#5020:  Jumlah Bilangan Sujud Sajadah al-Quran

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Berapakah jumlah bilangan sujud sajadah atau tilawah dalam al-Quran?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sujud tilawah atau sujud sajadah adalah merupakan sujud yang yang dilakukan ketika seseorang itu membaca atau mendengar ayat sajadah. (Lihat Sujud Tilawah Wa Ahkamuhu, hlm. 17; al-Ta‘rifat al-Fiqhiyyah, hlm. 112)

Sujud tilawah membawa definisi yang sama dengan sujud sajadah. Akan tetapi perbezaan antara keduanya adalah sujud sajadah dilakukan di dalam sembahyang, manakala sujud tilawah dilakukan di luar solat.

Amalan ini berdasarkan perbuatan Nabi SAW sepertimana yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar RA, beliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقْرَأُ الْقُرْآنَ، فَيَقْرَأُ سُورَةً فِيهَا سَجْدَةٌ، فَيَسْجُدُ وَنَسْجُدُ مَعَهُ، حَتَّى مَا يَجِدُ بَعْضُنَا مَوْضِعًا لِمَكَانِ جَبْهَتِهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW ketika membaca al-Quran dan baginda membaca surah yang terdapat padanya ayat sajadah, maka baginda bersujud dan kami turut bersujud bersamanya sehingga tiada bagi kami tempat untuk sujud.”

Riwayat Muslim (575)

Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa hadith ini menunjukkan situasi ini berlaku di luar solat yang mana thabitnya sujud tilawah dan ia telah disepakati oleh para ulama’ dan juga di sisi kami serta jumhur ulama’ bahawa ia disunatkan dan bukannya wajib. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 5/74)

Terdapat beberapa tempat dalam al-Quran diperintahkan kita untuk sujud tilawah atau jika dalam solat disebut sebagai sujud sajadah. Antaranya:

  • Surah al-A’raf ayat 206
  • Surah al-Ra’d, ayat 15
  • Surah al-Nahl, ayat 49-50
  • Surah al-Isra’, ayat 109
  • Surah Maryam, ayat 58
  • Surah al-Hajj, ayat 18
  • Surah al-Hajj, ayat 77
  • Surah al-Furqan, ayat 60
  • Surah al-Naml, ayat 25-26
  • Surah al-Sajdah, ayat 15
  • Surah Fussilat, ayat 38
  • Surah al-Najm, ayat 62
  • Surah al-Insyiqaq, ayat 21
  • Surah al-’Alaq, ayat 19

Syeikh Abdullah al-Bassam berkata: Para ulama’ berbeza pendapat berkenaan bilangan sujud sajadah atau tilawah dalam al-Quran:

  • Mazhab Hanafi mengatakan: Ia terdiri dari empat belas tempat, di mana sujud dalam surah (ص) dianggap sebagai sujud, dan mereka hanya melihat satu sujud dalam Surah al-Hajj.
  • Mazhab al-Syafi’i berpendapat: Ia terdiri dari sebelas tempat, dan mereka tidak menganggap sujud-sujud pada al-Mufassal.
  • Mazhab Hanbali berpendapat: Ia terdiri daripada empat belas sujud, dan mereka tidak menganggap sujud dalam surah (ص) di antara sujud-sujud tilawah.

Al-Hafiz berkata: Pendapat yang diterima secara umum adalah sepuluh tempat, yang berurutan kecuali yang kedua dalam Surah al-Hajj dan sujud pada surah (ص). (Lihat Taudhih al-Ahkam, 2/356-357)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”