rasulullah SAW.

Adapun hujjah bahawa yang dimaksudkan di sini adalah sekadar lintasan hati, sepertimana dalam sabda Rasulullah SAW:

مَنْ تَوَضَّأَ نَحْوَ وُضُوئِي هَذَا، ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ لاَ يُحَدِّثُ فِيهِمَا نَفْسَهُ، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang berwudhu’ seperti wudhu’ku ini, kemudian melakukan solat dua rakaat dalam keadaan dia tidak menyibukkan hatinya dengan perkara-perkara lain, nescaya akan diampunkan dosanya yang telah lalu.”

Riwayat al-Bukhari (159)

Yakni tidak terlintas dalam hatinya tentang sebarang perkara lain. Dan lintasan hati ini bukanlah keazaman dan niat yang teguh. Hadith Abu Hurairah R.A ini juga merupakan bukti bahawa sesiapa yang pernah ada lintasan hati untuk keluar berjihad, kemudian mati sebelum sempat melakukannya, maka dia tidak dihukum sebagaimana orang yang tidak terlintas di dalam hatinya untuk berjihad. (Lihat Subul al-Salam, 7/195)

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah pula memberikan komentar bagi riwayat Abu Hurairah R.A di atas, bahawa jihad itu meskipun ianya adalah fardhu kifayah, kesemua orang yang beriman perlu menyatakan hasrat mereka dari awal lagi. Maka mereka perlu beriman akan kewajibannya, berazam untuk melakukannya apabila dituntut. Rasulullah SAW menyebutkan, sesiapa sahaja yang tidak mengendahkan perihal jihad ini, mereka ini berada di atas cabang kemunafikan. Dan jihad ini juga mempunyai banyak cabang (jihad dengan diri, harta, dan sebagainya) di bawahnya, dan tidak boleh tidak, wajib hukumnya ke atas setiap mu’min salah satu dari cabang jihad ini. (Lihat al-Iman, hlm. 16)

Imam al-Qurtubi pula menyebutkan, dalam riwayat Abu Hurairah R.A ini merupakan dalil ke atas mereka yang tidak mampu untuk mengerjakan amal kebaikan, maka mereka perlu untuk berazam melakukannya apabila berkemampuan. Akan tetapi, sekiranya hatinya dikosongkan (tidak berhasrat) dari amal tersebut secara zahir dan batin, maka itulah keadaan orang munafik yang tidak melakukan amal kebaikan, tidak berniat untuk melakukannya, terutamanya dalam bab jihad. (Lihat al-Mufhim, 3/750)

Kesimpulan

Natijah dari perbincangan ini, dapat kita fahami bahawa yang dimaksudkan dengan niat atau hasrat itu adalah lintasan hati. Dalam erti kata mudah, seseorang yang tidak pernah terdetik langsung dalam dirinya untuk keluar berjihad di jalan Allah SWT, mereka inilah yang Rasulullah SAW sifatkan dengan salah satu cabang kemunafikan.

Semoga penerangan ringkas ini memberikan kefahaman yang baik kepada kita semua berkenaan mafhum lafaz junjungan kita Rasulullah SAW, dalam masa yang sama mendorong kita untuk beramal dengan sabda Baginda. Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”

رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir.”

Wallahu a‘lam