Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah Dato jelaskan syarat-syarat untuk melaksanakan solat jumaat?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلاةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat).
(Surah al-Jumu‘ah: 9)
Diriwayatkan daripada Tariq bin Syaibah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِي جَمَاعَةٍ إِلاَّ أَرْبَعَةً عَبْدٌ مَمْلُوكٌ أَوِ امْرَأَةٌ أَوْ صَبِيٌّ أَوْ مَرِيضٌ
Maksudnya: “Solat Jumaat adalah tanggungjawab yang wajib atas setiap lelaki Muslim untuk didirikan secara berjemaah, kecuali hamba yang dimiliki oleh tuannya, perempuan, kanak-kanak dan orang yang sakit.”
Riwayat Abu Daud (1067)
Kesimpulan
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan terdapat enam syarat bagi melaksanakan solat jumaat:
- Hendaklah keseluruhan solat itu di dalam waktu Zuhur.
- Hendaklah ia didirikan di dalam suatu kawasan di dalam negeri.
- Hendaklah dilakukan secara berjemaah.
- Hendaklah para jemaah itu merupakan 40 orang yang Merdeka, lelaki, baligh, dan juga mastautin.
- Hendaklah solat jumaat tidak didahului oleh solat jumaat yang lain di kawasan tersebut.
- Hendaklah solat jumaat itu didahului dengan dua khutbah. (Lihat Safinah al-Naja, hlm 49)
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”
Surah Ibrahim (40)