#5021: Adakah Surah Sad Termasuk dalam Sujud Sajadah?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah surah sad termasuk dalam sujud sajadah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Menjawab persoalan di atas, diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

 ص لَيْسَ مِنْ عَزَائِمِ السُّجُودِ، وَقَدْ رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَسْجُدُ فِيهَا

Maksudnya: “Surah Sad bukan termasuk surah yang mesti dilakukan sujud padanya. Namun aku pernah melihat Nabi SAW sujud ketika membacanya.”

Riwayat al-Bukhari (1069)

Syeikh Abdullah al-Bassam berkata: Lafaz “Bukan termasuk surah yang mesti dilakukan sujud padanya” عَزَائِمِ merujuk kepada perkataan “عزيمة” yang bermaksud tindakan yang ditegaskan atau dilakukan dengan tekad. Sujud dalam surah (ص) bukanlah sujud yang mengandungi perintah khusus, tetapi disebut dalam bentuk pemberitahuan bahawa Nabi Dawud A.S melakukannya sebagai tanda syukur kepada Allah. Rasulullah SAW melakukan sujud ini sebagai mengikut contoh daripada Nabi Dawud A.S.

Hadith menunjukkan bahawa sujud (ص) bukanlah termasuk surah yang mesti dilakukan sujud padanya, iaitu tidak terdapat perintah atau dorongan khusus untuk sujud tersebut seperti sujud-sujud yang lain dalam al-Quran. Sujud ini disebut sebagai tindakan syukur yang dilakukan oleh Nabi Dawud A.S dan Rasulullah SAW melakukan sujud ini sebagai mencontohi Nabi Dawud A.S. Menurut Imam al-Nasai (957), Rasulullah SAW bersabda: “Sujudnya Nabi Dawud adalah taubat, dan sujudnya kita adalah sebagai tanda syukur.” Oleh itu, seharusnya kita membatasi sujud ini di luar solat kerana sujud syukur hendaklah dilakukan di luar solat.

Menurut pendapat yang masyhur dalam mazhab Imam Ahmad, sujud disebabkan oleh bacaaan surah (ص) dalam solat akan membatalkan solat. Namun, ada pandangan yang mengatakan bahawa solat tidak akan dibatalkan dengan sujud ini kerana ia berkaitan dengan bacaan al-Quran, sama seperti sujud-sujud yang lain semasa membaca al-Quran.

Syeikh Abd al-Rahman al-Sa’di berkata: Yang sahih ialah sujud tilawah dalam surah (ص) tidak membatalkan solat kerana sebabnya adalah membaca al-Quran yang berkaitan dengan solat.

Namun begitu, tidak sujud tilawah dengan surah ini semasa solat adalah pendapat yang rajih dan lebih kuat dalam mazhab Imam al-Syafi’i. Disebutkan dalam Fath al-Bari: Imam al-Syafi’i berdalil dengan perkataan “syukur” untuk menyatakan bahawa sujud ini tidak dilakukan semasa solat kerana sujud syukur tidak disyariatkan dan tidak dibenarkan dalam solat. Hadith berkenaan ini pula menerangkan mengenai sujud Rasulullah SAW sahih berlaku di luar solat.” (Lihat Taudhih al-Ahkam, 2/358)

Kesimpulan

Kesimpulannya, berdasarkan hadith di atas, sujud tilawah atau sajadah dalam surah Sad  (ص) tidak termasuk dalam tempat-tempat yang disunatkan sujud tilawah. Namun begitu, Rasulullah SAW melakukan sujud tersebut sebagai sujud syukur dan juga kerana mengikuti apa yang dilakukan oleh Nabi Dawud A.S.

Bahkan mazhab al-Syafi’i sendiri berpendapat bahawa tidak sujud tilawah dengan surah ini semasa solat adalah pendapat yang rajih, dan hadith di atas juga menunjukkan bahawa Nabi SAW melakukan sujud tersebut di luar solat dan bukannya di dalam solat.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”